Archive for May, 2013

Ladang Anggur Tasik Beris Antara Produk Agro-Lancong Daerah Sik

Ladang anggur Tasik Beris antara aset tarikan pelancong yang mampu meletakkan Daerah Sik di peta pelancongan Malaysia.

Ladang ini diusahakan di atas kawasan seluas 34 ekar. Ia merupakan satu-satunya ladang anggur yang pertama dan terbesar bukan saja di peringkat Negeri Kedah malah di Asia Tenggara. Terletak lebih kurang 75 km atau sejam perjalanan dari Alor Setar.

Anggur terkenal dengan seribu satu keistimewaan yang hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim dingin. Tetapi dengan penyelidikan rapi serta mengaplikasikan teknologi tinggi percubaan menanam anggur secara komersial di Tasik Beris telah berhasil.

Pokok anggur hidup subur dalam “green house” dan berjaya mengeluarkan buah yang lebat. Jenis anggur yang ditanam di sini terdiri daripada Black Opal, Black Grape, White Malaga dan Lose Plite. Jumlah keseluruhan yang ditanam adalah sejumlah 7000 pokok. Dan buah anggur dari 1000 pokok pertama telah berjaya dituai pada 2008.

Pengunjung dibenarkan untuk melawat ladang dan melihat pokok anggur secara lebih dekat. Walau bagaimanapun pengunjung tidak dibenarkan memetik buah anggur di ladang ini.

Sekiranya pengunjung berhajat, boleh membelinya di SALES GALLERY yang disediakan pihak pengurusan ladang. Selain daripada buah segar pengunjung juga boleh membeli produk hilirannya seperti kordial, jem, anggur kering juga minyak dari biji anggur (grapes seeds oil). Dan kepada yang berminat untuk menanam anggur juga berpeluang membeli anak benih yang disediakan di sini.

Jadi, untuk melihat dan merasai buah anggur segar dari ladang di kawasan cuaca panas seperti negara kita sudah tidak menjadi perkara yang mustahil lagi. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu “tawaran istimewa” kepada pengunjung tempatan yang belum berkesempatan untuk ke negara beriklim dingin.

Berlatarkan gunung dan tasik membuatkan Ladang Anggur ini bertambah istimewa. Selain daripada ladang anggur itu sendiri, disediakan juga walkways sebagai kemudahan pengunjung menikmati keindahan tasik serta pemandangan hutan semulajadi di sekelilingnya.

Pengunjung juga dapat merehatkan minda dan mengembalikan kesegaran badan sambil menikmati kudapan di bawah payung yang disediakan di al-fresco berhadapan pintu masuk utama ke ladang ini.

Kemudahan penginapan juga disediakan untuk pengunjung yang berminat untuk bermalam di ladang ini. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini telah melengkapkan ladang anggur sebagai pakej agro-lancong yang berdaya saing sebagai destinasi pelancongan negara.

No comment »

BENGKEL PPA 172: NOTIS PEMBELIAN

Baru-baru ini Bah. Perundangan dan Kawal Selia Perancangan (BPKSP) telah mengadakan siri 1 Bengkel Panduan Pelaksanaan Akta 172: notis pembelian di Hotel Holiday Villa, Kelantan. Seramai hampir 30 peserta yang hadir ke bengkel ini antaranya JPBD Ibu Pejabat, JPBD Negeri, PBPT, Bahagian Penilaian, Wakil Kementerian dan PTG Negeri. Bengkel selama 2 hari ini membincangkan halatuju dan kaedah pemakaian pelaksanaan notis pembelian di bawah seksyen 37 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

Antara isu-isu yang diketengahkan adalah berkenaan hubungkait notis pembelian dibawah Akta 172 dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486). Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan bagi membincangkan berkenaan isu-isu berhubung dengan proses dan perundangan notis pembelian, carta alir notis pembelian dan pengambilan tanah serta peranan pihak-pihak terlibat dengan notis pembelian.

Mungkin ada dikalangan kita yang kurang faham apakah yang dimaksudkan dengan notis pembelian ini? Notis pembelian dikeluarkan oleh tuan punya tanah berdaftar apabila berlaku 2 keadaan seperti berikut:-

i) PBPT menolak KM disebabkan tanahnya telah dizonkan untuk maksud awam dalam rancangan pemajuan dan tidak lagi berupaya untuk kegunaan yang berfaedah; dan

ii) PBPT mengeluarkan notis rekuisisi di bawah seksyen 30, Akta 172 dan pematuhan kepada notis itu menyebabkan tanahnya tidak lagi boleh digunakan untuk kegunaan berfaedah.

