Archive for August, 2012

PRAJURIT TANPA SERAGAM

Penempatan pegawai sering menjadi isu atau topik perbualan hangat setiap kali mesyuarat penempatan diadakan. Setiap pegawai terutamanya yang telah berkhidmat di Ibu pejabat akan mengalami situasi ‘panas punggung’ terutamanya yang belum pernah ditempatkan keluar dari ibu pejabat atau One Stop Centre (OSC). Ketika inilah talian di SSM menjadi panas apabila menjadi medan pertanyaan oleh pegawai-pegawai yang menjangkakan nama mereka tersenarai pada sesi pertukaran akan datang. Implikasi pertukaran tempat bertugas adalah kepada pegawai-pegawai yang sudah berkeluarga dan sudah ‘settle down’.

Namun, inilah hakikat yang perlu diterima atas Aku Janji telah ditandatangani semasa menerima jawatan tersebut. Segala arahan yang diberikan perlu dipatuhi tanpa mempersoalkan dan mempertikaikannya. Dari sudut pandang yang lebih luas dan menyeluruh, pertukaran tempat kerja merupakan proses yang harus dilalui dan ditempuhi dengan tabah.

Situasi ini sudah menjadi sebati di dalam profesion yang bergelar Perancang Bandar dan Desa. Persoalan yang timbul disini adalah mengapa masih terdapat segelintir pegawai perancang bandar dan desa dari JPBD Ibu Pejabat belum pernah keluar bertugas ke luar atau ‘kebal’ dan menikmati kenaikan pangkat dalam keadaan yang cukup selesa kerana masih di dalam kawasan tempat kerja yang sama sedangkan terdapat pegawai yang terpaksa meninggalkan tempat bertugas setelah dinaikkan pangkat. Seharusnya perkara seperti ini dapat dielakkan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan penempatan pegawai bagi mengelakkan berlakunya pertikaian oleh pegawai-pegawai yang lain.

Oleh yang demikian, pihak SSM perlu mempunyai satu mekanisme khusus dalam mengatasi isu ini. Sebenarnya, isu ini sudah lama diperkatakan namun langkah bagi memantapkan usaha penyelarasan pertukaran pegawai mempunyai ruang untuk ditambahbaik.

Bagi pegawai yang terlibat di dalam pertukaran yang akan datang diharap dapat bersabar dan selamat menempuh cabaran baru yang mana ianya mampu menjadi pelengkap ke arah menjadi seorang perancang bandar dan desa yang lebih matang pada masa hadapan.

Disediakan oleh : Mohd Izad bin Yahya

No comment »

Pembangunan Tanah Bersepakat – Kaedah Baru Pembangunan Tanah Di Malaysia

Pembangunan yang pesat menunjukkan bahawa negara kini sedang mengalami pertumbuhan yang semakin meningkat sama ada dari segi ekonomi, sosial dan fizikal. Menjelang tahun 2020, Semenanjung Malaysia dijangka mencatat kadar perbandaran sebanyak 75%. Walaubagaimanapun, masih terdapat lagi kawasan yang usang dan tertinggal dari arus pembangunan yang memerlukan tindakan pemulihan.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN-2) di bawah dasar RFN 19 – Perumahan mampu milik yang mencukupi dan dilengkapi dengan kemudahan komuniti termasuk kemudahan dan perkhidmatan keselamatan perlu disediakan di pusat bandar utama untuk memenuhi keperluan penduduk telah menyenaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah ‘strategi-strategi pelaksanaan yang baru seperti Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) dan land pooling perlu diguna pakai sebagai satu strategi untuk menyatukan pecahan-pecahan tanah bagi memenuhi keperluan perumahan’. Seterusnya, dalam Dasar Perbandaran Negara (DPN 7) menyatakan pembangunan kampung di dalam bandar perlu dintegrasi dengan pembangunan bandar melalui langkah menggalakkan pendekatan PTB sebagai kaedah alternatif dalam membangunkan kampung di dalam bandar. Pada 23 Jun 1999, Kabinet telah bersetuju menerima pakai Sistem PTB ini sebagai salah satu kaedah pembangunan tanah di Malaysia.

