Archive for Main

RANCANGAN TEMPATAN DAERAH KAMPAR 2030

kampar1

Apa itu Rancangan Tempatan?

Rancangan Tempatan (RT) merupakan satu dokumen rasmi yang mentafsirkan dasar-dasar dan cadangan-cadangan umum yang terkandung di dalam Rancangan Struktur (RS) kepada bentuk fizikal yang lebih terperinci dan praktikal. RT disediakan bagi kawasan-kawasan yang dikenalpasti di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ia merupakan pelan terperinci yang menterjemahkan polisi-polisi dan cadangan-cadangan am yang terkandung dalam RS.

 RT menunjukkan secara bersekil besar tatatur pembangunan bagi sesuatu kawasan yang dilengkapi dengan pernyataan bertulis untuk menerangkan dasar-dasar dan butir-butir lanjut mengenai pembangunan tersebut.

 Fungsi Rancangan Tempatan

  • Menterjemahkan dasar-dasar RS;
  • Sebagai panduan pembangunan fizikal bagi daerah dan PBPT berkaitan melalui peta cadangan gunatanah;
  • Menyediakan garispanduan bagi kawalan pembangunan ;
  • Mengenalpasti projek utama daerah; dan
  • Menyediakan garispanduan pelaksanaan

Daerah Kampar merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai Rancangan Tempatan di Semenanjung Malaysia kerana Daerah Kampar telah diistiharkan sebagai daerah ke 10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009.  Sebelum ini perancangan bagi Daerah Kampar adalah melalui RT Daerah Kinta 2002-2015.

Kawasan RT Daerah Kampar meliputi keseluruhan Daerah Kampar dengan keluasan 64,750 hektar. Daerah Kampar terletak di Negeri Perak, kira-kira 40 km dari Bandaraya Ipoh dan 16 km dari Pekan Tapah. Daerah Kampar terletak bersempadan dengan Negeri Pahang (timur), Daerah Kinta (Utara), Batang Padang (Selatan) serta Perak Tengah (Barat).

Terdapat 2 mukim dalam daerah ini iaitu Mukim Teja dan Mukim Kampar. Bandar Kampar merupakan bandar utama bagi daerah ini dan ianya terletak kira-kira 38 kilometer daripada Bandaraya Ipoh. Terdapat dua petempatan utama dalam Daerah Kampar iaitu Bandar Kampar dan Bandar Gopeng.  Selain itu, terdapat juga pekan/pekan kecil yang berada dalam Daerah Kampar iaitu Mambang Diawan, Malim Nawar, Jeram, Kota Bharu dan Sungai Siput Selatan. Selain daripada keseluruhan Daerah Kampar, kawasan kajian bagi RT Kampar juga turut meliputi sebahagian Mukim Chenderiang, Daerah Batang Padang di tenggara kawasan kajian dan juga Mukim Sungai Raia, Daerah Kinta di sebelah utara kawasan kajian yang merupakan kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kampar.

Kawasan kajian RT Kampar yang meliputi keseluruhan Daerah Kampar ditadbir oleh 2 pihak berkuasa perancangan tempatan iaitu Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan (JPBD Perak Darul Ridzuan).

MDKpr mempunyai kawasan pentadbiran seluas 11,065 hektar (17%) manakala kawasan selebihnya (53,686 hektar) adalah terletak di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Perancang Tempatan; JPBD Perak Darul Ridzuan. Sebahagian besar daerah ini adalah terdiri daripada kawasan hutan, pertanian dan tanah bekas lombong. Sungai Kampar dan Sungai Kinjang mengairi kawasan ini yang mana suatu ketika dahulu adalah merupakan kawasan perlombongan bijih timah.

Mengapa Perlu RT Kampar?

