Archive for July, 2013

LAWATAN TEKNIKAL KE MAJLIS DAERAH PONTIAN, TAMAN NEGARA PULAU KUKUP DAN TANJUNG PIAI, PONTIAN, JOHOR DARUL TAKZIM

Pejabat Projek Zon Tengah telah mengadakan lawatan ke Majlis Daerah Pontian, Taman Negara Pulau Kukup dan Tanjung Piai, Pontian Johor. Tujuan lawatan ke Majlis Daerah Pontian adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Rancangan Khas Kawasan Permas Kechil-Kukup 2015 yang mana ianya sebagai benchmark bagi cadangan projek RKK Kg. Masjid, Pulau Pangkor, Perak. Matlamat Rancangan Khas Kawasan (RKK) Permas Kechil-Kukup 2015 ini adalah bagi menjadikan Permas Kechil-Kukup sebagai Bandar Eko-Pelancongan Berdaya Maju, Teratur dan Mampan. RKK Permas Kechil-Kukup 2015 ini telah diwartakan pada 7 Julai 2011.

Konsep pembangunan yang dicadangkan adalah menjurus kepada pencapaian matlamat kajian iaitu menjadikan Permas Kechil-Kukup sebagai Bandar Eko-Pelancongan yang berdaya maju, teratur dan mampan. Terdapat 18 pembangunan utama bagi RKK  Permas Kechil-Kukup 2015.  Antaranya adalah Cadangan Pengurusan Dan Menaiktaraf Persimpangan Jalan Ke Tg. Bin Dan Permas Kechil, Cadangan Pusat Pemasaran Kraftangan Dan Produk Pelancongan IKS dan Cadangan Menaiktaraf Kg. Nelayan Ayer Masin dan Kg. Kukup Laut.

Perkampungan Nelayan yang terdiri daripada Kg. Nelayan Ayer Masin, Kg. Melayu dan Kg. Kukup Laut. Perkampungan Nelayan ini berpotensi sebagai eko pelancongan dan dapat menarik minat para pelancong. Dua Perkampungan Nelayan iaitu Kg. Nelayan Ayer Masin dan Kg. Kukup Laut akan dinaiktaraf dan dibangunkan.

Dari segi pelancongan pula Perkampungan Nelayan memberikan impak yang besar kerana kebanyakan pelancong lebih menyukai suasana perkampungan yang lain daripada tempat lain. Perkampungan Nelayan yang masih mengekalkan ciri-ciri nelayan dan perumah di atas memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung yang datang. Berdasarkan gambar dibawah terdapat 4 pakej pelancongan yang berkonsepkan homestay.

Terdapat juga cadangan-cadangan lain bagi RKK Permas dan Kukup. Antaranya adalah:

  • Cadangan Peningkatan Imej Fizikal Pekan Kukup;
  • Cadangan Pengurusan Lalulintas Pekan Kukup; dan
  • Cadangan Arca, Pintu Gerbang dan Menara Jam di Pekan Kukup.

LAWATAN KE TAMAN NEGARA PULAU KUKUP, PONTIAN

Pulau Kukup adalah salah satu kawasan hutan paya bakau yang tidak didiami yang terbesar di dunia. Ia juga adalah satu-satunya pulau yang terletak di kawasan perairan Johor. Pada hari ini, Pulau Kukup telah menerima pengiktirafan antarabangsa yang diberikan status ‘Wetland of International Importance’ (RAMSAR SITE) oleh Geneve berasaskan Biro Konvensyen Ramsar. Tapak   Ramsar yang juga dikenali sebagai tanah lembab ini sangat penting kerana ia memainkan peranan besar dalam melindungi manusia daripada kesan perubahan iklim. Tanah lembap ini menawarkan perlindungan daripada ribut dan tsunami di samping bertindak sebagai pemecah angin dan membantu dalam menstabilkan iklim setempat. Menurut cerita rakyat tempatan, Pulau Kukup dahulunya adalah sebuah tempat tinggal lima orang puteri angkasa. Satu hari, salah seorang daripadanya telah jatuh cinta dengan pelayar dan mereka telah melarikan diri untuk berkahwin secara senyap. Mereka telah disumpah dengan ditenggelamkan bersama-sama dengan Pulau Kukup. Walaubagaimanapun, Pulau Kukup telah muncul semula tetapi ia telah ditumbuhi dengan pokok bakau. Ramai yang telah cuba untuk menetap di pulau ini tetapi tidak berjaya. Ada yang mengatakan ini adalah kerana pulau ini didiami oleh roh-roh. Taman Negara Pulau Kukup, Johor adalah sebuah kawasan yang mempunyai keluasan 1447 hektar yang meliputi 647 hektar kawasan hutan paya bakau dan 800 hektar kawasan dataran berpaya.

