Archive for December, 2013

GRAFOLOGI : MEMBACA KEPERIBADIAN MELALUI TULISAN TANGAN (BAHAGIAN KEDUA)

 

Salam sejahtera buat semua. Bertemu lagi kita dalam bahagian kedua kupasan topik membaca keperibadian melalui tulisan tangan. Kali ini kita akan mengkaji dari segi penyambungan tulisan, jarak antara tulisan dan arah tulisan.

Tulisan Sambung

Tulisan Sambung: Orang yang tulisannya bersambung cenderung menyukai peraturan dan bagaimana segala hal saling berhubungkait. Mereka juga golongan yang suka bersosial berkumpulan, suka berbicara, suka bertemu dengan ramai orang, pandai memahami hubungan dan menitikberatkan pemikiran logik.

Prokliamasi

Tulisan Setengah Sambung: Pemilik tulisan setengah sambung setengah tidak ini cenderung memiliki sifat yang pemalu dan agak sukar menjalin hubungan sosial, namun begitu seorang yang idealis.

 

Tulisan Tidak Sambung: Orang dengan tulisan yang tidak sambung biasanya bijak, fokus, teliti dan suka berfikir sebelum bertindak. Mereka juga seringkali mempunyai idea-idea yang asli.

Jarak Antara Tulisan

Tulisan Rapat: Jika anda menulis secara rapat-rapat, tentunya anda orang yang suka bersosial dan sentiasa berdampingan atau bergantung dengan rakan-rakan.

Tulisan Renggang: Pemilik tulisan rengang biasanya gemar menyendiri, tidak terlalu suka bersosial secara berkumpulan dan kadang kala boleh diistilahkan ‘hilang dalam ramai’. Namun ada kalanya bersifat boros.

Bush

Arah Tulisan

Tulisan Ke Atas: Menulis dengan arah tulisan ke atas atau menaik menunjukkan keyakinan kepada kebolehan diri, optimistik, bertenaga dan tegas.

Tulisan Mendatar: Anda adalah orang yang mementingkan kesempurnaan tetapi agak sukar untuk bergaul dengan orang lain.

Tulisan Ke Bawah: Berlainan dengan pemilik tulisan ke atas, pemilik tulisan ini biasanya menunjukkan dirinya dalam mood bersedih, dilanda masalah, tertekan dan berkemungkinan besar dalam kategori perahsia.

Gambar-Gambar Contoh Tulisan Tangan:

BudQa

Sekian informasi ringkas tentang grafologi atau ilmu membaca tulisan tangan. Semoga bermanfaat untuk kita semua. Jangan lupa untuk memeriksa tulisan TANGAN sendiri…

Disediakan oleh: Zamri Said, Unit Dasar Perbandaran Negara, Bahagian Rancangan Fizikal Negara.

Kredit :

1. Tulisan Cerminan Personaliti Diri / Khadijah Ibrahim : ISBN 978-983-3991-34-1
2. http://putroperdana.wordpress.com/

No comment »

10 Sebab Gagal Melaksanakan Tugas dengan Cemerlang

stress-at-work

Assalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin pernah mengalami masalah tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua dengan baik. Cuba anda semak kembali apakah faktor-faktor yang menjadi punca masalah anda itu, semoga dengan ini anda dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah anda itu.

1. Terlalu banyak gangguan
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja ialah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dan sebagainya.

2. Anda tidak mempunyai sumber yang lengkap.
Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu jugalah dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan kerja seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang memuaskan dan tepat pada masanya.

3. Anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi di tempat kerja, terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka. Samada tugasan yang diberikan itu tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua (tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan baik (anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).

4. Anda mempunyai terlalu banyak tugasan
Sesetengah orang mempunyai terlalu banyak kerja yang tidak mungkin dapat disiapkan walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi yang mempunyai pekerja yang sedikit. Akibatnya, kekecewaan akan berlaku apabila anda tidak dapat menyiapkan tugas kerana tidak mungkin akan dapat melakukannya.

5. Anda tiada kemahiran menguruskan masa.
Pekerja yang mempunyai kemahiran ini melakukan apa yang paling penting tetapi sebaliknya pula bagi yang lemah pengurusan masanya melakukan apa yang dilihatnya senang dan menyeronokkan.