Sistem PTB adalah merupakan satu kaedah pembangunan tanah di mana sekumpulan lot tanah disusun semula melalui persetujuan pemilik-pemilik tanah mengikut pelan susunatur terancang dengan penyediaan kemudahan infrastruktur dan masyarakat yang mencukupi. Sebagai balasan kepada sebahagian tanah yang disumbangkan, pemilik tanah akan menerima pulangan dalam bentuk hartanah. Sebahagian lagi tanah akan dijadikan sebagai tanah kewangan dan dijual di pasaran untuk menampung sebahagian kos pembangunan projek.

Kejayaan projek PTB ini bergantung kepada proses mendapatkan persetujuan melalui di kalangan pemilik tanah dan pihak lain yang terlibat. Tujuan Program Pembinaan Persetujuan adalah untuk membantu pemilik tanah dan pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan yang mungkin memberi kesan kepada komuniti mereka terutamanya semasa peringkat pelaksanaan projek.

JPBD Semenanjung Malaysia telah mengenalpasti dua tapak projek perintis untuk pelaksanaan Projek PTB iaitu di Kg. Pulau Meranti, Daerah Sepang, Selangor dan di Kg. Skudai Kiri, Johor Bahru, Johor. Di antara cabaran yang dihadapi bagi pelaksanaan projek PTB adalah seperti berikut :

  • Projek PTB tidak dapat dilaksanakan secara komprehensif disebabkan sebahagian kecil pemilik tanah tidak bersetuju (piecemeal development).
  • Fizikal tapak yang kurang sesuai dari segi topografi memerlukan kos kerja tanah yang tinggi.
  • Dana kerajaan tidak tersedia untuk pelaksanaan projek

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, projek PTB masih lagi relevan untuk dilaksanakan disebabkan faktor berikut :

  • Bandar perlu berkembang. Kawasan berpotensi terletak di pinggir bandar. Tanah-tanah di pinggir bandar telah diberi milik.
  • PBT perlu menyusun semula pembangunan di atas tanah yang telah diberi milik untuk meningkatkan kualiti fizikal dan hidup penduduk.
  • PBT perlu menyediakan kemudahan awam dan asas tambahan kepada penduduk bandar / pinggir bandar yang bertambah.
  • PBT menyedia Rancangan Kawasan Khas tetapi pemilik tanah tidak berkemampuan untuk membangunkan tanah.
  • Rancangan Kawasan Khas perlu dibangunkan secara komprehensif.

Sehubungan itu, pendekatan baru telah dicadangkan bagi memastikan projek PTB dapat dilaksanakan. Melalui pendekatan baru ini, tapak projek PTB akan dikenalpasti dari penyediaan Rancangan Kawasan Khas dan diterajui oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Sebelum pemilihan tapak, kiraan fisibiliti projek akan dibuat bagi menentukan kebolehdayalaksanaan projek. Sekiranya tapak tersebut didapati boleh dilaksanakan, Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Negeri akan mengenalpasti pemaju yang berpotensi untuk melaksanakan projek PTB di peringkat awal. Pihak pemaju akan melantik perunding kajian bagi memudahkan pelaksanaan projek. Sekiranya minoriti pemilik tanah tidak bersetuju, PBT boleh mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Pemajuan mengikut Seksyen 38, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Sebagai kesimpulan, Sistem PTB yang menekankan kepada elemen perkongsian kos pembangunan di antara pemilik-pemilik tanah, pemaju dan agensi kerajaan adalah selaras dengan konsep Smart partnership. Sistem ini juga menekankan kepada penyertaan pemilik tanah di setiap peringkat perancangan dan pembangunan bandar, sekali gus mewujudkan masyarakat yang mapan dalam memenuhi keperluan mereka untuk tinggal dalam persekitaran hidup yang lebih berkualiti.

