Archive for October, 2011

Raya disambut penuh kesyukuran

Kuala Terengganu 28 September – Warga JPBDSM Zon Timur berhimpun meraikan hari raya Adilftri dalam suasana yang penuh dengan kesyukuran. Majlis jamuan raya diserikan dengan persembahan tayangan multimedia yang bertajuk Aktviti PPZR dan satu sketsa bonda.

Dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan dan jamuan raya pada hari ini Hjh Rohaya binti Abd Kadir yang  menangung kerja Pengarah Pejabat Projek Zon Timur Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia mengingatkan kita sebagai kakitangan JPBDSM perlu bersyukur dan mengharap kepada reda illahi supaya terus membaiki diri supaya berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kesejahteraan ummah dan negara. Pada masa yang sama beliau juga memaklumkan mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK dan Model Sistem Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) untuk dikemaskini dari masa ke semasa.

Kakitangan JPBDSM cawangan Kota Bharu yang turut hadir, berpendapat, raya yang disambut bersama rakan-rakan sekerja pada hari ini sungguh bermakna kerana disambut bukan sahaja bersama warga JPBDSM tetapi diceriakan lagi dengan kehadiran sahabat handai daripada jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Jabatan PERKESO , Biro Guaman, Jabatan Isovensi, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu.

Wakil JPBDSM cawangan Kuantan melahirkan rasa syukur kerana raya disambut dapat mengeratkan lagi kesepakatan dan kerjasama yang tulus semasa bersama-sama menyediakan juadah raya seperti rendang dan lemang.

Penganjur perhimpunan dan jamuan ini juga melahirkan rasa teruja dengan suasana yang menarik dengan penampilan semua warga JPBDSM yang memakai baju raya masing-masing yang dapat menunjukkan sikap bersyukur untuk menyambut kedatangan syawal walaupun dah hampir sebulan berhari raya.

Matan Pengarah Pejabat Projek Zon Timur Tn Hj Wan Hassan bin Wan Ismail yang turut hadir juga menceriakan sambutan hari raya bersama-sama warga PPZR berhari raya buat pertama kali di Pejabat Baru di Wisma Perkeso. Lebih menarik semua kakitangan JPBDSM dapat bertukar rasa kuih muih yang dibawa masing-masing. Semua rasa bergembira.

Comments (2) »

Selamat Ke Kita di Rumah Sendiri

Pagi Jumaat lepas (22 sept. 2011) aku dikejutkan oleh panggilan telefon dari abang ku memberi tahu emak saudara ku di rompak di rumahnya di kampong (Kuala Pilah , Negeri Sembilan). Dari hospital Kuala Pilah di bawa ke Hospital Seremban dan seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Abang ku mengatakan tempurung kepalanya retak dan mata ya lebam akibat kejadian itu, berpunca dari dihentak perompak ataupun disebabkan beliau terjatuh semasa pergelutan tersebut. Dimana punca sebenar masih belum  diketahui, kerana semasa kejadian mak saudara aku bersendirian dan tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut.  Yang paling mendukacitakan kejadian berlaku kira-kira 5 petang semasa beliau hendak menyediakan masakan  untuk makan malam.

Petang jumaat tu selepas waktu pejabat aku dan suami ku bergegas ke HKL untuk menziarahi beliau. Sayu hati ku melihat beliau terbaring dengan mata yang lebam dan jahitan di kepala, manakala ditelinganya kelihatan kapas yang  basah dengan darah menutupi telinganya.

Aku dimaklumkan bahawa beliau tengah menunggu giliran untuk dibedah bagi membersihkan luka dan terdapat serpihan ditengkorak yang tercedera itu. Walaubagaimana pun perlu menunggu giliran kerana  pihak HKL lebih mengutamakan kes-kes yang lagi kritikal berbanding kecederaan Mak saudara ku. Ternyata  beliau begitu tidak selesa kerana telah terbaring  dari semalam dan perlu berpuasa sementara menunggu pembedahan di lakukan. Akhirnya 2.50 pagi sabtu tersebut beliau selamat di dbedah dan masih lagi menerima rawatan di HKL.

Kejadian yang sama juga berlaku pada tahun 2007 kepada nenek saudara ku di kampung yang sama dimana beliau meninggal di dalam kejadian tersebut.