Sewaktu disana, kami telah disambut dengan mesranya oleh En.Ismail bin Sairan Pembantu Hidupan Liar Taman Negara Pulau Kukup, Johor. Menurut En. Ismail, Taman Negara Pulau Kukup yang meliputi kawasan Pulau Kukup ini terletaknya di Barat Daya, Johor. Taman Negara ini adalah satu-satunya Taman  Negara pokok bakau yang terbesar di Asia Tenggara.

Di Taman Negara ini terdapat pelbagai hidupan flora dan fauna seperti pokok bakau, ikan belacak, ketam, monyet dan hidupan hutan paya yang lain. Bagi tumbuhan pokok bakau pula terdapat lebih daripada 26 spesis  Pokok Bakau Nyireh Batu. Pokok Bakau Nyireh Batu ini terkenal dalam penghasilan produk seperti kerusi, meja dan gasing. Selain itu, terdapat juga pokok bakau yang lain seperti Bakau Minyak dan Bakau Kurap .  Menurut beliau lagi, Taman Negara ini telah diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 1997 dan dibuka kepada pelawat pada tahun 2003. Bagi pelawat yang ingin ke Taman Negara ini mereka perlulah ke Jeti Pulau Kukup dan menaiki bot untuk ke Taman Negara ini.  Jeti di Pulau Kukup juga menawarkan perkhidmatan Feri ke Tanjung Balai, Indonesia.

Bagi pengunjung-pengunjung yang melawat ke Taman Negara Pulau Kukup terdapat pelbagai aktiviti menarik berkaitan dengan sumber alam dan ia dapat memupuk rasa sayang dalam diri serta menghargai alam sekitar. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung adalah menyusuri jambatan gantung sepanjang 35 kaki merentasi Sungai Ular. Dipertengahan jambatan pengunjung dapat melihat pemandangan kawasan Perkampungan Kukup dan bot-bot di jeti   Pulau Kukup.

Selain itu juga, terdapat laluan papan (BoardWalk) yang membolehkan pengunjung merasai dan melihat secara dekat tumbuh-tumbuhan yang berbeza walaupun daripada spesis yang sama yang membentuk hutan bakau serta spesis fauna yang terdapat di kawasan tersebut. Disamping itu juga pihak Taman Negara ada menyediakan tapak semaian bagi pengunjung yang mahu menanam pokok bakau dengan kadar serendah RM 10 ringgit sahaja. Tidak hanya itu, pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan pelbagai spesis burung melalui menara pemerhati.

LAWATAN KE TANJUNG PIAI, PONTIAN, JOHOR

Tanjung piai adalah salah satu destinasi yang tidak asing jika kita melawat ke Johor. Bagi penduduk tempatan, Tanjung Piai hanyalah kawasan persisiran pantai biasa. Namun, pada hari ini ia amat dihargai oleh masyarakat antarabangsa, bukan hanya  kerana keunikan hutan paya bakau dan dataran lumpurnya tetapi juga kerana kedudukannya sebagai tanah paling selatan Benua Asia. Tanjung Piai kini merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia. Tanjung Piai terletak dalam Mukim Kukup di Daerah, Johor, kira-kira 90km dari Johor Bahru. Kawasan ini telah diwartakan sebagai Taman Negara dan kawasan Ramsar iaitu kawasan perlindungan Wetland pada tahun 2003. Tanjung Piai mendapat namanya daripada sejenis tumbuhan paku-pakis “Piai-Raya’ atau nama saintifiknya “Acrostichum Aureum” yang tumbuh melata di pangkal pokok Bakau.