No comment »

Sambutan Hari Kualiti Peringkat Zon Timur

Pejabat Projek Zon Timur telah mengadakan Hari Kualiti peringkat Zon Timur pada 09 Julai 2012. Program ini telah dianjurkan oleh Unit 3 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Projek Timur. Tujuan Sambutan Hari Kualiti penerangan dan pemahaman dasar-dasar kualiti ke arah meningkatkan prestasi dan sistem penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan misi dan visi jabatan.

Taklimat pelaksanaan MS ISO 9001:2008 telah disampaikan oleh Encik Idris bin Abdul Rahim dan Encik Saifulizam bin Mohamad. Manakala taklimat mengenai Penilaian Penarafan Bintang dan Pengurusan Cuti masing-masing disampaikan oleh Puan Norazilawati binti Ab.Rahim dan Puan Noor Dalita binti Mohamed.

Dengan adanya taklimat seumpama ini, pemahaman setiap lapisan pegawai boleh dipertingkatkan dalam menjayakan aspirasi jabatan dan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Disediakan Oleh

Jeferidah binti Bujang

No comment »

KITAR SEMULA – ‘SAY NO TO PLASTIC BAGS’

Umum semua tahu pada setiap hari sabtu adalah merupakan Hari Tanpa Beg Plastik yang telah bermula pada awal tahun 2010. Kempen ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif seperti mengurangkan penggunaan beg plastik dan mempertingkatkan kesedaran pengguna awam terhadap impak-impak negatif penggunaan beg plastik. Kempen ini akan memberi kesedaran dan manfaat kepada para pengusaha dan pengguna iaitu mengurangkan kos pemprosesan beg plastik serta mengurangkan pencemaran alam sekitar, juga menjadi sebahagian daripada kempen mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan lapisan ozon.

Penggunaan beg plastik dalam pelbagai aktiviti khusus untuk memuatkan barangan yang dibeli digedung beli belah, pasar raya dan kedai sudah menjadi amalan biasa sejak berkurun lamanya. Kesedaran masyarakat terhadap sifar penggunaan beg plastik masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju untuk memastikan bumi ini bebas daripada sebarang pencemaran alam sekitar.

Peniaga-peniaga hyper/supermarts, departmental stores, farmasi, fast food restaurants, petrol kiosk stores diwajibkan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Kebanyakan beg plastik sukar untuk dilupuskan, malah beg plastik yang boleh dilupuskan tidak akan mereput tanpa kelembapan, cahaya dan oksigen di tempat pembuangan. Peniaga gerai juga digalakkan bertukar kepada kaedah pembungkusan yang lebih mesra alam. Dipasaraya-pasaraya sesiapa yang masih ingin menggunakan beg plastik boleh memperolehinya dengan bayaran sebanyak 20 sen sekeping pada hari tersebut. Berjayakah kempen ini jika dipasaraya-pasaraya kita masih boleh mendapatkan beg plastik walaupun hari tersebut telah diistiharkan sebagai hari tanpa beg plastik?????. Oleh itu bawalah beg membeli-belah jika anda ingin menjimatkan 20 sen tersebut.

Peraturan bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti plastik daripada sisa pepejal lain perlu diwujudkan supaya plastik boleh dikutip untuk kitar semula. Bagaimanapun usaha ini tidak akan membuahkan hasil yang baik sekiranya orang ramai tidak menjalankan tanggung jawab untuk tidak membuang beg plastik di merata tempat dan mengurangkan penggunaan beg plastik yang disediakan di kedai dan pasar raya.

Kerajaan juga mengumumkan pengurangan penggunaan beg plastik dengan menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik. Kita harap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik ini akan membolehkan kita mencapai wawasan menjadi negara hijau di Malaysia. Oleh yang demikian, seluruh ahli masyarakat disarankan agar mengurangkan penggunaan beg plastik sejajar dengan kempen kerajaan demi kesejahteraan hidup bersama.

