Archive for August, 2011

Kisah Pendayung Sampan

Suatu hari, seorang Profesor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Profesor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian. Dengan begitu tekun Profesor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Profesor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, “Hmm. Hari nak hujan.” “OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat” kata Profesor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Profesor itu menegur pendayung sampan. “Kamu dah lama kerja mendayung sampan?” Tanya Profesor itu. “Hampir semur hidup saya.” Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas. “Seumur hidup kamu?” Tanya Profesor itu lagi. “Ya”. “Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?” Tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Profesor itu bertanya lagi, “Kamu tahu geografi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu.” Kata Profesor itu lagi, “Kamu tahu biologi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?” Profesor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. “Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan.” Kata Profesor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri. Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Profesor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, “Kamu tahu berenang?” Profesor itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu.” Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Morale of the Story:

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan. Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi “MASTER” dalam bidang yang diceburi. Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri, untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan untuk digunakan dan boleh digunakan?

Comments (3) »

RANCANGAN PEMBANGUNAN UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT

Selaras dengan matlamat Dasar Pembangunan Nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai negara perindustrian yang maju, Rancangan Fizikal Negara diwujudkan bagi menyokong dan menterjemahkan Dasar Pembangunan Nasional dalam konteks spatial. Pembangunan dan struktur ekonomi yang menekankan kepada perindustrian membawa kepada perubahan struktur spatial dalam negara dimana jika tidak dirancang secara komprehensif akan berlaku pembangunan ‘adhoc’ yang mungkin akan menimbulkan kesan negatif.

Sehubungan dengan itu matlamat RFN Ke-2 adalah ‘Pembentukan satu rangka spatial negara yang efisien, saksama dan mampan untuk memandu pembangunan keseluruhan negara ke arah mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020′. Ianya adalah selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Objektif utama RFN adalah untuk memastikan Malaysia mampu bersaing di peringkat global bagi menarik pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan khususnya sub-sektor elektronik, pengetahuan, teknologi komunikasi, bioteknologi, pendidikan dan pelancongan asas kesihatan dan sebagainya. Untuk mencapai objektif ini, sokongan, promosi, dan peningkatan infrastruktur perlu ditumpukan di wilayah-wilayah yang berpotensi tertinggi dalam menarik pelaburan-pelaburan yang berkaitan dan memberi daya saing terhadap wilayah yang mempunyai potensi yang sama di negara-negara jiran.

Bagi tujuan tersebut, struktur dimensi fizikal negara perlu rasional dan sesuai bagi membolehkan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing. Justeru RFN Ke-2 menganjurkan konsep Concentrated Decentralization sebagai strategi pembangunan negara . la bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara iaitu selaras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Konsep ini memberi fokus kepada 2 perkara utama.

i.Bagi tujuan mempertingkatkan daya saing negara, pembangunan perlu difokuskan kepada conurbation utama yang akan menjadi pusat utama bagi pelaburan asing dan tempatan iaitu Kuala Lumpur, Georgetown, Johor Bahru dan Kuantan serta conurbation yang lain yang merupakan kawasan paling berdaya saing dan tersedia dengan rangkaian pengangkutan, infrastruktur dan perkhidmatan. Ini selaras dengan RMK10 yang melihat aglomerasi bandar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dalam usaha kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Dari segi pembangunan industri, setiap conurbation akan menjadi tumpuan kluster perindustrian. RFN Ke-2 mencadangkan jenis kluster perindustrian dalam kawasan conurbation yang menyokong bidang pertumbuhan sasaran yang telah dikenalpasti dalam IMP3 (Third Industrial Master Plan).

ii.Strategi Concentrated Decentralization dalam RFN Ke-2 turut menekankan     supaya pembangunan perlu difokuskan kepada lokasi­lokasi tertentu di sepanjang koridor yang berpotensi iaitu koridor utara selatan (pantai barat), koridor pantai timur dan koridor tengah serta koridor-koridor sekunder yang lain. Ini bagi mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang.