Dahulunya Tanjung Piai ini menjadi tempat persinggahan sementara nelayan dari Selat Melaka sebelum ke laut dan asalnya ia adalah kawasan tanah tinggi, berbenteng dan pantai yang berpasir. Kini Tanjung Piai menjadi sebuah kawasan terasing kerana diliputi hutan paya bakau yang tebal.

Disediakan oleh;
Nor Baizura Che Man,
Unit Rancangan Pembangunan 1,
Pejabat Projek Zon Tengah.

No comment »

Bemerken vanaf Enschede – Siri 4 : Indahnya tulip….

Belanda sungguh terkenal dengan kemajuan sektor pertaniannya. Walaupun negara ini masih gah dengan teknologi infrastrukturnya yang canggih dan terkini, sektor pertanian tidak diabaikan. Malah ia adalah antara pengeksport bahan pertanian terbesar di Eropah. Kawasan pertanian yang subur dan indah mudah anda lihat di mana saja terutamanya jika anda merentasi bumi belanda dengan menaiki keretapi.

Hampir tidak satupun kawasannya ditumbuhi lalang atau dengan kata lain tanah terbiar. Semuanya diusahakan oleh mereka. Malah, di kiri kanan laluan keretapi mudah untuk anda lihat kebun-kebun untuk penduduk bercucuk tanam.

Selain dari gandum, epal dan sayur-sayuran, industri bunga adalah salah satu produk pertanian utama mereka. Jangan terkejut jika saya katakan, hasil eksport bunga sahaja mencecah berbilion-bilion ringgit. Teringat saya kata-kata teman baik saya sewaktu di sana. “buat apa beli bunga? Kita membeli hanya untuk melihat dia layu dan terus mati lalu dibuang. Orang bodoh aje yang beli bunga ni!” begitulah lebih kurang ayat yang saya terima sewaktu saya mengajaknya membeli bunga semasa di pasar tani di Enschede. Emmm.. betul juga cakap dia. Hehehe.. tapi nasib baik juga ramai orang ‘bodoh’ kat dunia ni! Saya tahu, alasan utama teman saya tadi adalah untuk berjimat cermat. Almaklumlah, pendapatan dalam RM, perbelanjaan dalam €.

Peluang bersiar-siar di sekitar Enschede pada mulanya hanya terdedah dengan kawasan luar bandarnya yang penuh dengan ladang-ladang dan padang ragut serta rumah peladang yang indah-indah. Sehinggalah kami ke taman rekreasinya yang boleh dipanggil taman bandar. Di situlah buat pertama kalinya kami teruja dengan keindahan bunga tulip. Sungguh indah. Teman saya tadi adalah orang pertama yang terpukau dengan keindahan tulip! Mungkin kali ini ia lebih ‘real’ jika dibandingkan dengan bunga-bunga di pasar tani tadi.

Peluang menghadiri sesi taklimat berkenaan pembangunan Bandaraya Amsterdam di University van Amsterdam pada minggu ketiga kami di sana digunakan untuk berkunjung ke Keukenhof sebuah taman syurga bagi penggemar-penggemar tulip. Terletak di Leiden dengan bayaran masuk termasuk bas transit dari Leiden Centraal adalah €9. Kos yang sangat berbaloi untuk ke sini. Mungkin kami bertuah sebab kami berada di sini kena pada musimnya. Difahamkan, Keukenhof hanya di buka untuk orang awam pada pertengahan bulan Mac sehingga hujung Mei sahaja setiap tahun.