Adalah disarankan semasa keluar membeli barangan dapur jangan lupa bawalah beg sendiri atau membawa bakul, karung kertas yang mudah dibawa atau yang boleh dilipat. Ianya kelihatan kemas bila diisi dengan barangan yang dibeli, cantik, bergaya dan senang dibawa kemana-mana serta tidak mudah terkoyak. Cuba amalkan………………


Inisiatif yang dilakukan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) patut dipuji dimana telah memperkenalkan beg plastik mudah urai untuk mengurangkan pengeluaran karbon di bandar pintar Malaysia. Beg plastik ini berwarna putih tetapi telus cahaya itu kelihatan sama seperti beg plastik lain cuma ia sedikit nipis. Biarpun nipis, ia masih mampu berfungsi seperti beg plastik lain dengan menampung berat beberapa kilogram makanan. Dalam tempoh lebih kurang enam bulan ke setahun, beg plastik tersebut boleh mereput sedikit demi sedikit menjadi habuk ringan yang mudah terbang apabila ditiup angin.

Justeru, pihak PPj diharap terus menjalankan kempen ini secara berterusan kerana keberkesanan perkara yang melibatkan sampah bergantung kepada sikap manusia.

Renungkan fakta ini yang dipetik dari sumber yang dikeluarkan oleh MOA mengenai beg plastik.

Renungilah fakta yang mengejutkan mengenai beg plastik dari kedai membeli belah:

  • Beg Plastik diperbuat dari polietilena. Polietilena adalah produk hasil dari petroleum.
  • Lebih kurang 60-100 juta tong petroleum digunakan untuk menghasilkan beg plastik setahun untuk seluruh dunia.
  • Penghasilan dan pengeluaran beg plastik menyumbang kepada pencemaran udara dan kadar pengunaan tenaga.
  • Pengeluar beg plastik menambahkan lagi pengeluaran karbon yang bertan-tan diudara setiap tahun.
  • Di United Kingdom, pengharaman beg plastik adalah bersamaan dengan mengurangkan 18,000 kenderaan di atas jalan.
  • Sebanyak 500 juta ke 5 trilion beg plastik dihasilkan dan digunakan setiap tahun diseluruh dunia.
  • Hanya 1% dari trillion yang dihasilkan itu dikitar semula.
  • Kebanyakan beg plastik polietilena mengambil selama 400 tahun untuk dibiodegradasikan. Sesetengah dari itu boleh mengambil masa selama 1000 tahun untuk diuraikan.
  • Apabila polietilena diuraikan, bahan toksik akan larut dan resap ke dalam tanah dan seterusnya ke rantai makanan kita.
  • Beg plastik adalah penyumbat tanah timbunan kita. Beg-beg ini menyekat jalanan pengairan, merosakkan landskap dan akan sentiasa mencemarkan tanah dan air kita.
  • Beg plastik juga memberi kesan yang padah kepada burung-burang dan mamalia marin yang menyangkakan beg tersebut adalah makanan. Setiap tahun, 100,000 penyu laut dan haiwan marin yang lain mati kerana beg plastik.

No comment »

Apakah maksud WARTA? What is Gazette?

Apakah maksud WARTA? What is Gazette?

Dalam Kamus Dewan edisi keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007, Warta ialah Berita, khabar.

Warta kerajaan adalah risalah yang diterbitkan oleh kerajaan untuk menyiarkan undang-undang (pelantikan dan lain-lain) yang telah disahkan oleh kerajaan.

Dalam Kamus Dwibahasa BI-BM edisi kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002.

Gazette / Warta adalah risalah (jurnal) berkala yang diterbitkan untuk menyiarkan pengumuman yang telah disahkan oleh kerajaan.

Dalam Akta Tafsiran 1948 Dan 1967 [AKTA 388], di bawah seksyen 3 takrifannya ialah: “Warta” termasuklah Warta rasmi Persekutuan yang disiarkan dalam bentuk elektronik atau lain-lain bentuk melalui perintah Kerajaan dan hendaklah, setakat mana yang ditentukan dalam subseksyen 18(3), termasuk Warta rasmi mana-mana Negeri.