Seiring dengan semangat 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; RFN Ke-2 telah memastikan semua rakyat menikmati pembangunan negara dengan menekankan kawasan-kawasan yang sebelum ini ketinggalan akan dibangunkan dan diseimbangkan dengan menyediakan sistem perhubungan dan sistem pengangkutan yang efisien disamping menggalakkan pembangunan ekonomi setempat yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat global. RFN Ke-2 turut memainkan peranannya dalam menyokong perlaksanaan NKRA seperti berikut:-

• Penyediaan infrastruktur asas luar bandar; dan

• Menambahbaik sistem pengangkutan awam bandar.

Dalam usaha ini RFN Ke-2 mengunjurkan keperluan membangunkan sistem pengangkutan bersepadu di semua pusat bandar utama, memperluaskan rangkaian jalan raya negara ke luar bandar atau antara wilayah dan memastikan sistem kemudahsampaian tempatan yang cekap.

Dasar RFN Ke-2 berkaitan :

RFN 1

RFN KE-2 BERPERANAN SEBAGAI RANGKA KERJA PERANCANGAN SPATIAL NEGARA UNTUK MENCAPAI PERANCANGAN GUNA TANAH YANG BERSEPADU DAN MAMPAN SERTA SELARAS DENGAN DASAR-DASAR SEKTORAL YANG LAIN

RFN 2

PUSAT PERTUMBUHAN BANDAR MASA DEPAN PERLU DITUMPUKAN DI CONURBATION STRATEGIK

RFN 3

PENDEKATAN PEMBANGUNAN KORIDOR PERLU DIGUNAPAKAI DALAM PERANCANGAN WILAYAH KURANG MAJU UNTUK MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN BAGI MENGURANGKAN KETIDAKSEIMBANGAN WILAYAH

RFN 5

PERANCANGAN PEMBANGUNAN INDUSTRI PERLU MENGGUNAPAKAI STRATEGI PEMBANGUNAN HOLISTIK PELAN INDUK PERINDUSTRIAN KETIGA (IMP3) UNTUK MENCAPAI DAYA SAING GLOBAL MELALUI TRANSFORMASI DAN INOVASI SEKTOR PEMBUATAN DAN PERKHIDMATAN

RFN 9

KAWASAN LUAR BANDAR DAN PUSAT PERTUMBUHAN DESA PERLU DIBANGUNKAN AGAR MASYARAKAT BOLEH MENIKMATI PENDAPATAN YANG LEBIH TINGGI DAN KUALITI HIDUP YANG LEBIH BAIK

RFN 14

TUMPUAN PERTUMBUHAN BANDAR PERLU DITAMPUNG DI DALAM CONURBATION YANG DIRANCANG DAN DIMAJUKAN SECARA BERSEPADU SELARAS DENGAN DASAR PERBANDARAN NEGARA

RFN 15

PERTUMBUHAN EMPAT CONURBATION UTAMA IAITU KUALA LUMPUR, GEORGE TOWN, JOHOR BAHRU DAN KUANTAN PERLU DISOKONG UNTUK MEMPERTINGKAT DAYA SAING DI PERINGKAT GLOBAL

RFN 17

BANDAR BERCIRI KHAS PERLU DIKENALPASTI DAN PROJEK PEMBANGUNAN YANG MEMPERKUKUHKAN CIRI-CIRI ISTIMEWA TERSEBUT PERLU DISOKONG DENGAN INFRASTRUKTUR YANG BERSESUAIAN

RFN 18

PUSAT PETEMPATAN UTAMA DAN PUSAT PETEMPATAN KECIL PERLU DIKEKAL DAN DIBANGUNKAN MENGIKUT POTENSI EKONOMI SETEMPAT

RFN 28

RANGKAIAN PENGANGKUTAN NEGARA BERSEPADU PERLU DIWUJUDKAN DENGAN MENGAMBIL KIRA HUBUNGAN ANTARA GUNA TANAH DAN PENGANGKUTAN

RFN 30

RANGKAIAN JALAN RAYA NEGARA PERLU DIPERLUASKAN UNTUK KEMUDAHSAMPAIAN DI PERINGKAT WILAYAH DAN TEMPATAN

RFN 32

KONSEP PEMBANGUNAN BERORIENTASIKAN TRANSIT (TOD) PERLU DIGALAKKAN SEBAGAI ASAS PERANCANGAN GUNA TANAH BANDAR BAGI MEMASTIKAN KEBOLEHLAKSANAAN PENGANGKUTAN AWAM

RFN 33

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM BERSEPADU PERLU DIBANGUNKAN DI SEMUA PUSAT BANDAR UTAMA

RFN 34

RFN KE-2 AKAN MENYEDIAKAN RANGKA KERJA SPATIAL BAGI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN INFRASTRUKTUR BERSEPADU DI PERINGKAT NEGARA, WILAYAH DAN CONURBATION UTAMA

No comment »

Message Popup – Banyak buruk dari baik?

