PERANCANGAN PELANCONGAN UNTUK PENDUDUK TEMPATAN

Kini, sektor pelancongan telah terbukti menjadi pemangkin pembangunan negara, mampu membawa pulangan yang besar dengan perolehan hampir mencecah RM 56.5 juta dengan ketibaan pelancong seramai 24.6 juta pada tahun 2010. Kementerian Pelancongan Malaysia giat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan melancarkan pelbagai kempen dan seminar. Pelaku-pelaku utama turut dijemput menyertai aktiviti-aktiviti ini antaranya seperti syarikat pengangkutan MAS dan AIRASIA, pengusaha hotel, persatuan-persatuan pelancongan, dan agensi pelancongaan. Ekonomi yang dijanakan melalui sektor ini harus menjadi pulangan kepada penduduk tempatan selaku tuan rumah sesuatu destinasi pelancongan tersebut.

Namun, satu isu yang sering dipertikaian adalah perancangan pelancongan seharusnya adalah mengenai perancangan untuk penduduk tempatan di samping pelancong. Walau bagaimanapun, majoriti daripada perancangan pelancongan yang dibuat untuk membangunkan sesuatu kawasan/destinasi, tidak memberikan tumpuan secukupnya terhadap pembangunan sumber manusia tempatan. Lebih daripada itu, perancangan pelancongan yang dilakukan juga tidak mengambilkira kesediaan dan kemampuan sumber manusia sedia ada kawasan setempat. Oleh itu, sumber manusia tempatan atau penduduk tempatan semakin terpinggir daripada pembangunan pelancongan yang dilaksanakan akibat daripada ketidakmampuan  mereka.

Secara keseluruhannya, pembangunan pelancongan mampan adalah berteraskan tiga prinsip utama iaitu bentuk pelancongan yang tidak merosakkan alam, bermanfaat dan memberi faedah kepada komuniti tempatan, dan dalam masa yang sama dapat menjamin tahap kepuasan hati dari segi pengalaman kepada pelancong. Jelas di sini bahawa komuniti tempatan selaku tuan rumah perlu diberikan penekanan supaya mereka mendapat agihan faedah pelancongan dan kawalan terhadap pelancongan tempatan yang berlaku.

Menurut Muhammad Ali (2000), faedah pelancongan mampan kepada komuniti tempatan boleh dikategorikan kepada faedah jangka pendek dan jangka panjang. Antara faedah jangka pendek yang umum adalah dari segi:-

  1. Ekonomi
  2. Penglibatan penduduk tempatan
  3. Peluang pertukaran budaya; dan
  4. Mengurangkan migrasi keluar penduduk tempatan dengan pengwujudan peluang-peluang pekerjaan

Manakala faedah jangka panjang pula adalah dari segi:-

  1. Pengekalan dan pemeliharaan warisan
  2. Pengukuhan identiti
  3. Diuruskan dan diusahakan sepenuhnya oleh masyarakat tempatan;
  4. Meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat tempatan

Komuniti tempatan selaku tuan rumah merangkumi skop yang cukup luas dimana ianya boleh terdiri daripada mereka yang bekerja secara langsung atau tidak langsung dalam industri pelancongan dan juga mereka di kalangan pengusaha tempatan (local businesses). Pengusaha tempatan menurut Page dan Hall (2003), melalui Konsep Pengganda (Multiplier)nya mendapati bahawa mereka merupakan salah satu daripada 4 kategori utama yang mendapat hasil langsung daripada perbelanjaan pelancong. Oleh yang demikian, bagi memaksimumkan faedah pelancongan terutamanya ekonomi terhadap komuniti tempatan, fokus perlu diberikan kepada pengusaha tempatan. Di samping faedah ekonomi, pengusaha tempatan ini juga akan mempunyai kawalan dan mendominasi pelancongan tempatan.

Peranan dan kepentingan pengusaha tempatan ini telah dikenalpasti seawal tahun 1984 oleh Freeman. Rujuk Rajah 1.1. Menurutnya, setiap perancang pelancongan perlu mengambilkira pengusaha tempatan dalam perancangan sesebuah destinasi pelancongan. Pengusaha tempatan dilihat sebagai salah satu pelaku dalam industri pelancongan yang akan mendapat faedah daripada aktiviti pelancongan.