Yang paling terkesan di hatiku sekarang aku bertugas di Unit Khas NKRA Bandar Selamat, unit ini mengeluarkan beberapa panduan supaya kediaman kita selamat  diduduki (CPTED). Persoalan yang bersarang di hati kami anak yang bertugas jauh dari ibu bapa yang tinggal bersaorangan dikampung, apakah ibu bapa kita selamat tinggal di rumah sendiri, lebih-lebih lagi di kampung sekarang menjadi perkara biasa dimana terdapat banyak rumah-rumah yang kosong tanpa penghuni di sekeliling rumah-rumah yang dihuni bersaorangan oleh ibu-ibu tunggal setelah kematian suami dan anak-anak bekerja di bandar.

Persoalan sekarang kenapa kejadian tersebut terjadi? Apakah rumah emak mak saudara aku tu tidak direkabentuk mengikut garispanduan CPTED? Atau keadaan sosial penduduk sekarang amat terdedah kepada berlakunya perkara tersebut. Fikir-fikir kan lah…

Comments (1) »

Setuju Terima Dengan Pindaan

Kota Bharu 29 September – Jabatan Teknikal yang hadir dalam mesyuarat penyelarasan teknikal bagi Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh pada hari ini bersepakat untuk bersetuju menerima laporan cadangan projek-projek pembangunan yang telah dikenalpasti dengan pindaan-pindaan yang telah disyorkan.

Antara jabatan teknikal yang hadir ialah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Kelantan, Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, East Coast Economic Region Development Council (ECER), Jabatan Alam Sekitar Kelantan (JAS), IADA Kemasin Semerak, Jabatan Pertanian Pasir Puteh, Pejabat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK), MAJAARI, Jabatan Bomba dan Penyelamat, LKIM, Jabatan Veterinar, Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh, Air Kelantan S/B, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

Tuan Haji Mohamed Fauzi Bin Zain, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan yang mempengerusikan mesyuarat pada hari ini memaklumkan projek-projek pembangunan yang dirancang dan dikenalpasti mengambilkira isu-isu semasa dan keperluan masa depan Jajahan Pasir Puteh. Antara projek-projek yang akan diambilkira ialah pembangunan industri maritim di Tok Bali termasuk cadangan pelabuhan, institusi, kemudahan masyarakat, infrastruktur dan sebagainya. Semua cadangan dan input daripada pelbagai agensi awam, ECER, Transantara dan pihak yang berkepentingan akan diselaraskan untuk membentuk pelan pembangunan yang menyeluruh dan berdaya laksana bagi memajukan jajahan ini sehingga tahun 2020.

Yang DiPertua Majlis Daerah Pasir Puteh, Tuan Haji Nazran Bin Muhammad menjelaskan isu semasa seperti bekalan air dan elektrik untuk keperluan semasa penduduk adalah mencukupi tetapi mengesyorkan supaya cadangan mempertingkat kemudahan asas ini diberi perhatian ekoran terdapat cadangan industri suppy base di Tok Bali yang memerlukan bekalan air dan elektrik untuk beroperasi jika ia akan dilaksanakan kelak.

Wakil ECER memaklumkan untuk menyelesaikan isu bekalan air, pihak Air Kelantan telah dalam cadangan untuk menaiktaraf Logi Wakaf Bunut. Cadangan ini melibatkan penggunaan teknologi untuk mengatasi intake air di wakaf bunut dan kini telah dalam peringkat tender dan dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini.

Pada masa yang sama perunding Infrastruktur menjelaskan secara dasarnya dari segi lokasi dan keperluan zon penampan bagi cadangan tapak pelupusan sampah di bukit Gedombak tidak mendatangkan pencemaran kepada penduduk di kawasan perumahan yang banyak dibina berhampiran kawasan tersebut. Namun akan menyemak semula tentang cadangan tapak pelupusan sampah berkenaan ekoran terdapat pembangunan perumahan dan terdapat cadangan alternatif yang sesuai di kawasan Telong.

Pn. Hjh Rohaya binti Abdul Kadir Pengurus Projek, Pejabat Projek Zon Timur Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia selaku urusetia Kajian Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh dalam pembentangan hari ini memaklumkan tempoh publisiti Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh selama sebulan untuk tujuan semakan dan pameran kepada orang awam untuk memberi cadangan dan bantahan akan diadakan pada 14 November hingga 15 Disember 2011. Sekiranya terdapat pindaan laporan akan diperbaiki lagi untuk proses pewartaan sebelum laporan dapat diguna pakai secara rasmi oleh Majlis Daerah Pasir Puteh dan Kerajaan Negeri Kelantan pertengahan tahun 2012.

No comment »