Dengan kata lain, pengezonan rancangan pemajuan perlu mengambilkira kesan kepada tuan punya tanah berdaftar terutamanya untuk maksud awam kerana kita (tuan punya tanah) boleh mendapatkan pampasan melalui notis pembelian ini. So, hati-hati dalam penyediaan zoning dalam rancangan-rancangan pemajuan kelak. Atau rakan-rakan ada pandangan dalam isu notis pembelian? boleh dikongsikan bersama.

No comment »

MAJLIS PERASMIAN PROJEK STRATEGI LAUTAN BIRU NEGARA 7 (NBOS-7) (MY BEAUTIFUL NEIGHBOURHOOD)

Strategi Lautan Biru Negara atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) ialah satu program yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri yang memfokuskan kepada beberapa perkara iaitu:

  1. Penghasilan idea yang kreatif;
  2. Kolaborasi antara jabatan atau agensi;
  3. Memerlukan kos perbelanjaan yang minimum;
  4. Melaksanakan dengan segera;
  5. Meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat; dan
  6. Hasilnya berimpak tinggi.
  7. KPKT bertanggungjawab melaksanakan NBOS 7 : My Beautiful Neighbourhood iaitu membaikpulih perumahan awam kos rendah yang dimiliki oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau PBT. Semua agensi di bawah KPKT iaitu JPN, JKT, JPBD, PPSPPA mengemblengkan tenaga dan peruntukan untuk membaik pulih kawasan perumahan awam tersebut.

Pada 16 Mac 2013 (Sabtu) yang lalu, Rumah Pangsa Ujong Pasir, Melaka telah di pilih sebagai lokasi perasmian program ini. Ia melibatkan program menambah baik dan membaik pulih kawasan perumahan yang dimiliki oleh penduduk di kawasan tersebut. Majlis telah disempurnakan oleh mantan Ketua Menteri Melaka dan dihadiri oleh tetamu-tetamu VIP seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Bandar MBMB, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara dan lain-lain.

Pejabat Projek Zon Selatan (PPZS) telah bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam program ini. PPZS telah dilantik sebagai Jawatankuasa Makanan iaitu menyelaras makanan bagi sesi pagi dan tengahari untuk tetamu VIP dan tetamu awam yang hadir pada hari tersebut.

PPZS turut terlibat dalam menyediakan pameran yang berkaitan dengan Bandar Selamat yang telah disediakan oleh Unit NKRA Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia. Selain itu, PPZS juga turut menyertai dan memeriahkan aktiviti gotong-royong dalam membersihkan sekitar kawasan Rumah Pangsa Ujong Pasir pada hari Jumaat (15 Mac 2013) iaitu sehari sebelum majlis perasmian berlangsung.

No comment »

South of the Border

Johor Bahru 2013

Lawatan ke Johor dan Singapura  oleh rombongan JPBD Sem. Malaysia pada 13-17.5.2013 meliputi kawasan Iskandar Malaysia dan Singapura dengan hasrat untuk mendapat lebih maklumat mengenai usaha agensi-agensi kerajaan dalam menangani pembangunan Compact City. Badan-badan yang dikunjungi adalah MPJBT di Skudai serta CLC, URA dan HDB di Singapura. Kesimpulannya, usaha penguatkuasaan telah banyak main peranan untuk merealisasikan pelaksanaan perancangan fizikal sekitar Singapura agar ianya terancang, teratur dan indah manakala usaha Kerajaan Presekutuan dalam melabur berjuta-juta ringgit bagi infrastruktur jelas telah menjanakan banyak ekonomi spin-off sekitar kawasan Nusajaya hingga merebak ke kawasan jiran seperti Danga Bay, Johor Bahru.

Taklimat di MPJBT

Danga Bay, Johor Bahru

Bangunan Kerajaan, Nusajaya

Putri Harbour, Nusajaya

Stesen Keretapi JB baru

Downtown Singapore model, URA

Skyscrapers, Singapura

High-rise gardens

Laluan pejalan kaki, Singapura

Conservation, sekitar Kg. Gelam

Preservation, Masjid Kg. Gelam

Usaha perancangan bandar oleh HDB

No comment »

KE MANA PERGINYA MASA ?…

Setiap manusia memiliki masa yang sama banyak, iaitu 24 jam sehari. Anda tidak boleh mencuri, meminjam, menukar atau membeli masa walaupun anda kaya, berpangkat dan mempunyai kuasa. Walaupun masa yang dimiliki oleh setiap individu sama banyak, namun ada juga segelintir yang merungut masa mereka tidak mencukupi dan ada juga yang merasakan masa mereka terlalu banyak. Mengapa perkara ini terjadi ?