Rajah 1.1         Pelaku Industri Pelancongan

Sumber : Diolah daripada Freeman (1984:55)

Menurut Liu dan Wall ( 2006), pelancongan sering dilihat sebagai alat untuk menjana ekonomi masyarakat terpinggir dan pemangkin pembangunan melalui peluang pekerjaan dan pendapatan yang dihasilkan oleh sektor ini.

Melihat kepada faedah-faedah yang akan diperolehi melalui bidang pelancongan ini, perancangan yang lebih menyeluruh perlu dibuat supaya faedah yang optima dapat dicapai terutamanya kepada penduduk tempatan. Walaupun penyediaan rancangan pemajuan telah mengambilkira perancangan pelancongan sebagai salah satu sektor yang perlu dikaji dan dirancang, ianya masih belum mencukupi. Bidang perancangan pelancongan bukan sahaja melibatkan perancangan fizikal yang melibatkan gunatanah tetapi juga pengurusan dan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan komprehensif. Ini perlu dirancang secara bersepadu dengan penyertaan stakeholder.

Penulis artikel : Pn. Noraini Omar Chong (BPKSP)

  del.icio.us this!

1 Response so far »

  1. 1

    Mislah Badli said,

    October 14, 2011 @ 1:17 pm

    Salam sejahtera kepada semua

    Tahniah kepada Pn Noraini Omar atas artikel yang menarik untuk tatapan. Tidak dinafikan sektor pelancongan menyumbang kepada ekonomi dan memberi impak kepada pembangunan negara dengan jumlah jutaan ringgit. Berbagai promosi dan kempen yang dijalankan sepanjang tahun, namun bagi tahun 2011 sehingga bulan Oktober ini, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia kini telah menurun dari jangkaan. Baru-baru ini negara dikejutkan dengan isu pembuangan sampah dan isu-isu kebersihan di negara kita. Sebanyak 200-300 aduan di terima dari pelancong luar negara mahu pun dalam negara. Aduan-aduan menyentuh isu-isu kebsersihan antaranya tandas, tempat-tempat makan, kawasan perkelahan yang tiada penyelenggaraan, keselamatan, politik dan banyak lagi. Faktor-faktor ini serba sedikit memberi kesan kepada pelancong untuk datang sebab itu dulu negara kita boleh diletakan antara 100 negara yang paling ramai dikunjungi tapi untuk tahun ini negara kita telah jatuh ke angka 200 lebih. Jadi cuba kita renung, kerajaan menghabiskan wang berjuta ringgit untuk promosi dan menariki pelancong untuk datang dan membeli belah di Malaysia. Tetapi masih ramai rakyat dan masyarakat kita yang tidak prihatin dengan isu kebersihan, membuang sampah di sungai, tepi jalan dan di mana saja sesuka hati yang mengganggu pandangan mata dan bau yang memualkan. Masih ramai tangan-tangan seni yang melakar lukisan di tembok, dinding, pagar dan tempat-tempat awam sebagai vendalism, masih banyak premis dan kedai-kedai makan yang tidak mengamalkan kebersihan dan tidak kurang juga jumlah pendatang asing yang terlalu ramai di negara kita, Bangla, Indon, Vietnam, Miyanmar, Filipina dan kulit hitam semua ada. Terkadang kita terasa asing dan tidak selamat di negara kita sendiri. Faktor ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah dan mengganggu keselamatan negara. Apa yang diharapkan agar kita sebagai rakyat Malaysia perlu mempunyai disiplin dan civik yang tinggi bagi mengekang segala gejala dan aktiviti yang tidak bermenafaat. Tiada guna kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat tetapi musnah dengan sekelip mata dan tiada penyelenggaraan dijalankan. Bagi pihak-pihak berwajib yang melaksanakan tugas menguatkuasakan undang-undang, laksanakan tugas anda, Majlis dan PBT turun lah dan pandang kawasan anda, selenggaralah apa yang terbaik untuk masyarakat seluruhnya dan negara. Jika semua saling bantu membantu dengan semangat jitu, dan faham akan matlamat negara semua akan tercapai. itu saja komen saya. Terima kasih.

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.