6. Anda seorang yang suka bertangguh
Kenapa harus menunggu esok jika perkara itu boleh dilakukan hari ini? Anda mungkin menangguhkan sesuatu kerja itu kerana anda khuatir hasil kerja anda itu tidak memuaskan hati. Sebagai contoh, sekiranya anda takutkan kegagalan dan khuatir akan menghasilkan kerja yang kurang bagus, maka anda akan membuka peluang untuk anda mengelak daripada melakukan apa-apa. Walaupun anda sebolehnya inginkan kesempurnaan dalam setiap hasil tugas yang anda lakukan, tetapi bos ataupun client anda lebih melihat kepada kerja yang kurang sempurna daripada anda tidak melakukan langsung kerja tersebut.

7. Anda rasa tidak dihargai
Sekiranya anda merasakan diri anda tidak dihargai ataupun anda memperolehi gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang anda lakukan, maka anda mungkin tidak dapat memberikan 100% komitmen dalam kerjaya yang anda ceburi. Secara sedar ataupun tidak kebanyakan pekerja cuba untuk menyeimbangkan antara ‘memberi dan diberi’ antara mereka dan majikan. Mereka akan melakukan kerja berdasarkan kepuasan hati mereka terhadap majikan. Pekerja yang merasakan mereka tidak dihargai akan menjadi kurang berusaha, kerap mengambil cuti, cuai dan sebagainya.

8. Keutamaan organisasi yang bertukar-tukar.
Anda sedang menyiapkan projek A, tetapi tiba-tiba bos anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut dan memberikan tumpuan kepada projek B. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berfikir bahawa anda tidak menyelesaikan tugas anda, tetapi bos anda berfikir sebaliknya. Setengah orang adalah flexible dan senang untuk serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugas yang baru tetapi ada juga sesetengah orang yang akan merasa kecewa apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu projek. Jika anda adalah orang yang kedua seperti disebutkan tadi dan bekerja di dalam industri yang sepanjang masa akan berlaku perubahan, maka anda perlu mempertimbangkan untuk menukar kerjaya anda.

9. Anda ‘Burned out’
Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja. Ia mungkin kerana suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bermusuh antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan. Kesemua ini adalah antara sebab dan punca berlakunya tekanan jantung dan sakit-sakit yang lain.

10. Ganjaran bagi tugasan yang telah anda siapkan.
Anda mungkin seorang yang hebat kerana dapat menyiapkan tugas sebelum ataupun tepat pada masanya. Namun peliknya, kebanyakan organisasi menghadiahkan pekerja yang rajin dan bekerja keras itu dengan tambahan kerja yang lebih banyak menggantikan bonus atau faedah yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku di dalam organisasi anda, tidak mustahil anda akan merasakan tidak termotivasi untuk bekerja dengan lebih keras.

Oleh itu, jangan stress-stress. Setiap masalah dan kegagalan pasti ada jalan penyelesaiannya. Marilah kita bekerja dengan gembira dan pastikan Indeks Kebahagiaan di tempat kerja sentiasa MAMPAN!
😉

071012_Happy_Work_575x270-panoramic_18615

No comment »

GRAFOLOGI: MEMBACA KEPERIBADIAN MELALUI TULISAN TANGAN

Bahagian Pertama

20130911_101815b_4

Adakah anda mempunyai tulisan tangan yang cantik? Tidak ramai yang berani mengaku. Jika masa di sekolah rendah dulu, silap-silap tangan kita akan diketuk dengan pembaris jika tulisan ala-ala cakar ayam atau tulisan doktor! Hinggakan semester pertama Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah pun tetap belajar menulis tangan lagi untuk subjek studio. Tulisan tangan adalah tulisan otak yang merupakan pancaran minda separa sedar (subconcious mind) kita. Tulisan tangan juga adalah ungkapan emosi si penulis.

Grafologi pula merupakan sebuah ilmu untuk menganalisa keperibadian seseorang melalui tulisan tangannya. Tulisan tangan setiap orang memiliki keunikan dan ciri khas. Melalui grafologi, tulisan tangan dapat dianalisa untuk menerangkan perilaku dan keperibadian seseorang, termasuk diantaranya untuk mengenalpasti kecenderungan melakukan tindakan agresif, cara berpikir, hingga ke tahap mengenalpasti kecenderungan berbohong. Ketepatan analisis Grafologi antara 80-90%!