Anda merungut tidak mempunyai masa yang cukup mungkin disebabkan anda berada dalam situasi-situasi tertentu yang menarik. Misalnya, mungkin anda terlalu sibuk atau sedang bergembira. Jadi, anda merasakan masa berlalu begitu pantas sehinggakan 24 jam itu tidak mencukupi. Manakala masa anda terasa terlalu panjang mungkin kerana anda bosan, tiada tugas-tugas yang perlu dilakukan dan juga tidak sabar untuk menghadapi sesuatu perkara. Walau apa pun, yang penting adalah anda perlu menggunakan masa yang diberikan sebaik mungkin.

Apabila anda gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, anda mungkin:

  • Membazir banyak masa yang berfaedah
  • Menjadi tidak produktif
  • Mendapat tekanan (stress)
  • Menjadi cemas dan bimbang
  • Bertambah gusar dan mudah marah Dan yang paling utama, anda:
  • Gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan

Sepuluh (10) Saranan Bagi Pengurusan Masa Yang Berkesan.

Budayakan Tabiat Suka Mencatat – Umumnya ramai dalam kalangan kita yang merasa penat kerana terlalu memikirkan banyak perkara, terutama apabila kita cuba untuk memastikan semua tugasan dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan. Kenapa tidak cuba untuk membudayakan diri kita membuat catatan, ia sangat membantu meringankan beban fikiran. Budaya suka mencatat juga dapat memastikan idea tidak dibazirkan hanya kerana kita lupa, sebaliknya dapat dikembangkan. Idea tidak datang selalu, jadi amalkan membawa buku catatan kecil dan pen dimana jua anda berada.

Tugas Mengikut Keutamaan – Menyusun tugas mengikut keutamaan menjadikan diri kita lebih fokus disamping dapat menjimatkan masa.

Bezakan Tugasan Utama & Tugasan Sampingan – Elakkan dari mencampur-adukkan tugasan utama dan tugasan sampingan. Rujuk senarai tugas anda.

Rancangkan Jadual Kerja Anda – Rancang jadual kerja mengikut minggu dan bulan. Peruntukkan waktu untuk merancang kerja dan menyemak kembali pencapaian setiap minggu.

Berfikir Sebelum Bertindak & Belajarlah Berkata Tidak – Amalkan berfikir sebelum bertindak dan memberikan sebarang persetujuan. Manusia dipegang pada janji dan kerana mudah menerima dan berjanji, maka ramai dalam kalangan kita yang merasa terbeban untuk memenuhinya. Belajarlah untuk berkata tidak kepada perkara-perkara yang dirasakan tidak perlu dan membazirkan masa.

Peningkatan Diri Secara Berterusan – Luangkan masa konsisten untuk mempelajari perkara baru, atau sekurang-kurangnya dengan membaca. Membaca dapat meningkatkan pengetahuan dan keupayaan diri. Kedua-duanya dapat membantu membina keyakinan diri terutama dalam menjalankan tugasan seharian.

Jadualkan Tugasan Harian Anda – Terdapat tugasan atau perkara-perkara yang dibuat secara rutin setiap hari. Agihkan waktu yang bersesuaian untuk memastikan tugasan tersebut berjalan lancar.

Hapuskan Tabiat Membazir Masa – Setiap orang mempunyai kelemahan tersendiri, apatah lagi dalam pengurusan masa.  Cuba kenalpasti dan hapuskan tabiat buruk berkenaan. Aktiviti seperti berbual kosong, menonton tv secara keterlaluan, melepak, melayari internet tanpa tujuan, chatting dan sebagainya haruslah dihapuskan dari kamus hidup anda.

Mengapa Buat Kerja Orang Lain ? – Adakah dengan membuat kerja orang lain, anda menjadi popular dan disenangi, menjadi hero ataupun anda sebenarnya membuat kerja yang tidak bermanfaat – membazirkan masa sendiri ?

Jangan Jadi Perfectionist – Anda pentingkan kesempurnaan ? Ia adalah ciri yang bagus, tetapi tidak semua tugas memerlukan anda mengerahkan kemampuan anda semaksimum mungkin. Ada tugasan yang perlukan ketelitian dan ada tugasan yang mudah serta ringkas untuk dilaksanakan.

Disediakan Oleh :

Hamidah Binti Shahir

Bahagian Perancangan Wilayah

No comment »