Warta Negeri” ertinya Warta rasmi sesebuah Negeri (termasuklah sesuatu tambahan atau Warta khas).

Warta Persekutuan” ertinya Warta Persekutuan yang rasmi (termasuklah mana-mana tambahan atau Warta Luarbiasa).

Menurut seksyen 18 Akta 388 juga,

(1) Warta hendaklah disiarkan dalam bahagian-bahagian seperti berikut:

(a)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Akta Tambahan yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Akta Parlimen dan segala Ordinan yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong;

(b)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Perundangan Tambahan A yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Perisytiharan Diraja perintah, kaedah, peraturan dan undang-undang kecil;

(c)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Perundangan Tambahan B yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala perundangan kecil selain dari apa yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Perundangan Tambahan A;

(d)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Tambahan Rang Undang-undang yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Rang Undang-undang;

(e)   Satu bahagian yang hendaklah mengandungi semua perkara yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta atau yang Kerajaan mensifatkan perlu disiarkan untuk pengetahuan umum selain dari perkara yang subseksyen ini menghendaki supaya disiarkan dalam bahagian-bahagian lain.

(2) Siaran dalam Warta rasmi Persekutuan hendaklah merupakan sebagai makluman yang mencukupi mengenai apa-apa perkara yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta oleh atau di bawah mana-mana undang-undang persekutuan atau yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta Kerjaan Sabah atau Warta Kerajaan Sarawak oleh atau di bawah mana-mana enakmen Negeri-negeri itu yang telah diisytiharkan sebagai menjadi undang-undang persekutuan.

(3) Jika sesuatu perkara adalah hanya untuk pemakaian tempatan dan dikeluarkan di bawah kuasa seseorang pegawai Negeri atau sesiapa jua dalam Negeri itu yang mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah undang-undang persekutuan, ianya hendaklah merupakan makluman yang mencukupi jika perkara itu disiarkan dalam Warta rasmi Negeri yang bersangkutan.

(4) Jika Warta disiarkan dalam lebih dari satu bentuk, tarikh penyiaran Warta itu hendaklah disifatkan sebagai tarikh Warta itu mula-mula disiarkan dalam mana-mana bentuk.

Penulis : Pn. Lim Eng Bee (BPKSP)

***************************************************************************

Rujukan tambahan

Perhatian: Warta Kerajaan yang disiarkan di e-Warta adalah Warta Kerajaan versi elektronik yang diguna pakai di bawah seksyen 3 & subseksyen 18(4) Akta Tafsiran 1948 & 1967.

Warta Kerajaan Mingguan versi bercetak boleh didapati pada hari Isnin minggu berikutnya. Bagi Warta Mingguan, sila layari www.lawnet.com.my

Soalan Lazim dalam e-Warta :  www.e-warta.com.my

Q. Apa itu e-Warta?
Warta Kerajaan yang disiarkan di e-Warta adalah Warta Kerajaan versi elektronik yang digunapakai di bawah Seksyen 3 & Seksyen 18(4) Akta Tafsiran 1948 & 1967.
e-Warta akan disiarkan pada setiap hari dan/atau bila-bila masa yang dikehendaki atas Perintah Kerajaan Malaysia selepas jam 5.00 petang pada setiap hari.
Q. Apakah kandungan e-Warta?
e-Warta mengadungi Warta Kerajaan Persekutuan seperti berikut:
(i) Akta
(ii) Akta Pindaan
(iii) Rang Undang-Undang
(iv) Pemberitahu Undangan “A” – P.U (A)
(v) Pemberitahu Undangan “B” – P.U (B)
(vi) Pemberitahu Warta Persekutuan
Q. Apakah kebaikan e-Warta?
(i) Capaian kepada Undang-Undang dan Tambahan Perundangan yang dicetak oleh
Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).
(ii) Boleh diperolehi secara atas talian sebaik sahaja diwartakan.
(iii) Sentiasa mendapat maklumat mutakhir.

No comment »