  1. Daerah Kampar telah diistiharkan sebagai daerah ke 10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009. Dengan itu, perlu adanya perancangan khusus untuk daerah ini kerana ianya merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai Rancangan Tempatan di Semenanjung Malaysia.
  2. Mempunyai kawasan tepu bina  yang pesat membangun (6.16%) dan kawasan semulajadi yang luas (45.64%) memerlukan perancangan gunatanah yang mampan.
  3. Menyelaras tekanan pembangunan semasa dan fungsinya sebagai sebuah daerah baru bagi menempatkan institusi dan kemudahan masyarakat untuk kesejahteraan penduduk.
  4. Membangun semula kawasan perniagaan lama yang usang  serta tanah kosong, kawasan pertanian dan tanah lombong  (28.79%) yang berpotensi untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk.

Kawasan Rancangan Tempatan Kampar  adalah berkeluasan   64,750 hektar yang merangkumi;

  1.     Keseluruhan Daerah Kampar (Terdapat 2 mukim – Mukim Teja dan Mukim Kampar); dan
  2.     Kawasan Pentadbiran Majlis Daerah Kampar yang sebahagiannya terletak dalam Daerah Batang Padang         (Mukim Chenderiang)  dan Daerah Kinta (Mukim Sungai Raia).
  • Dua petempatan utama di Daerah Kampar iaitu Bandar Kampar dan Bandar Gopeng.
  • Pekan/bandar kecil yang berada dalam Daerah Kampar ialah Mambang Diawan, Malim Nawar, Jeram, Kota Bharu dan Sungai Siput Selatan.

kampar2

Potensi Kawasan RTD Kampar 2030

      Pembangunan Berasaskan Pertanian;

  1. Daerah Kampar merupakan pengeluar sayur terbesar di Negeri Perak;
  2. Hasil terbesar pertanian adalah dari Malim Nawar kerana terdapat  kawasan pertanian yang luas di kawasan Malim Nawar yang merupakan kawasan tanaman berkelompok;
  3. Berpotensi sebagai hub untuk pemasaran produk pertanian yang dapat meningkatkan ekonomi penduduk khususnya di kawasan kampung;
  4. Kawasan Gua Tempurung berpotensi sebagai pusat pengeluaran, pengumpulan dan pemprosesan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan;
  5. Potensi ternakan lembu dan kerbau serta pengeluaran ikan hiasan di Lawan Kuda; dan
  6. RTC Gopeng memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran produk-produk pertanian tempatan khususnya dan juga daripada luar.

       Pembangunan Sebagai Hub Pendidikan dan Penyelidikan;

  1. Kampus utama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Malim Nawar merupakan penggerak Daerah Kampar sebagai Bandar Ilmu memandangkan pembangunan UTAR ini menjadi pemangkin kepada pembangunan persekitarannya terutamanya di Bandar Baru Kampar; dan
  2. Pembangunan Kolej Matrikulasi dan kolej Komuniti di Kampar dan Gopeng menggalakkan pembangunan di persekitarannya.

        Pembangunan Berasaskan Pelancongan;

  1. Daerah Kampar mempunyai banyak aset pelancongan yang mana ianya menjadi  tarikan kepada penduduk tempatan mahupun luar;
  2. Aset-aset pelancongan serta kawasan-kawasan berpotensi pelancongan perlu diperkembang dan diperkukuhkan seperti;
  • Gua Tempurung;
  • Gua Kandu;
  • River Rafting (melibatkan Sungai Kampar di Ulu Geruntum hingga Kg. Jahang);
  • Muzium Perlombongan bijih timah;
  • Peninggalan Tentera Jepun di Tanjung Bangkung;
  • Air Terjun di Batu Berangkai;
  • Kawasan Rehat Batu Karang – Kawasan Air Panas Semulajadi; dan
  • Hutan Lipur Sg. Salu di Chenderiang.