Di sini, pengunjung-pengunjung disediakan dengan sebuah taman bunga yang agak besar saiznya dan ditanam dengan pelbagai jenis tulip dan pelbagai warna serta landskap yang amat menarik. Sekitar taman ini adalah ladang-ladang yang dipenuhi dengan tulip untuk keperluan komersial. Pastikan anda ke Keukenhof jika anda ke Belanda. Anda pasti tak rugi. tot ziens..

Oleh : Kimi Hussain

Nota : Artikel pendek ini merupakan catatan pengalaman penulis bersama lapan pegawai JPBDSM semasa menjalani kursus jangka pendek di International Institute for Geo-Information Science and Earth Observation (ITC), Enschede, Netherland pada April hingga Mei 2005.

[Artikel ini pernah disiarkan di dalam majalah The Superb Post issue 19 Vol. 2 di dalam ruangan ‘Bemerken vanaf Enschede’ terbitan Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Projek Alor Setar, Disember 2005]

No comment »

MESYUARAT PENYELARASAN LAPORAN BANTAHAN DRAF RKK KAWASAN PERINDUSTRIAN SUNGAI CHOH 2020

Satu mesyuarat penyelarasan bagi Laporan Bantahan Draf RKK Kawasan Perindustrian Sungai Choh telah di adakan pada 19 Jun 2013 bertempat di Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Tujuan mesyuarat ini dijalankan adalah untuk menyelaraskan bantahan-bantahan yang telah diterima sepanjang tempoh publisiti pada 20 Disember 2012 sehingga 20 Februari 2013 sebelum di bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam.

Dua sesi taklimat dan dialog bersama penduduk tempatan dan pengusaha kilang juga turut di adakan pada 18 Febuari 2013 dan 19 Febuari 2013 yang lalu bagi memberi maklumbalas terhadap aduan golongan berkepentingan yang disiarkan di dalam 2 akhbar tempatan iaitu Berita Harian dan Sinar Harian.

Pada keseluruhannya, sebanyak 79 borang bantahan telah di terima di mana 76 borang adalah daripada individu dan selebihnya oleh syarikat. Kesemua isu bantahan yang diterima telah diteliti dan dibincangkan bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Kebanyakan pembantah mengutarakan isu berkaitan dengan guna tanah dan fizikal, perindustrian, infrastruktur dan utiliti serta pengangkutan dan lalulintas. Setelah meneliti kesemua borang bantahan, sebanyak 3 borang bantahan dicadangkan untuk diambilkira dan sebanyak 76 borang untuk ditolak bagi pindaan Draf Laporan RKK Kawasan Perindustrian Sg. Choh 2020 sebelum diwartakan.

Disediakan Oleh ;
Sharifah Binti Abd Aziz
Unit 5, Rancangan Pembangunan
Pejabat Projek Zon Tengah (PPZT)

No comment »

Catch the Wind, Worship the Sun

Picture Source : http://www.greenprospectsasia.com

Since the discovery of fire on the Early Stone Age, humans continuing discover another resource of energy. Until about 50,000 years ago, humans have traveled across water on rafts or boats since near the emergence of human mind. The oldest depiction of a wind-powered vessel is from an ancient Egyptian pottery shard from ~3200 BCE. The Nile is a logical place for humans to hit upon sailing as a useful technology because while the river has a swift current, prevailing winds blow upstream. On top of that, solar power has also been a placed as a source of energy and became a predominant driver of activities. For people in ancient Egypt, the sun was a source of life. It was power and energy, light and warmth. So, renewable energy effort is not new at all. However the technology we use to ‘capture’ the energy does! It all happens when we are running out of coal as a result of being an ultimate resource of energy during industrialization revolution period which boom in the late 17th century. Since then, human becomes more creative prompted experiments using advance technologies searching for other resources of energy.

Sometimes technology and innovation process gives us funny solution. As we look forward, we are repeatedly forced to look back again. The ancient people teach us the potential of sun and wind as ultimate sources of renewable energy. What we can do is to continuously conduct research to derive at new innovative technologies to improve the ancient techniques. Nowadays, we have been enjoying energy resources from various modern ways of renewable energy such as the photo voltaic usage for solar energy, windmill farming for wind power and many other methods and techniques by manipulation of ideas of catching the winds and worship the sun the same manner as the ancient does.