Tulisan tangan dan tanda tangan merupakan suatu gerakan motor yang dipelajari mulai dari kecil hingga dewasa, dengan proses pembelajaran yang sangat kompleks. Setiap orang biasanya diajar cara menulis yang sama ketika mereka kecil, tapi lama kelamaan, masing masing  akan memiliki cara penulisan yang berbeza dan khas. Hal ini berlaku kerana ketika proses menulis, tulisan tangan dipengaruhi oleh banyak faktor, mulai dari kerja otak, saraf, perasaan dan suasana hati, sehingga tulisan tangan adalah perilaku yang dapat ditunjukkan melalui coretan-coretannya. Secara tidak langsung menyebabkan tulisan tangan berguna sebagai bukti di dunia forensik disebabkan keunikan khusus antara seorang penulis dengan penulis yang lain.

Ukuran Tulisan

Ukuran Tulisan Besar: Pemilik tulisan bersaiz besar suka mendapat perhatian ramai,  ingin pendapatnya sentiasa didengari serta bersedia kehadapan. Mereka juga suka memikirkan perkara yang baik-baik, mudah marah dan tidak suka hanya duduk berpeluk tubuh.

Ukuran Tulisan Sederhana: Orang yang saiz tulisannya sederhana adalah orang yang  simple, praktikal, berkecuali dan tenang.

Ukuran Tulisan Kecil: Bertulisan Kecil cenderung bersifat pendiam, tidak suka menjadi perhatian ramai, berjiwa halus dan menitikberatkan perkara-perkara terperinci.

Tekanan

Tekanan Yang Kuat: Orang yang tekanan tulisannya kuat sehingga mungkin menyebabkan kesan di balik kertasnya mempunyai emosi yang tinggi (gembira atau sedih). Dia boleh memaafkan tetapi tidak dapat melupakan apa yang telah anda dilakukan kepadanya.  Dia juga mempunyai keinginan dan keazaman yang kuat serta tidak selesa melihat sesuatu yang tidak sempurna.

Tekanan Yang Ringan: Pemilik tulisan bertekanan ringan pula biasanya mempunyai karektor yang santai, tenang dan bertoleransi tinggi. Walau bagaimanapun golongan ini sukar membuat keputusan dan mudah dipengaruhi. Anda juga cepat marah tetapi cepat kembali ‘sejuk’.

Secara umumnya semakin kuat tekanan tulisan anda, semakin besar juga emosi.

Kecondongan

Condong Ke Kanan: Pemilik tulisan ini biasanya akan menyerlahkan emosi yang ada dan sentiasa perlu berinteraksi dengan orang lain. Semakin condong ke kanan, semakin beremosilah anda. Anda cenderung bertindak mengikut perasaan berbanding berfikir secara logik dan ini amat disukai oleh peniaga dan pengiklan! Anda seorang yang ramah, terbuka dan aktif.

Tulisan Menegak: Orang yang mempunyai tulisan tegak merupakan seorang yang agak pendiam, tidak suka mencampuri hal orang lain dan mengelakkan diri dari rapat dengan sesiapa serta dapat mengekang emosi dengan baik dalam menghadapi masalah. Malangnya pemilik tulisan tegak merupakan orang yang tidak pandai menyatakan perasaannya.

Condong Ke Kiri: Pemilik tulisan sebegini dikatakan selesa memendam perasaan, takut meluahkan perasaan dan tidak gemar bergaul dengan orang lain (introvert). Orang lain berasa sukar untuk memahami sifatnya kerana dia tidak akan menunjukkan perasaan atau reaksi ketika orang lain sedang ketawa berdekah-dekah kelucuan. Sebenarnya dia sekadar merasa janggal untuk ketawa seperti itu.

Condong Ke Segala Arah: Orang yang tulisannya condong kesemua arah merupakan orang yang tidak konsisten (fikiran tidak menentu), sukar diramalkan atau masih belum mempunyai tujuan hidup yang jelas.

tulis tgn_001

Sekian dahulu untuk topik Grafologi: Membaca keperibadian melalui tulisan tangan ini. Ikuti kupasan lanjut Bahagian Kedua topik yang sama.

Disediakan oleh:

Zamri Said, Unit Dasar Perbandaran Negara, Bahagian Rancangan Fizikal Negara.

Kredit:

1. Tulisan Cerminan Personaliti Diri / Khadijah Ibrahim : ISBN 978-983-3991-34-1

2. http://putroperdana.wordpress.com/

No comment »