Message popup adalah satu perisian komunikasi antara rangkaian (LAN) yang dibangunkan oleh Taejun Park pada tahun 2004. Perisian ini telah meluas digunakan didalam setengah Jabatan kerajaan.

Kelebihan perisian ini adalah ciri-ciri yang terdapat di dalam perisian seperti short message (macam SMS antara PC), diari dan alarm (mungkin ada yang terkejut adanya fungsi ini), menukar nama akuan pengguna, dan paling menjadi kegemaran pengguna adalah fungsi attachment file. Begitu mudah menghantar fail kepada pengguna lain yang menggunakan perisian yang sama. Perkongsian fail-fail berkaitan kerja lebih mudah  dan cepat diuruskan.

Sebab utama pengguna berminat dengan perisian ini adalah kemudahan menghantar mesej secara peribadi (boleh mengumpat lah yer..) dan secara kumpulan seperti pengumuman sesuatu events atau program secara serentak

Namun kelemahan dan keburukannya boleh juga menyusahkan pengguna lain terutamanya pihak yang menguruskan keselamatan dan antivirus PC.

Kelemahan paling ketara adalah perisian ini tidak dilengkapi atau digabungkan dengan perisian antivirus yang dipasang dalam PC pengguna. Ini menyebabkan fail yang  dilampirkan (attachment file) tidak diskrin atau diimbas oleh antivirus. Bagi pengguna yang cuai atau tidak ambil kisah pasal virus, mereka tidak peduli pasal fail (yang mungkin dijangkiti virus) sama ada fail dihantar atau fail yang diterima. Jadi PC mereka berpotensi besar untuk diserang virus.

Masalah timbul apabila fail yang dihantar melalui perisian ini mempunyai virus dan pengguna yang menerimanya pula membuka fail tanpa diskrin (scan) terlebih dahulu dengan antivirus. Penghantaran fail melalui perisian ini tanpa melalui scanning oleh antivirus umpama memasuki pejabat tanpa melalui pintu kawalan keselamatan. Tiba-tiba je muncul dan paling membimbangkan virus boleh membiak tanpa diduga oleh pengguna. Pengalaman mengendalikan PC yang diserang virus kebanyakkannya berpunca dari masalah ini.

Pengalaman menggunakan perisian ini menunjukkan kadang kala PC pengguna akan lembap tanpa sebab. Puncanya bila virus sudah bersarang dalam PC dan perisian antivirus tidak di update bagi mengesan aktiviti virus. Dan lebih parah jika PC pengguna sekadar dilengkapi dengan perisian antivirus  percuma sahaja yang mana ianya tidak berfungsi lengkap seperti perisian rofessional (perisian berbayar). Adakalanya pengguna menghadapi kesukaran setting perisian message popup oleh kerana ada masanya perisian ini “bingung”.

Kaedah paling baik untuk mengatasi masalah ini adalah tidak menggunakan perisian ini lagi. Senang citer. Berkomunikasilah seperti biasa, telefon, sms, dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Bagi pengguna email Townplan, mereka mempunyai pilihan lain iaitu email Zimbra yang mempunyai ciri chat sama seperti message popup. Yang menariknya, email Zimbra Townplan meliputi keseluruhan rangkaian internet manakala message popup terhad pada rangkaian setempat sahaja. Ini merugikan pengguna.

Pengguna email Townplan Zimbra masih boleh menghantar mesej kepada rakan walaupun pengguna berkenaan tidak online sedangkan message poup, PC pengguna tersebut perlu di’on’kan terlebih dahulu untuk menerima mesej atau fail.

Untuk menghantar fail, gunakan attachment email seperti biasa yang dilengkapi dengan antivirus scanning.