No comment »

LAWATAN TEKNIKAL KE KILIM GEOFOREST PARK, LANGKAWI

Pengenalan

Pada 17 – 19 Jun 2013 telah diadakan Mesyuarat Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa Malaysia kali ke 8 di Bella Vista Waterfront Resort & SPA, Langkawi. Seramai lebih kurang 250 Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa menghadiri mesyuarat tersebut yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD SM), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri (JPBD Negeri) dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) seluruh Malaysia.

Peserta Mesyuarat Bergambar Beramai-Ramai Dengan Ketua Pengarah JPBD SM

Di dalam mesyuarat ini sebanyak lima (5) kertas kerja telah dibentang dan lawatan teknikal ke Kilim Geoforest Park diadakan pada sebelah petang 18 Jun 2013 (Selasa).

Latar Belakang Tapak

Lokasi Kilim Geoforest Park di Langkawi

Mercu Tanda Kilim Geoforest Park

Langkawi, sebuah Pulau Lagenda yang penuh dengan misteri dari segi catatan sosial, sejarah dan geografi fizikalnya. Lawatan ke Pulau Langkawi seluas 478 km persegi merangkumi 104 gugusan pulau merupakan lokasi formasi batuan tertua di Asia Tenggara berusia lebih 550 juta tahun dan batu ‘dropstone’ berusia satu bilion tahun.

Percutian ke Langkawi tidak akan lengkap sekiranya tidak melawat Kilim Geoforest Park. Langkawi mendapat pengiktirafan sebagai tapak Geopark daripada UNESCO pada tahun 2007 dan merupakan tapak Geopark yang pertama di Asia Tenggara. Sehingga kini terdapat 90 tapak Geopark di seluruh dunia. Selain dari Kilim Geoforest Park, penarafan daripada UNESCO turut meliputi dua lagi tapak Geopark di Langkawi iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

Tujuan lawatan adalah untuk melihat dan meninjau keadaan kualiti persekitaran tapak pelancongan ekosistem semulajadi yang menjadi tarikan pelancongan dunia. Persekitaran yang terkawal dan dipulihara dari segala bentuk ancaman dapat meningkatkan kualiti alam semulajadi kawasan pelancongan ini secara berterusan dan mampu menjadi daya tarikan pelancongan dan ekonomi secara mampan.

Kilim Geoforest Park

Kilim Geoforest Park mempunyai landskap karst (batu kapur) yang unik dan antara yang terindah di dunia hasil hakisan serta cuaca. Geopark merupakan kawasan yang mempunyai unsur seperti sejarah batu, formasi menarik pelbagai jenis batu, landskap unik dan indah, keseluruhan kawasan yang menarik dan mempesonakan serta mempunyai nilai warisan yang boleh dihayati dan dipelihara.

Kawasan Pantai Berbatu di Klim Geoforest Park

Salah Satu Bukit Batu Kapur di Kilim Geoforest Park

Antara aktiviti-aktiviti pelancongan di sini adalah seperti meneroka huta paya bakau, menyusuri lorong dan terowong pembentukan bukit batu kapur, gua yang tersembunyi dan tumbuhan yang unik. Dalam pada itu didapati dedahan pembentukan formasi batu-batan, pembentukan tumbuhan menghijau, aliran air masin dan tawar yang bergandingan, fenomena kehidupan bukan manusia yang begitu unik dan tersusun dengan ekosistem yang seimbang.

Aktiviti Ternakan Ikan Dalam Sangkar di Sekitar Tapak

Pelancong-pelancong boleh menaiki bot dari Jeti Kampung Kilim untuk menyusuri sungai bagi melawat beberapa tempat menarik seperti Gua Kelawar, formasi gua dan batu berusia ratusan juta tahun di sekitar Kilim, sangkar ikan, melihat burung helang dan juga Laut Andaman. Sekiranya cuaca tidak berjerebu pelancong boleh melihat persisiran pantai Thailand dari Langkawi di Laut Andaman.

