Archive for June, 2013

LAWATAN KE MAJLIS BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH

Melaka World Heritage merupakan anak syarikat Jabatan Ketua Menteri Melaka. Berfungsi untuk membantu kerajaan negeri dan MBMB untuk mengurus tadbir tapak yang telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia (UNESCO). Unit konservasi telah ditubuhkan untuk mengawalselia kawasan bersejarah di Melaka.

Dutch Land Title – Kebanyakan rumah di Melaka mempunyai fasad dan karakter yang berbeza. Pemilik tanah mempunyai pegangan tanah selama 999 tahun. Oleh kerana setiap bangunan merupakan Dutch Land Title, tiada garis panduan khusus bagi bangunan kedai dan perumahan. Walaubagaimanapun, setiap permohonan untuk mengubahsuai bangunan perlu menjalankan Heritage Impact Assesment untuk memohon Kebenaran Merancang dan kelulusan pelan bangunan sebelum diluluskan oleh Jabatan Perancang dan Jabatan Kawalan Bangunan.

RKK Melaka – RKK Melaka telah dihantar ke United Nations Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO) di dalam bentuk Conservation Management Plan (CMP).

Soft Loan – Akan diberikan oleh pihak MBMB kepada penduduk yang berhasrat untuk membaikpulih bangunan atau membuat perubahan fasad bangunan. Peruntukan ini adalah daripada pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Bayaran Soft Loan tersebut dibuat melalui cukai taksiran tahunan. Perubahan fasad bangunan diberi penekanan kepada bahagian belakang rumah yang menghadap ke arah sungai iaitu jeti, dapur, dan tandas yang perlu dipindahkan kebahagian tengah rumah.

Rezab Sungai Melaka – Disebabkan rizab Sungai Melaka yang kecil, maka setiap pemilik bangunan yang terletak disepanjang sungai perlu membuat serahan di bahagian belakang rumah untuk dijadikan sebagai kawasan laluan aksessibiliti para pelancong. Bahagian belakang rumah yang meliputi tandas dan dapur akan diubahsuai menjadi bahagian hadapan yang menghadap ke arah Sungai Melaka. Untuk menjadikan satu show case kepada penduduk setempat, sebanyak 18 buah bangunan milik kerajaan telah menjadi pilot project kepada kediaman di sepanjang Sungai Melaka. Rentetan dari berjayanya pilot project tersebut telah mencetuskan minat yang sama untuk dilakukan terhadap rumah-rumah kedai di kawasan Sungai Melaka. Peruntukan bagi pengubahsuaian ini disalurkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Isu lorong belakang – Hampir keseluruhan bangunan perniagaan di Melaka tidak mempunyai lorong belakang. Setiap bangunan perniagaan akan bercantum di bahagian belakang. Isu ini menyebabkan masalah bagi pihak bomba untuk melakukan kerja – kerja pencegahan kebakaran.

Disediakan Oleh :
Norazam Bin Sulaiman,
Unit Rancangan Pembangunan 2,
Pejabat Projek Zon Tengah.

No comment »

ALAT PEMADAM API DAN PENGESAN ASAP DI BANGUNAN KEDIAMAN – ADAKAH SATU KEPERLUAN?

Adakah rumah anda dilengkapi dengan alat pemadam api dan pengesan asap? Sekiranya belum, teruskan membaca artikel ini sebagai info semasa anda.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, premis kediaman menyumbang sebanyak 55 peratus atau 2,918 kes daripada 5,240 kes kebakaran yang berlaku pada tahun 2012. Sekiranya rumah kita mempunyai alat pemadam api dan pengesan asap, sekurang-kurangnya tindakan awal dapat diambil bagi menyekat api daripada terus marak dan merebak ke bahagian lain kediaman.