Kalau ini semua tidak membantu, bertukar kepada iPAD atau teknologi yang semakin canggih dan mengilakan ramai orang.

Comments (10) »

Tip Merancang Pelan Rancangan Tempatan

Rancangan Tempatan adalah suatu dokumen perancangan fizikal peringkat Daerah yang mengandungi pelan zoning guna tanah mengenai projek-projek pembangunan yang telah diluluskan dan cadangan meliputi cadangan projek pengangkutan, perumahan, perniagaan, perindustrian, infrastruktur & utiliti, kemudahan masyarakat, pelancongan, alam sekitar dan pertanian bagi sesebuah daerah atau jajahan. Semua cadangan projek akan dimasukkan ke dalam lot-lot tanah yang telah dikenalpasti mengikut kesesuaian analisis semasa keadaan spatial atau tapak disamping input daripada jabatan teknikal agensi awam yang lain. Sehingga bulan Ogos 2011 Pejabat Projek Zon Timur kini diperingkat semakan pelan zonning guna tanah bagi 6 projek Rancangan Tempatan iaitu Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh, Rancangan Tempatan Jajahan Kuala Krai, Rancangan Tempatan Jajahan Machang, Rancangan Tempatan Jajahan Jeli, Rancangan Tempatan Jajahan Tanah Merah dan Rancangan Tempatan Daerah Lipis.

Antara tip dan panduan dalam penyediaan dan semakan Pelan Zonning Guna Tanah supaya dapat diterimapakai oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan adalah seperti berikut;-

1. Hak Milik Tanah

Sebelum membuat pelan zoning guna tanah, perlu diketahui sama ada hak milik tanah tersebut adalah hak milik individu atau tanah kerajaan. Ini penting kerana projek-projek pembangunan awam akan mudah dibangunkan bagi tanah kerajaan berbanding individu dari segi kos pengambilan tanah.

2. Kelulusan Kebenaran Merancang

Pelan zoning juga perlu mengambilkira tentang pelan-pelan pembangunan yang telah diberikan kelulusan kebenaran merancang oleh pihak berkuasa perancang tempatan. Ini akan memudahkan tentang keserasian cadangan semasa dan cadangan masa depan.

3. Keperluan Dasar-Dasar Pembangunan

Ini merujuk kepada tanah-tanah pertanian yang memberi jaminan keselamatan makanan kepada Negara dalam jangka masa panjang. Lazimnya tanah pertanian padi aktif akan dizonkan sebagai tanah pertanian padi kekal supaya bekalan makanan Negara akan dapat dipelihara. Pembangunan tanah ini selalu perlu mendapat kelulusan daripada agensi teknikal yang berkaitan.

4. Lokasi

Merujuk kepada jarak sesuatu tanah pertanian yang berdekatan dengan jalan utama dan Bandar yang berpotensi untuk dibangunkan akan dizonkan sebagai zoning perumahan atau perkedaian di kawasan Pusat Petempatan Utama.

5. Halangan-Halangan Semulajadi

Halangan-halangan semulajadi ini merujuk kepada masalah banjir, tanah runtuh, tanah jerlus dan sebagainya akan dizonkan sebagai tanah pertanian dan kawasan sensitif alam sekitar. Tetapi sekiranya berlaku dipusat Bandar seperti masalah banjir yang mempunyai langkah mitigasi untuk menyelesaikan masalah tersebut, tanah tersebut juga boleh dizonkan sebagai zoning perumahan atau komersial.

6. Rizab Sungai/Hutan/Pantai

Pelan zoning guna tanah juga perlu mengambilkira rizab sungai/hutan/pantai yang telah dikeluarkan oleh agensi yang berkaitan. Ini penting untuk mengelakkan pencemaran atau bencana alam.

Justeru dalam membuat pelan pembangunan perlu mengambilkira semua aspek secara hoslitik meliputi aspek dasar ekonomi, sosial, keselamatan, alam sekitar, kemanusiaan dan sebagainya untuk menyelaras dan kawalsedia pembangunan guna tanah mengikut prinsip-prinsip Perancangan Bandar dan Desa untuk mencapai kemampanan kualiti hidup yang tinggi.

