Archive for December, 2012

Pemantauan Rancangan Pemajuan di Pejabat Projek Zon Timur

Rancangan pemajuan disediakan adalah bertujuan untuk memandu, mengawal dan menyeragamkan pembangunan di setiap kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia. Namun, sejauh manakah pemantauan atau peranan “check and balance” ke atas Rancangan Pemajuan dijalankan setelah penwartaannya dan siapakah pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan tersebut. Pada dasarnya, fasa pembangunan dan pelaksanaan projek akan bermula sebaik sahaja sesuatu rancangan pemajuan itu diwartakan dan diserahkan kepada pihak-pihak bertanggungjawab khususnya PBT dan agensi pelaksana untuk dikuatkuasakan penggunaannya. Bagaimanapun, didapati tiada pihak-pihak yang mengambil tanggungjawab untuk membuat pemantauan bagi memastikan pelaksanaan cadangan projek dibuat dan masalah-masalah yang timbul dalam pelaksanaan dikenalpasti.

Banyak contoh yang boleh kita jadikan panduan di dalam membuat pemantauan ini. Antaranya adalah di United Kingdom di mana seksyen 35, “The Planning and Compulsory Purchase Act 2004” telah memperuntukkan supaya laporan pemantauan disediakan oleh PBT dalam tempoh tidak lebih dari 12 bulan yang akan memperincikan pelaksanaan cadangan-cadangan dalam rancangan tempatan dan sejauh mana dasar-dasar yang dibentuk telah dicapai. Salah satu rancangan tempatannya yang telah dibuat pemantauan adalah “Enfield’s Local Plan Monitoring Report 2011”. Di Malaysia, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) tidak memperuntukkan mana-mana seksyen berkaitan dengan pemantauan terhadap rancangan pemajuan yang telah diwartakan. Bagaimanapun, Akta 172 hanya memperuntukkan subseksyen 18 (1) iaitu, setiap pemajuan hendaklah mengikut rancangan tempatan. Persoalannya di sini, adakah jabatan kita bersedia untuk memasukkan peruntukan sebagaimana akta tersebut di dalam Akta 172 di dalam memperkukuhkan rancangan pemajuan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia melalui Pejabat Projek Zon selaku pihak yang membantu  kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan dalam menyediakan rancangan pemajuan mengambil inisiatif menjalankan pemantauan terhadap rancangan pemajuan  yang telah diwartakan. Ianya juga adalah selaras dengan  arahan ICU Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2005 untuk membuat pemantauan dan penilaian program pembangunan dari aspek “outcome” dan impak. Antara langkah awal yang dijalankan oleh JPBD SM adalah :

  • Menubuhkan unit baru iaitu Unit Pemantauan di setiap Pejabat Projek Zon Timur, JPBD SM yang akan menyediakan laporan pemantauan 3+1 iaitu 3 rancangan tempatan dan 1 rancangan struktur pada setiap tahun.
  • Membangunkan sistem pemantauan rancangan struktur

Kesedaran untuk menjalankan pemantauan ke atas rancangan pemajuan di Pejabat Projek Zon Timur telah bermula pada tahun 2006 lagi. Sehingga tahun 2012, PPZR telah berjaya menyediakan laporan pemantauan sebanyak 18 laporan yang merangkumi rancangan struktur dan tempatan (3+1) sebagaimana yang diarahkan oleh pihak pengurusan Jabatan. Antaranya adalah:

Bil Tahun Rancangan Pemajuan
1. 2009
  • RT Batu Buruk – Chendering
  • RT Marang
  • RT Kerteh – Kemasik
  • RT Dungun – Paka
  • RTD Setiu
  • RTD Kemaman
2. 2010
  • RSN Kelantan
  • RT Jeli
  • RTD Rompin
  • RTD Bera
3. 2011
  • RSN Pahang
  • RTD Kuantan
  • RTD Besut
  • RTD Marang
4. 2012
  • RSN Terengganu
  • RTD Dungun
  • RTD Temerloh
  • RTD Bentong

Sepanjang pemantauan dijalankan terdapat banyak permasalahan yang telah dikenalpasti iaitu:

  • Tiada penilaian atau pemantauan secara berkala dibuat amnya ke atas cadangan-cadangan yang telah dipersetujui oleh agensi-agensi pelaksana setelah sesuatu rancangan pemajuan itu diwartakan.
  • Terdapat cadangan projek-projek pembangunan dipertanggungjawabkan kepada pelbagai agensi pelaksana di mana satu projek mempunyai 2 atau 3 agensi pelaksana.
  • Terdapatnya ketidakfahaman atau kekeliruan di pihak PBT dalam penentuan lokasi projek memandangkan rancangan tempatan tidak menetapkan lokasi secara “site specific”.
  • Sesetengah permohonan kebenaran merancang yang diluluskan tidak mematuhi rancangan tempatan sama ada dari aspek zoning atau kelas kegunaan tanah yang ditetapkan.
  • Terdapat projek pembangunan yang dicadangkan tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan ketiadaan peruntukan dan agensi pelaksana tidak menyemak cadangan untuk memohon peruntukan untuk melaksanakannya.

Hasil daripada pemantauan rancangan pemajuan yang telah dijalankan oleh PPZR menunjukkan betapa perlu dan pentingnya pemantauan ini dijalankan selepas penwartaan. Kita boleh menilai sama ada polisi dan sasaran yang dicadangkan mencapai objektifnya. Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah yang proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan di peringkat daerah. Ini menunjukkan satu petanda yang baik dan adanya rasa tanggungjawab di dalam memastikan pembangunan mengikut perancangan.