Tempoh masa 5 minit awal ketika kebakaran adalah waktu paling kritikal dan mampu menyelamatkan nyawa sekiranya kediaman kita dilengkapi dengan sistem pengesan asap. Kajian menunjukkan peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50 peratus lebih tinggi sekiranya alat pengesan asap dipasang dan berfungsi berbanding dengan rumah yang tidak memilikinya.

Selain itu, penggunaan alat pemadam api mudah alih boleh juga digunakan di dalam kenderaan kita dan amatlah disarankan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kemalangan dan kebakaran kecil. Alat ini juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk memecahkan cermin sekiranya anda terkunci di dalam kenderaan dan tidak dapat keluar.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan disaran mensyaratkan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih sebagai langkah awal di dalam mengurangkan risiko kematian dan kerugian harta benda akibat berlakunya kebakaran. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh memainkan peranan melalui ‘One Stop Centre’ (OSC) dalam menetapkan syarat wajib kepada pemaju perumahan untuk menyediakan alat pemadam api dan pengesan asap sebelum sesuatu kelulusan Sijil Layak Menduduki dikeluarkan. Saranan ini boleh dijadikan langkah awal dalam mencegah sesuatu kebakaran.

Pada pandangan saya, penyediaan alat pemadam api dan pengesan asap di bangunan kediaman sama ada disediakan oleh pemaju atau pemilik kediaman sendiri adalah langkah awal mencegah daripada berlakunya kebakaran yang lebih besar, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa orang yang kita sayangi. Adakah penguatkuasaannya satu keperluan? Sama-sama kita fikirkan.

No comment »

REMOTE SENSING DALAM PERANCANGAN BANDAR

Perkembangan pesat penggunaan teknologi remote sensing dan GIS di Malaysia bermula pada era 80an terutamanya dalam aspek pemantauan terhadap alam sekitar dan pemajuan sesuatu kawasan untuk dijadikan sebagai kawasan penempatan, pertanian dan pewujudan bandar-bandar baru yang yang lebih terancang dan tersusun. Penggunaan teknologi ini dalam menilai sumber-sumber hutan, mengesan hakisan tanah, memantau ekologi marin dan perancangan Bandar telah terbukti dapat membekalkan data yang terkini dan tepat, di samping menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja berbanding dengan cara konvensional telah mendorong kerajaan menubuhkan Pusat Remote Sensing Malaysia (MACRES) pada tahun 1988.

Di Malaysia, teknologi remote sensing telah mula digunapakai dalam bidang perancangan bandar sejak tahun 2000. Penggunaan kaedah remote sensing secara umumnya telah digunakan sebagai asas untuk menentukan sempadan perbandaran (urban boundary), tepubina, klasifikasi guna tanah mengikut kelas umum dan di dalam aspek-aspek pembangunan sesuatu perancangan bandar yang terancang. Khusus bagi perancangan bandar, data-data yang di perolehi daripada teknologi remote sensing adalah amat berguna untuk dijadikan sebagai maklumat dan panduan di dalam membuat penyelidikan serta arah tuju pembangunan.

Pengunaan tanah bagi sesuatu kawasan sentiasa mengalami perubahan yang berterusan. Perubahan ini dapat diperhatikan melalui pemetaan kawasan tersebut. Pertambahan populasi penduduk serta aktiviti yang dijalankan adalah sesuatu yang amat penting untuk tujuan perancangan bandar yang lebih berkesan. Kaedah remote sensing juga dapat membantu dalam menyediakan peta-peta gunatanah bagi tujuan perancangan bandar, Ini kerana kaedah remote sensing dapat merakam imej dari udara, mengesan setiap perubahan guna tanah dan membuat klasifikasi ke atas tanah dari masa ke semasa. Data berbentuk digital yang diperolehi melalui kaedah remote sensing akan ditukar kepada maklumat berbentuk peta guna tanah dengan menggunakan perisian sistematik. Dengan kaedah ini ia dapat menjimatkan masa, lebih mudah dan data yang diperolehi lebih tepat.

