Archive for January, 2014

APAKAH PERANCANGAN ANDA UNTUK PERSEDIAAN ANAK KE ALAM PERSEKOLAHAN ?

APAKAH PERANCANGAN ANDA UNTUK PERSEDIAAN ANAK KE ALAM PERSEKOLAHAN ?

Selamat menyambut Tahun Baru 2014 kepada semua ibu bapa  dan anak-anak yang baru masuk ke alam persekolahan. Apabila bercakap mengenai bab persekolahan, saya juga salah seorang ibu yang risau mengenai persekolahan anak pada masa akan datang. Banyak perkara yang difikirkan seperti pemilihan sekolah, kesesuaian dan keperluan anak, pengangkutan dan lain-lain. Pada tahun baru ini, saya berkesempatan bertanya kepada rakan-rakan di pejabat berkaitan keperluan bagi persediaan anak yang bakal masuk ke sekolah rendah pada tahun 2015 dan 2016. Sesungguhnya pengalaman yang mereka beri kepada saya amatlah berguna.  Terima kasih diucapakan kepada rakan-rakan di pejabat yang berkongsi ilmu dan pengalaman dalam persediaan anak ke alam persekolahan. Sedikit informasi yang saya dapat kongsikan bersama anda adalah seperti berikut :

 

  • Ibu bapa perlu mendaftar secara online bagi pemilihan sekolah anak melalui sistem online Jabatan Pendidikan Malaysia (mengikut negeri) sebaik-baiknya 2 tahun awal sebelum masuk  ke sekolah rendah. Dalam hal pemilihan sekolah, sudah tentulah kita ingin menghantar anak ke sekolah yang sesuai dan berdekatan dengan rumah.

 

  • Anak-anak yang masuk ke darjah satu di sekolah rendah akan diberikan ujian penilaian kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis, Mendengar) dan kemahiran serta penguasaan ICT.  Sesetengah sekolah akan menentukan kelas mengikut keputusan ujian penilaian tersebut.

 

  • Pastikan semua dokumen penting seperti kad pengenalan ibu bapa, sijil lahir anak, gambar bersaiz pasport atau kad pengenalan dan surat menyurat berkenaan persekolahan ditempatkan di dalam satu fail. Buat satu salinan sebagai persediaan sekiranya diperlukan nanti. Anda juga boleh menelefon pihak sekolah sekiranya perlu untuk mengetahui dokumen yang diperlukan dan lain-lain keperluan.

 

  • Betapa seronoknya sekiranya dapat menghantar anak ke sekolah dan mengambil anak setiap hari dari sekolah.  Tetapi bagi  ibu bapa yang bekerja dan tiada masa menghantar anak ke sekolah  boleh mendapatkan maklumat khidmat operator bas sekolah di sekolah berkenaan.

 

  • Dapatkan maklumat daripada sekolah sama ada sekolah tersebut menyediakan pinjaman buku teks atau ibu bapa perlu membeli buku teks sendiri untuk persekolahan anak. Ini boleh menjimatkan perbelanjaan persekolahan anak.

Mengikut Portal LINUS, Program LINUS ini adalah singkatan dari Literacy & Numeracy Screening (Program Saringan Literasi dan Numerasi). Untuk pengetahuan umum, Literasi bermaksud keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian. Manakala Numerasi bermaksud keupayaan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dirancang untuk persediaan anak ke alam persekolahan. Yang penting anak yang bakal bersekolah dapat menikmati suasana persekolahan dengan hati yang gembira dan bersemangat.  Diharapkan  informasi asas ini dapat memberikan sedikit panduan kepada ibu bapa sekalian. Jumpa lagi di sesi akan datang.

– Egna FG

iosksu915 sumber _internet

 

Comments (1) »