Archive for June, 2012

BANGUNAN DENGAN REKA BENTUK ‘POP ARCHITECTURE’ MENAMBAH UNIK LANDSKAP BANDAR

Bandaraya Kuala Lumpur

Di dalam merekabentuk sesebuah bandar, beberapa aspek utama perlu diambilkira agar selaras dengan pembangunan yang dijalankan. Di antaranya ialah elemen-elemen rupabentuk bandar seperti mercu tanda, titik fokus/ tumpuan bandar, aksis dan vista, nodus-nodus bandar, sempadan serta latar langit yang menjadi penghias dan kriteria imej bandar. Bangunan merupakan antara komponen yang paling menonjol di dalam reka bentuk bandar. Bentuk dan ruang bangunan yang direka dengan inovasi dan kreativiti di dalam sesebuah bandar boleh mewujudkan ‘a sense of place’. Jika dibincangkan tentang senibina bangunan, terdapat pelbagai konsep dan reka bentuk yang diperkenalkan oleh para arkitek.

Senibina Postmodern telah membentuk beberapa konsep reka bentuk seperti Historicism – Sejarah dan tradisional, Neo Modern – Elemen moden, Pop Design – Elemen popular/ sering dilihat, Regionalism – Identiti budaya, Deconstructivism – Reka bentuk yang kompleks, Electic – Kepelbagaian elemen.

Reka bentuk bangunan yang mempunyai elemen historicism, neo modern, regionalism dan electic boleh didapati di bandar-bandar di sekitar Malaysia. Bagaimanapun, Reka bentuk Deconstructivism dan Pop Architecture yang lebih kompleks dan berani mengetengahkan reka bentuk senibina yang unik. Reka bentuk Pop Architecture mempunyai ciri-ciri popular di mana ia mudah dikenali (menjadi ikon), bentuknya mempamerkan fungsinya serta berteknologi tinggi.

Bangunan syarikat Longaberger Basket Company –
Pengeluar bakul di Newark, Ohio

Perpustakaan Awam Kansas City

Eleman kejutan seperti penggunaan reka bentuk moden dengan konflik warna atau gabungan warna yang jarang-jarang digunakan, bentuk-bentuk bertentangan atau tidak teratur serta pola dan tekstur bangunan yang digabungkan menjadi daya tarikan utama reka bentuk Pop Architecture ini. Kebiasaanya, reka bentuk ini mengekspresikan idea yang berlainan dan lari daripada reka bentuk bangunan yang lebih ‘selamat’.

Makmal Komputer MIT yang direka bentuk oleh
Frank Gehry – King of Pop Architecture

The Crookedhouse

The Dancing House direka oleh Vlado Milunic bekerjasama Frank Gehry

Apa yang menjadi sumber ilham kepada ‘pop architecture’ ini? BIASA, kebanyakkan reka bentuk bangunan ‘pop’ ini digarap melalui objek-objek yang berada di persekitaran. Klip kertas, stapler, mesin taip atau kotak susu menjadi sumber inspirasi para arkitek di dalam mereka bentuk bangunan.

Cheese Grater

kotak susu

Klip Kertas

Sebenarnya banyak lagi bangunan unik dan reka bentuk pelik yang menakjubkan terdapat di serata dunia serta menjadi penghias kepada bandar-bandar utama. Sebagai perancang bandar, kita bukan sahaja terikat untuk mereka bentuk bandar, tetapi elemen-elemen yang ‘livable’ sesebuah bandar seperti bangunan, taman hijau dan elemen air perlulah dititik beratkan. Seperti juga arkitek mendapat ilham di dalam mereka bentuk bangunan, ambillah persekitaran kita juga sebagai sumber inspirasi untuk menyandang tanggungjawab sebagai perancang bandar yang terbaik bagi memacu pembangunan negara. Pendek kata, mengilham harapan, mencipta masa depan.

Disediakan oleh: Norida Binti Abdullah

Comments (2) »

Selayang Pandang …

Hakisan..hakisan kini sering dikaitkan dengan tanah runtuh, pencemaran air sungai dan pesisiran pantai yang semakin terhakis oleh derusan ombak. Kejadian hakisan ini bukan sahaja melibatkan perubahan bentuk mukabumi sedia ada malah turut mengorbankan banyak nyawa insan bernama manusia.

Perjalanan menuju ke Gua Musang melalui kawasan-kawasan berbukit telah mempamerkan visual tentang kerakusan penerokaan tanah bukit dan hutan bagi tujuan aktiviti pertanian yang sungguh memeranjatkan terutamanya di Jajahan Kecil Lojing. Hasil maklumat yang telah di terima dari pihak Majlis Daerah Gua Musang sebahagian Kawasan Jajahan Gua Musang iaitu melibatkan Mukim Ulu Nenggiri (Jajahan Kecil Lojing) telah dicerobohi dan dibelenggu oleh beberapa isu panas.

Terdapat beberapa isu yang boleh saya kongsikan bersama disini adalah berkaitan kerja-kerja pemotongan bukit dan kerja-kerja tanah yang dilakukan tanpa kelulusan dari pihak berwajib. Bagaimana hal sedemikian boleh terjadi sedangkan pihak yang bertanggungjawab sentiasa memainkan peranan mereka. Turut dimaklumkan juga, kebanyakan pengusaha tanaman di tanah tinggi Lojing dilakukan sebelum perluasan Kawasan pentadbiran Majlis Daerah Gua Musang.

Kesan dari pencerobohan tanah bukit menyebabkan perubahan warna air sungai dan struktur tanah

Pembangunan Lojing merupakan limpahan pembangunan yang berlaku pesat dari Cameron Highlands. Sebahagian besar tanah di Lojing adalah hakmilik kerajaan dan berorientasikan pertanian. Fokus utama pembangunan dan pengawalan alam sekitar adalah peranan penting yang perlu diambil berat oleh semua pihak.

Akibatnya, isu pencemaran air di ketiga-tiga sungai oleh pepejal terampai (SS) telah menjadi isu utama pembangunan di Tanah Tinggi Lojing. Kadar hakisan tanah makin hari semakin kritikal. Sebarang pembukaan tanah dari aktiviti pembalakan dan pertanian akan memberi implikasi yang tinggi kepada kawasan hilir sepanjang Sungai Belatop, Sg. Ber dan Sg. Brooke yang menjadi tadahan kepada Sg. Nenggiri.

Oleh yang demikian, kawasan Lojing memerlukan satu garis panduan perancangan yang lebih terperinci dan khusus untuk dibangunkan sebagai kawasan peranginan dan menghadkan penerokaan tanah bagi tujuan pertanian yang semakin tiada had batasnya.

Ternyata, terdapat sebanyak 24 cadangan pembangunan di plot-plot persendirian (Tanah Milik) membabitkan kawasan seluas 25, 435 hektar. Majoriti syarat nyata tanah adalah Pertanian. Tren menunjukkan bahawa kawasan cadangan pembangunan telah bergerak dari sepanjang jalan utama (antara HSK Sg. Brook–HSK Lojing), tadahan Sg. Belatop, menuju ke arah kawasan HSK Lojing (tadahan Sg. Brook). haruskah kita membiarkan perkara seperti di foto ini berterusan ?

Hakisan sungai

Disediakan Oleh : Mariyanti binti Md Desa

No comment »