No comment »

MESYUARAT PENGURUS-PENGURUS PROJEK BAHAGIAN RANCANGAN PEMBANGUNAN BIL 1/2013 (HOTEL GRAND RIVERVIEW, KOTA BHARU)

Mesyuarat Pengurus-Pengurus Projek, Bahagian Rancangan Pembangunan bagi tahun 2013 telah berjaya diadakan pada 27 hingga 29 Mei yang lalu bertempat di Negeri Kelantan Darul Naim. Mesyuarat yang pertama kali diadakan bagi tahun ini telah dipengerusikan oleh Y. Brs Encik Kamalruddin Bin Shamsuddin iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.

Mesyuarat yang dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Projek selama 2 hari ini telah dihadiri seramai hampir 50 orang pegawai yang terdiri daripada Pengarah JPBD Negeri, Pengarah Bahagian, Pengurus-Pengurus Projek dan wakil-wakil JPBD Negeri serta Pejabat Bahagian.

Sepanjang mesyuarat berlansung, pelbagai perkara telah dibincangkan berkaitan dengan pelaksanaan rancangan pemajuan sama ada dari sudut fizikal mahupun kewangan. Dilihat sebagai paltform utama dalam membincangkan perkara berkaitan dengan rancangan pemajuan, kesempatan ini telah digunakan oleh pengurus-pengurus projek dalam memgemukakan cadangan, mengutarakan permasalahan dan mencari jalan penyelesaian terbaik secara kolektif bagi memastikan penyediaan rancangan pemajuan mencapai sasaran sebenar.

Pada mesyuarat kali ini juga, sebanyak 6 kertas kerja telah dibentang iaitu:-

  1. Pembangunan Sistem Maklumat Perancangan Gunatanah Bersepadu (I-Plan)
  2. Definisi Bandar, Luar Bandar dan Had Pembangunan Bandar
  3. Aspek-aspek Perundangan Dalam Penyediaan Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas
  4. Draf Manual Rancangan Tempatan (RT) – RT Penggantian dan RT Pengubahan Edisi 2013
  5. Manual Pemantauan dan Penilaian Program Rancangan Pemajuan (Pindaan)
  6. Cadangan Untuk Membuat Semakan dan Pindaan Kepada Manual Rancangan Struktur

Program Lawatan Teknikal ke Tok Bali, Pasir Puteh turut diadakan sempena mesyuarat kali ini. Di sini pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah memberi taklimat perancangan pembangunan Bandar Baru Tok Bali hasil daripada RKK Tok Bali yang telah disediakan. Selain itu, pihak East Coast Terminal turut memberi taklimat berkaitan dengan Pembangunan Pelabuhan Portokbali yang sedang giat dijalankan.

Di akhir lawatan teknikal ini, para pegawai telah dibawa menaiki kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melihat pembangunan Tok Bali daripada arah laut.

No comment »

PERHIMPUNAN BULANAN JPBD SM BULAN MEI 2013 “MENGHARGAI PEKERJA ORGANISASI CEMERLANG” ANJURAN BRFN


Warga Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN)

Pada 8 Mei 2013 yang lalu, telah berlangsungnya satu Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia bagi bulan Mei 2013 yang dianjurkan oleh Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN) dengan tema “Menghargai Pekerja Organisasi Cemerlang”. Tema kali ini bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei 2013 setiap tahun.