       Pembangunan Ekonomi Tempatan

  1. Potensi  Daerah Kampar menjadi pusat pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian dan produk-produk tempatan secara tidak langsung akan meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan;
  2. Pembangunan industri kecil dan sederhana berasaskan sumberjaya tempatan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil ternakan;
  3. Pembangunan ekonomi penduduk setempat melalui sektor perniagaan hasil daripada pembangunan sektor pendidikan terutamanya di Bandar Baru Kampar;
  4. Terdapat sumberjaya alam semulajadi untuk pembangunan kawasan rekreasi dan seterusnya menarik pelancong seperti air terjun, rekreasi sungai, gua dan lain-lain yang secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi kawasan berhampiran dan penduduk tempatan khususnya.

Matlamat  RTD Kampar 2030

Menjadikan Daerah Kampar Sebagai Hub Pendidikan dan Penyelidikan, Pusat Utama Pemasaran Produk Pertanian Peringkat Negeri Perak, Tarikan Pelancongan dan Persekitaran Yang Sejahtera dan Mampan Berasaskan Sumber Sedia Ada.

Objektif RTD Kampar 2030

Berdasarkan kepada matlamat pembangunan yang telah digariskan, berikut merupakan objektif-objektif penyediaan RT Kampar 2030;

  1. Merancang gunatanah fizikal dan pembangunan ekonomi yang berdaya saing melalui perkembangan dan penjanaan aktiviti sektor ekonomi yang berasaskan sumberjaya sedia ada seperti pertanian, pelancongan, perindustrian dan perdagangan;
  2. Merancang, menaiktaraf dan memajukan pusat pendidikan dan penyelidikan  sedia ada dan komited yang lebih terancang sebagai pemangkin Daerah Kampar sebagai hub pendidikan dan penyelidikan;
  3. Merancang dan memajukan sumber pelancongan sedia ada dan juga kawasan yang berpotensi pelancongan serta menyediakan kemudahan sokongan pelancongan di kawasan berkenaan;
  4. Merancang pembangunan yang lebih terancang di Bandar-bandar utama seperti Bandar Kampar dan Bandar Gopeng khususnya, juga menaiktaraf pusat-pusat pertumbuhan kecil bagi mewujudkan kesejahteraan bandar;
  5. Merancang dan menaiktaraf sistem jaringan jalanraya, lalulintas  dan pengangkutan awam yang menyeluruh dan bersepadu bagi mencapai kemudahsampaian yang tinggi di semua kawasan;
  6. Merancang, menaiktaraf dan meningkatkan penyediaan infrastruktur dan utiliti bagi memenuhi keperluan penduduk dan menyokong pembangunan perbandaran dan persekitaran yang sejahtera dan mampan;
  7. Menyediakan kemudahan dan institusi yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan penduduk tempatan khususnya;
  8. Mengenalpasti dan memelihara kawasan sensitif alam sekitar bagi mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dan alam semulajadi bagi mencapai persekitaran alam yang mampan; dan
  9. Mewujudkan satu sistem pengurusan dan pelaksanaan yang efisien kearah urus tadbir yang baik.

Kajian ini akan dijalankan selama setahun (2014) dan akan menghasilkan 4 laporan iaitu;

  1. Laporan Awal;
  2. Laporan Analisis dan Strategi Pembangunan;
  3. Laporan Rekabentuk dan
  4. Draf Rancangan Tempatan.

 

Unit Rancangan Pembangunan 3,
Pejabat Projek Zon Tengah.

No comment »

PENCEMARAN BAHASA KEBANGSAAN

Sekarang ni, kalau kita perhatikan pencemaran bahasa Melayu semakin berleluasa amnya di kalangan anak-anak muda terutamanya kalangan pelajar. Ini secara langsung memberikan kesan negatif kepada bahasa itu sendiri dan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu Bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan merosot. Antara ciri-ciri yang diklasifikasikan sebagai pencemaran bahasa melayu adalah:

1.         Pengutamaan bahasa asing

2.         Penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu

3.         Kesalahan ejaan

ARTICLE 3

Antara faktor yang dikenalpasti menjadi punca kepada permasalahan ini adalah kecanggihan dan kepantasan perkembangan teknologi maklumat khususnya penggunaan telefon bimbit secara berleluasa. Penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, sebenarnya mencemarkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan sering berlaku dalam SMS. Tujuan penggunaan singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu adalah untuk menggantikan maksud sebenar. Hal ini berlaku disebabkan ruang yang disediakan cukup terhad. Kadang-kadang ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu, Contohnya “Nxt week blk umah tak?” Bahasa SMS ini terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo hingga menyebabkan pencemaran bahasa.