Oleh itu, tidak akan timbul isu perancangan hanyalah perancangan yang selalu dibangkitkan oleh sesetengah pihak dan sekaligus penyediaannya adalah berbaloi dengan kos yang digunapakai.

No comment »

ADA APA DI KOTA SINGA


Jauh perjalanan luas pengetahuan…..Walaupun perjalanan kali ini tidaklah sejauh mana iaitu hanyalah di negara jiran kita Singapura tetapi ia tetap memberi pengalaman dan pendedahan baru. Satu Program Lawatan Kerja Teknikal ke Singapura telah diadakan pada 25 hingga 28 September 2012 yang lalu. Lawatan yang dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Labuan ini disertai oleh 10 orang pegawai dari Perbadanan Labuan dan 10 orang pegawai dari Bahagian Perancangan Wilayah, JPBD Ibu Pejabat. Tujuan lawatan ini di antara lain adalah sebagai penandaaras (benchmarking) Kajian Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan Labuan 2030 serta pendedahan kepada lapisan pegawai dari segi perancangan dan pembangunan yang diamalkan di Singapura.


Sebelum memasuki negara jiran ini kami sempat singgah ke Pusat Khidmat Iskandar yang terletak di Danga Bay, Johor Bahru. Di sini Pasukan Kajian telah diberi taklimat dan informasi mengenai Pembangunan Iskandar yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) yang disampaikan oleh En. Mohamed Jamil b. Ahmad dan Cik Suraya bt. Dato’ Badaruddin.

Program untuk hari kedua diteruskan dengan perjalanan memasuki Singapura melalui Woodland. Perjalanan masuk pada hari ini agak sesak kerana kebetulan sama waktu dengan warga Johor yang hendak memasuki Singapura untuk ke tempat kerja. Perjalanan kami di Singapura dipandu oleh seorang pemandu pelancong warga tempatan yang sungguh berpengalaman iaitu Pn. Adida. Di sepanjang perjalanan, pelbagai informasi mengenai Singapura telah diceritakan kepada kami. Menurut Pn. Adida, setiap hari lebih kurang 32,000 orang yang tinggal di Johor Bahru memasuki Singapura untuk bekerja. Disebabkan perbezaan mata wang juga menurut beliau setiap 3 atau 4 hari seminggu penduduk Singapura akan memasuki Johor Bahru untuk mengisi petrol (biasanya pada pukul 11.00 malam ke atas kerana tiada kesesakan lalu lintas).

Lawatan pertama ialah ke Urban Redevelopment Authority, Singapura (URA) yang merupakan Pihak Berkuasa Tempatan di Singapura. Di sini kami sempat melihat galeri pameran yang menempatkan pelbagai cadangan pelan dan pembangunan yang telah dan akan dirancang untuk Singapura. Apa yang menariknya di sini persembahan pelan dan cadangan diolah dan disusun dengan begitu menarik sekali dalam pelbagai bentuk untuk bacaan awam. Di samping ruang pameran yang luas dan besar, orang awam juga bebas berkunjung ke galeri ini.

Seterusnya kami dibawa melawat ke Marina Barrage di mana terletaknya Sands Skypark yang merupakan salah satu tarikan pelancong di Singapura. Tiket untuk naik ke Skypark ini berharga S$20.00 di mana pada aras ketinggian 57 tingkat kami dapat melihat pemandangan hampir keseluruhan Bandar Singapura.

Marina Barrage merupakan sebuah empangan atau sekatan sepanjang 350 meter yang dibuat merentasi Terusan Marina. Projek mega bernilai S$226 (RM 565 juta) ini telah menukarkan Marina Bay kepada takungan air sebagai alternatif bagi membekalkan air bersih kepada rakyat Singapura. Sekatan yang dibina memisahkan air dalam takungan ‘Marina Basin’ dengan air laut yang masin. The Marina Barrage juga dianggap sebagai first “Reservoir in the city” di Singapore. Selain tarikan pelancong, ia juga berperanan mengawal banjir serta menjadi tempat perkelahan atau rekreasi kepada rakyatnya. Di Marina Barrage juga terdapat galeri atau ruang pameran untuk pengunjung memahami dengan lebih mendalam mengenai Marina Barrage.

Pada sebelah petang pula kami di bawa ke kawasan Merlion Park yang merupakan ‘Landmark’ Singapura di mana tarikannya ialah mercu tanda separuh singa dan separuh ikan yang paling besar di Singapura (8.6 meter) di samping menikmati pembangunan ‘Waterfront’ yang sungguh menarik.

Selain itu kami juga sempat singgah ke Chocolate Galery dan menunaikan solat di Masjid Sultan di Arab Street. Sepanjang berada di Singapura kami menginap di Orchard Parade Hotel di mana Orchard Road merupakan shopping street yang terkenal di Singapura. Malangnya kami tidak berkesempatan untuk mengunjungi kompleks membeli-belah kerana kesuntukan masa.

Setelah dua malam berada di Singapura tibalah masanya untuk kami pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan keluar dari Singapura kali ini adalah melalui 2nd Link dari Tuas, Singapura ke Tanjung Berlepas,Johor Bahru. Apa yang ingin dikongsi sebaik sahaja memasuki pintu masuk imegresen ke negara kita ini ialah keadaan infrastruktur dan utilitinya iaitu tandas yang tidak diselenggara dengan sempura. Dengan keadaan yang kotor dan mengecewakan ini amat berbeza sekali dengan keadaan tandas yang kami lihat di Singapura. Diharapkan segala pendedahan baru ini dapat membantu ahli-ahli pasukan kajian memperluaskan lagi pengetahuan khususnya dalam bidang perancangan dan pembangunan.


Disediakan Oleh :

Norhasliza Rohan

No comment »