Majlis dimulakan dengan persembahan koir jabatan dan disusuli dengan bacaan doa. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian amanat oleh YBhg. Dato’ Mohd. Fadzil bin Hj. Mohd Khir, Ketua Pengarah JPBD SM. Bersesuaian dengan tema iaitu menghargai pekerja, pada majlis perhimpunan kali ini telah diadakan acara penyampaian Sijil Penghargaan dan Anugerah Khas Pekerja kepada pegawai dan bahagian yang telah memberi sumbangan serta mengharumkan nama jabatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Persembahan Koir oleh Pasukan Koir JPBD

Penyampaian Amanat oleh YBhg. Dato’ Ketua Pengarah JPBD SM

Penyampaian Sijil Penghargaan Pencapaian kepada Bahagian Perancangan Wilayah

Penyampaian Anugerah Khas Pekerja Tidak Pernah Datang Lewat 2012

Perhimpunan juga turut mengambil kesempatan menganjurkan Majlis Persaraan Tuan Haji Mohd. Azam bin Mohd Abid, Pengarah JPBD Negeri Johor yang telah memilih untuk bersara pilihan pada usia 58 tahun. Tidak lengkap rasanya sesebuah majlis tanpa sebarang ucapan, majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian amanat dan pesanan daripada Tuan Haji Mohd Azam kepada semua barisan pegawai dan warga JPBD yang hadir. Sesi diteruskan dengan acara memotong kek dan penyampaian hadiah sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang bertugas di JPBD Semenanjung Malaysia.

Penyampaian Amanat dan Ucapan Perpisahan daripada Tuan Haji Mohd Azam bin Mohd Abid

Upacara Memotong Kek

Penyampaian Cenderahati daripada Pengarah Negeri Perak

Sesi Fotografi Bersama Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Pengarah Negeri

Seluruh warga JPBD merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Haji Mohd Azam. Semoga beliau senantiasa di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya di samping keluarga tercinta.

Sepanjang majlis berlangsung, satu aktiviti ‘booth’ jualan telah diadakan oleh Jawatankuasa Kepimpinan Melalui Teladan (KMT), Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN).

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin kami kongsikan sedikit info berkaitan “Cara Menangani Beban Kerja”. Terkadang kerja yang menimbun menjadikan seseorang itu mengalami tekanan emosi, jiwa dan fizikal jika tidak dikawal. Oleh demikian, di sini terdapat beberapa tips atau langkah yang boleh diambil sebagai inisiatif dalam mengatasi masalah seharian adalah seperti berikut:

1. Rehat seketika antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

2. Merangka jadual kerja seharian anda. Berikan keutamaan kepada yang paling penting.Selesaikan satu persatu.

3. Bersikap realistik. Jangan bebankan diri anda jika tidak mampu melakukan sesuatu pekerjaan. Atau, lakukan secara beransur-ansur tetapi tetap.

4. Banyakkan pergaulan, jangan abaikan teman-teman atau keluarga sendiri semata-mata kerana terikat dengan jadual kerja yang ketat. Mereka adalah pembantu kita di dalam kesusahan.

5. Kerap bersenam dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang boleh mengurangkan ketegangan. Ia juga mampu menyenyakkan tidur dan mengelakkan kerisauan yang tidak menentu.

6. Luahkan masalah anda kepada orang lain seperti pasangan anda, keluarga dan teman-teman yang mungkin boleh membantu. Hasilnya anda akan berasa lega.

7. Bercuti sambil berehat untuk merehatkan fikiran anda. Tidak semestinya melancong ke luar negara, dalam negara sendiri sudah memadai.

8. Jangan memendam rasa. Kesilapan lepas dijadikan pengajaran bukannya dikesali untuk sepanjang hayat. Ingat, semua orang melakukan kesilapan dan kita tidak terkecuali.

9. Jumpa doktor atau pakar jika masalah tidak juga dapat diatasi; jangan segan berjumpa doktor atau pakar untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Syukur ke hadrat Illahi kerana Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa bagi bulan Mei 2013 pada kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Di harapkan segala apa yang telah di amanatkan oleh Ketua Pengarah kepada kita semua dapatlah ia dijadikan sebagai panduan dan ikutan dalam melaksanakan setiap tugasan yang diamanahkan. Sesungguhnya pembentukan sebuah organisasi yang gemilang adalah lahir daripada pekerja yang cemerlang.

Oleh : Siti Nur Fatin bt. Raduan

No comment »