Media pernah mendedahkan kemerosoan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan sms dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau sms. Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas, lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut. Pastinya pelajar yang sering disogok oleh perkataan dan istilah-istilah yang muncul setiap hari akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kualiti penulisan di sekolah semakin menurun malah pengetahuan terhadap bahasa kita sendiri, iaitu Bahasa Melayu akan semakin jauh daripada pelajar. Dengan demikian, mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair. Begitu juga pencemaran bahasa dalam bidang pentadbiran akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu sama ada lisan atau tulisan merosot. Sekiranya pihak pentadbir menggunakan bahasa rojak ketika menyampaikan ucapan atau menggunakan bahasa rojak dalam urusan surat menyurat, sudah pasti akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu itu merosot.

Pernah tak kita tengok iklan sebegini…..bercampur aduk

ARTICLE 2

 

Selain itu, iklan sms yang memaparkan penggunaan kata singkatan, kod, atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak juga memberi kesan kepada pencemaran bahasa. Seseorang itu tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo. Antara contoh penyampaian dalam sms ialah, ‘ x ‘ bagi maksud tidak, ‘4’ bagi maksud untuk, ‘cmne’ bagi maksud macam mana, ‘u’ bagi maksud awak, ‘tq’ bagi maksud terima kasih, ‘lg’ bagi maksud lagi dan sebagainya.

Apabila bahasa tercemar, akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan datang menjadi keliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut. Impaknya disini, mahasiswa dan mahasiswi adalah agen yang perlu memperbaiki pencemaran bahasa di alam siber ini. Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh generasi Melayu. Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan bagi masyarakat Melayu untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa Melayu mempunyai peranan yang sangat penting, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pentadbiran, bahasa pengantar, bahasa rasmi dan sebagainya. Melalui peranan yang dinyatakan, kita seharusnya memahami dan mengaplikasikan peranan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita. Dalam perbualan atau pertuturan kita seharian, kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi.

 

ARTICLE 1

 

Walau bagaimanapun, pada masa ini, Bahasa Melayu kian dilupakan dan semakin kurang penggunaannya dalam pertuturan seharian. Bahasa Melayu telah tercemar disebabkan oleh wujudnya bahasa lain dan pencampuran bahasa. Bahasa Melayu yang indah kian dilupakan oleh generasi-generasi pada zaman ini, khususnya generasi muda. Mereka telah terpengaruh dengan bahasa asing. Dengan menggunakan bahasa asing, mereka berfikir mereka adalah orang yang paling terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka juga beranggapan bahawa mereka akan sentiasa dipandang tinggi kerana mempunyai pengetahuan bertutur dalam bahasa asing. Tanpa mereka sedari, tindakan mereka ini akan menyebabkan mereka kian lupa dengan satu bahasa yang sangat penting, iaitu Bahasa Melayu.

No comment »

Mesyuarat Verifikasi Data, Kota Bharu, 25-27.8.2014

IMG_4723

Perunding Teknologi KBSE Sdn. Bhd. telah menyediakan peta gunatanah untuk projek I-PLAN bagi semua negeri sejak bulan Mac 2014 dimana bagi tahun 2014, tumpuan diberi pada 5 negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Kerja tersebut, antara lain telah melibatkan pengumpulan data gunatanah jenis zoning, komited dan semasa dan teterusnya BMGN telah mengadakan Mesyuarat Verifikasi Data secara serentak bagi kelima-lima negeri tersebut untuk mendapatkan verifikasi dan pengesahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  bahawa apa yang terdapat pada peta guntanah semasa (yang disediakan oleh KBSE) adalah sama seperti ditapak tanah masing-masing. PBT telah merujuk kepada Borang Kebenaran Merancang (KM) yang telah dilulus untuk mengemaskini peta komited manakan Borang Certified Compliance Certificate (CCC) yang telah dilulus  digunakan untuk mengemaskini peta semasa. Mesyuarat Verifikasi Data di Kota Bharu selama 3 hari di Hotel Habib, Kota Bharu telah melibatkan wakil dari 11 PBT (wakil MD Dabung tidak dapat hadir), JPBDN Kelantan dan PPZR. Antara perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ahli Mesyuarat dan diperjelaskan oleh pihak KBSE adalah:

  1. Kod warna gunatanah dalam projek I-PLAN berbeza sedikit dengan kod warna gunatanah yang biasa digunakan oleh PBT kerana ianya adalah berasaskan kod warna baru yang berpandukan kepada Manual Pengurusan Data Geospatial JPBD Terbitan Disember 2013 dan bukan Manual Sistem Maklumat Geografi JPBD,Terbitan Julai 2009;
  2. Format peta dalam projek I-PLAN adalah .shp dan bukan .tab yang biasa digunakan oleh PBT. Oleh itu, PBT digalakkan untuk menggunakan perisian Quantum GIS (QGIS) yang kompatibil dengan .shp dan .tab sepertimana digunakan dalam workstation I-PLAN;
  3. Unjuran peta (map projection) I-PLAN telah diseragamkan mengikut GDM2000 dan bukan Cassini Solder Negeri, oleh itu, apabila kerja pengemaskinian akan dilakukan oleh PBT masing-masing mulai tahun ini, PBT telah disyor untuk mengemaskini peta gunatanah berasaskan peta GIS I-PLAN dan bukan peta GIS Cassini Solder yang terdapt di PBT;
  4. Pihak KBSE diminta terus menghubungi PBT untuk memastikan lapisan gunatanah dari semua PBT telah diperolehi dan dikemaskini sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal I-PLAN bersidang pada hujung bulan September 2014.

IMG_4734

IMG_4733

IMG_4732

IMG_4735

No comment »

PosKod mana yang patut kita guna?

CYMERA_20140606_142101

 

Apabila saya sampai ke simpang Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur dengan Pejabat SPA, baru dilihat PosKod bagi kawasan sekitar ibu Pejabat JPBD adalah “50480” dan bukan “50646” seperti dalam alamat rasmi Jabatan. Terdapat perbezaan disini, maka tertanya-tanya saya “SIAPA YANG SALAH? atau SIAPANYA BETUL?”

Comments (1) »

MAJULAH SUKAN DI BPKSP!!!

1961042_10203539359433356_5385289060642432097_o

1926133_10203539396714288_814116689999182626_o

Baru-baru ini Bahagian Perundangan dan Kawal Selia Perancangan (BPKSP) telah menganjurkan PERTANDINGAN SUKAN DALAMAN antara warga kerja BPKSP. Ia bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, kerja berpasukan dan mengeratkan silatulrahim antara semua lapisan pegawai.

img_6991darts-target-bullseye

dam_haji

 

 

 

 

 

 

 

Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah DART, KAROM, DAM dan CONGKAK. Pertandingan ini menggunakan format liga dimana semua lapisan pegawai dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu Kumpulan MANDAMUS, kumpulan AFFIDAVIT, kumpulan CERTIORARI dan kumpulan ACTUS REUS.

10001080_10203539396754289_2495081280207414500_o

965901_10203539389354104_7541965236056215398_o

Pada perhimpunan Bulanan BPKSP, semua kumpulan yang bertanding telah dihadiahkan dengan hamper untuk dikongsi bersama. Aktiviti ini turut mendapat sokongan yang penuh daripada Pengarah BPKSP, Cik Norasiah Bee bt Mohd. Haniff yang juga merupakan ikon sukan di peringkat Jabatan. Semoga semangat kesukanan ini sentiasa menjadi aktiviti riadah kepada semua warga JPBDSM… Tahniah

No comment »