“Selamat Menyambut Hari Raya Adilftri 2011”

No comment »

Seremban Sepintas Lalu

Negeri Sembilan terletak di dalam wilayah tengah bersama-sama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Selain itu, penerapan Konsep Kutub Pertumbuhan Negara, ‘Central Economic Region’ (CER) dan Konurbasi Kuala Lumpur di dalam Rancangan Fizikal Negara juga akan memberikan impak positif kepada Daerah Seremban. Kesan limpahan pembangunan dari Wilayah Lembah Klang sehingga ke Melaka bergabung dengan limpahan pembangunan dari Kutub Pertumbuhan Selatan Negara iaitu Negeri Johor terutamanya Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Sebagai Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Negeri Sembilan, Daerah Seremban mempunyai peranan dan merupakan titik tumpuan pembangunan dari aspek ekonomi dan fizikal.

Daerah Seremban bukan sahaja bersempadan dengan Daerah Jelebu dan Kuala Pilah di timur, Daerah Rembau di selatan, Daerah Port Dickson di barat, tetapi juga bersempadan dengan Negeri Selangor iaitu Daerah Sepang dan Hulu Langat di utara. Kedudukan Daerah Seremban yang strategik di dalam Konurbasi Kuala Lumpur dan berhampiran projek-projek mega berkepentingan nasional seperti pembangunan Cyberjaya, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memberikan impak yang besar dan kukuh ke arah memesatkan lagi pembangunan daerah ini pada masa depan.

Tahap aksessibiliti seperti infrastruktur dan kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang setaraf di antara kedua negeri adalah penting bagi memastikan Wilayah Konurbasi Kuala Lumpur – Seremban ini membangun dengan seimbang dan bersepadu. Dengan pembangunan yang terancang dari semua negeri yang telibat akan menjayakan pembentukan satukonurbasi perbandaran yang berdaya saing dan menarik untuk menggalakkan kemasukan pelabur ke negara ini.

Kedudukan Daerah Seremban sebagai sebahagian Konurbasi Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada kekuatan yang diperolehi oleh daerah ini. Ia merupakan pintu masuk utama selatan Konurbasi Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan manfaat kepada Daerah Seremban. Selain itu, daerah ini juga terletak berhampiran dengan projek-projek mega berkepentingan nasional High Impact Projects seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya dan Koridor Raya Multi Media di Cyberjaya. Kedudukan ini secara langsung akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap corak pembangunan daerah ini.

  1. Peranan Seremban Sebagai Bandar Dormitori dan Satelit Kepada Lembah Klang

Daerah Seremban mampu menjadi Bandar Dormitori yang akan menyediakan tempat tinggal bagi orang ramai yang bekerja di Lembah Klang. Ini adalah kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Lembah Klang. Selain itu, keadaan fizikal daerah ini juga menjadikan ia sebagai tumpuan pemaju untuk menyediakan tawaran perumahan yang mampu milik.

2.   Seremban Sebagai Pusat Kebudayaan Dan Warisan Negeri Beradat

Negeri Sembilan kaya dengan keunikan Adat Perpatih dan Budaya Minangkabau. Ia merupakan kekuatan dari aspek pelancongan yang perlu diberi penekanan.

3.   Tahap Aksessibiliti Yang Tinggi

Sistem perhubungan sedia ada, samaada melalui lebuhraya, jalanraya dan laluan rel (komuter) serta dengan pembinaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) akan memberi impak pembangunan kepada Daerah Seremban. Dengan adanya laluan-laluan ini, ia akan meningkatkan tahap kemudahsampaian orang ramai dari mahupun ke kawasan Lembah Klang. Ia juga dapat meningkatkan tahap pergerakan inter dan intra daerah.

4.   Sumber Alam Semulajadi Yang Perlu Dipelihara

Hutan Simpan Galla yang terletak di bahagian utara dan barat Daerah Seremban berpotensi untuk dibangunkan sebagai Taman Wilayah. Ia adalah kawasan jajaran Hutan Simpan Lenggeng-Galla yang bersambung dengan Hutan Simpan Kenaboi, Berembun dan Angsi. Kepelbagaian flora dan fauna di hutan ini menjadikan ia sebagai satu aset semulajadi yang boleh digunakan sebagai satu tarikan pelancongan.

No comment »