Ternakan Ikan Dalam Sangkar di Kilim Geoforest Park

Memberi Makan Ikan Pari di Kolam Ternakan

Ternakan ikan dalam sangkar banyak dibina di sepanjang sungai yang berhampiran dengan Laut Andaman. Diantara aktiviti yang dijalankan adalah memberi makan ikan di dalam sangkar. Rombongan kami memilih untuk memberi makan ikan pari (stingray). Ikan pari ialah ikan yang tidak mempunyai gigi dan makan dengan cara menyedut, jadi tidak perlu takut untuk digigitnya. Cara untuk memanggil ikan pari datang kepada kita adalah dengan mengocakkan air dan membekalkan umpan sotong atau ikan.

Aktiviti Eagle Feeding

Helang Menyambar Makanan di Sungai Kilim

Berbagai Spesies Burung Helang Yang Terdapat di Kilim Geoforest Park

Antara aktiviti menarik yang terdapat di sini adalah melihat burung helang secara live. Terdapat lebih kurang 19 spesis burung helang yang terdapat di Langkawi dan antara spesis yang paling terkenal adalah spesis Brahminy Kite. Aktiviti ini adalah melihat helang menyambar makanan di suatu kawasan khas. Helang adalah binatang yang dilindungi kerana bilangannya yang semakin berkurangan. Makanan yang diberikan kepada helang tersebut adalah kulit ayam kerana ianya boleh terapung untuk memudahkan helang menyambar. Namun tabiat pemakanan ini sebenarnya yang menyumbangkan kepada bilangan yang semakin berkurangan kerana pemakanan ini mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.

Gua Batu Kapur – Gua Buaya

Bot Menyusuri Ke Gua Buaya

Pemandangan Di Dalam Gua Buaya

Gua Buaya adalah sebuah gua batu kapur yang terdapat di laluan sungai. Bot boleh memasuki melalui lubang gua jika air surut dan tidak pasang tinggi. Jika air pasang tinggi bot terpaksa melalui jalan lain untuk melihat keadaan dalam gua tersebut yang panjang laluannya kira-kira 30 hingga 40 meter. Menurut pemandu bot, memang terdapat buaya di kawasan ini pada masa dahulu.

Peta Kawasan Gua Kelawar

Ribuan Kelawar Yang Terdapat di Gua Kelawar

Rombongan juga singgah di Gua Kelawar yang terletak di tepi sungai. Penumpang terpaksa turun untuk melihat keunikan yang terdapat di dalam gua tersebut. Lampu suluh dibekal untuk setiap kumpulan kerana ada sesetengah kawasan gua ini agak gelap. Laluan ke gua ini memang tidak disediakan lampu kerana terdapat spesis kelawar yang mendiami gua tersebut.

Rumusan

Langkawi merupakan satu destinasi pelancongan negara yang terpenting. Ia dibangunkan sebagai bandar pelancongan dan berfungsi sebagai bandar pelancongan eko sistem dan bandar bersejarah. Sebagai bandar pelancongan ciri-ciri unik alam semulajadi perlu dibangunkan, dipelihara dan disediakan pelbagai kemudahan pelancongan seperti kemudahan jeti, pengangkutan, restoran, hotel dan penginapan serta lain-lain aktiviti bagi memastikan pelancong lebih lama tinggal di pulau lagenda tersebut disamping dapat meningkatkan ekonomi negara. Adalah diharapkan lawatan-lawatan sebegini sepatutnya digalakkan dikalangan anggota-anggota kerajaan supaya mereka lebih memahami keperluan dan kepentingan menjaga kualiti alam sekitar semulajadi, sejarah dan budaya serta perindustrian pelancongan negara.

Oleh: Mohd Kamal bin Abu Bakar, Bahagian Rancangan Fizikal Negara

No comment »