Kepentingan Ruang Awam

Ruang awam merupakan ruang yang paling penting dan  merupakan sebahagian daripada kehidupan, terutamanya di kawasan Bandar; merupakan sebahagian daripada laluan kita ke sekolah atau ke tempat kerja, tempat kanak-kanak bermain, tempat berinteraksi dan bersosial dengan manusia, berinteraksi dengan alam semulajadi, ruang bersukan, ruang berehat, atau ruang yang amat diperlukan untuk menghindarkan diri dari kesibukan harian. Dalam erti kata lain, ruang awam merupakan ruang terbuka dan pusat rekreasi terbuka yang amat diperlukan.

Nilai Ruang Awam Dari Dimensi Ekonomi

Persekitaran yang berkualiti tinggi memberikan kesan ekonomi yang besar terutamanya bagi kehidupan di pusat Bandar sama ada Bandar kecil ataupun Bandar besar. Ia merupakan strategi pertumbuhan semula yang berjaya terutamanya dalam membangunkan kawasan Bandar baru. Bandar-bandar ini saling bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan perhatian dan menarik pelabur asing. Faktor penyediaan ruang awam dan taman-taman dengan urustadbir yang sempurna dapat menawarkan kawasan yang sempurna buat pelabur bagi menarik perhatian pembeli, pekerja dan tumpuan perkhidmatan yang pelbagai. Landskap di kawasan ruang awam yang menarik mampu menawarkan manfaat kepada ekonomi setempat terutamanya dari segi peningkatan harga rumah. Ini adalah kerana, pembeli sanggup membayar untuk mendapatkan persekitaran rumah berdekatan dengan kawasan hijau yang menarik dan selesa.

Nilai Ruang Awam Dari Dimensi Sosial

Ruang Awam terbuka kepada semua tanpa wujudnya perbezaan asal usul, perbezaan  etnik, jantina dan peringkat umur. Malahan ruang awam mewakili satu kumpulan forum untuk rakyat dan masyarakat yang demokratik. Ruang awam yang direkabentuk dan dijaga dengan baik, boleh membawa masyarakat dan kejiranan dalam mewujudkan tempat perjumpaan dan tempat menjalinkan kehidupan sosial yang semakin luput terutamanya di kawasan Bandar. Selain itu, ruang awam mampu membentuk identiti budaya sesuatu kawasan, dengan sebahagian watak-watak unik di dalamnya.

Nilai Ruang Awam Dari Dimensi Biodiversiti dan Alam Semulajadi

Peningkatan pembangunan yang ketara dan pengurangan ruang awam dan kawasan hijau membawa kepada kadar kenaikan suhu yang lebih tinggi terutamanya di kawasan Bandar dan kawasan pinggir Bandar. Keadaan ini  dikenali sebagai ‘kesan pulau haba’. Pokok-pokok dan tumbuhan hijau sama ada di ruang awam atau taman-taman peribadi boleh membantu memperbetulkan ketidakseimbangan ini. Penyediaan kawasan awam hijau terutamanya di kawasan Bandar boleh memberikan kesan penyejukan dan menyerap kekotoran udara sekeliling. Keadaan hijau boleh membawa kita kepada kehidupan alam semulajadi dalam membentuk keadaan positif terutamanya dari segi kesihatan mental.

Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke 6 pada 8 Ogos 2006, telah membuat keputusan bahawa semua Pihak Berkuasa Negeri perlu mewartakan tanah lapang awam dan pelaporan status pewartaan perlu dibuat dua kali setahun kepada MPFN.

  del.icio.us this!

1 Response so far »

  1. 1

    Super-Moderator said,

    June 14, 2012 @ 3:14 pm

    Yang saya tahu, kalau siapa nak wartakan sesuatu, pokoknya mesti ada peruntukan Akta untuk memberi kuasa untuk mewartakannya. Kini dibawah akta mana yang memberi kuasa untuk mewartakan tanah lapang awam? No. 2, kalau pun ada, sama ada definisi ‘tanah lapang awam’ dalam akta yang dimaksudkan menurut definisi yang diharapkan yakni mengikut garispanduan JPBD? No.3 kalau tidak, apa nak buat? Jawab! Masa berjalan ni…

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.