Apakah maksud WARTA? What is Gazette?

Apakah maksud WARTA? What is Gazette?

Dalam Kamus Dewan edisi keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007, Warta ialah Berita, khabar.

Warta kerajaan adalah risalah yang diterbitkan oleh kerajaan untuk menyiarkan undang-undang (pelantikan dan lain-lain) yang telah disahkan oleh kerajaan.

Dalam Kamus Dwibahasa BI-BM edisi kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002.

Gazette / Warta adalah risalah (jurnal) berkala yang diterbitkan untuk menyiarkan pengumuman yang telah disahkan oleh kerajaan.

Dalam Akta Tafsiran 1948 Dan 1967 [AKTA 388], di bawah seksyen 3 takrifannya ialah: “Warta” termasuklah Warta rasmi Persekutuan yang disiarkan dalam bentuk elektronik atau lain-lain bentuk melalui perintah Kerajaan dan hendaklah, setakat mana yang ditentukan dalam subseksyen 18(3), termasuk Warta rasmi mana-mana Negeri.

Warta Negeri” ertinya Warta rasmi sesebuah Negeri (termasuklah sesuatu tambahan atau Warta khas).

Warta Persekutuan” ertinya Warta Persekutuan yang rasmi (termasuklah mana-mana tambahan atau Warta Luarbiasa).

Menurut seksyen 18 Akta 388 juga,

(1) Warta hendaklah disiarkan dalam bahagian-bahagian seperti berikut:

(a)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Akta Tambahan yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Akta Parlimen dan segala Ordinan yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong;

(b)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Perundangan Tambahan A yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Perisytiharan Diraja perintah, kaedah, peraturan dan undang-undang kecil;

(c)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Perundangan Tambahan B yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala perundangan kecil selain dari apa yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Perundangan Tambahan A;

(d)   Satu bahagian yang dikenal sebagai Tambahan Rang Undang-undang yang ianya hendaklah disiarkan jika dan bila perlu dan yang mengandungi segala Rang Undang-undang;

(e)   Satu bahagian yang hendaklah mengandungi semua perkara yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta atau yang Kerajaan mensifatkan perlu disiarkan untuk pengetahuan umum selain dari perkara yang subseksyen ini menghendaki supaya disiarkan dalam bahagian-bahagian lain.

(2) Siaran dalam Warta rasmi Persekutuan hendaklah merupakan sebagai makluman yang mencukupi mengenai apa-apa perkara yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta oleh atau di bawah mana-mana undang-undang persekutuan atau yang dikehendaki untuk disiarkan dalam Warta Kerjaan Sabah atau Warta Kerajaan Sarawak oleh atau di bawah mana-mana enakmen Negeri-negeri itu yang telah diisytiharkan sebagai menjadi undang-undang persekutuan.

(3) Jika sesuatu perkara adalah hanya untuk pemakaian tempatan dan dikeluarkan di bawah kuasa seseorang pegawai Negeri atau sesiapa jua dalam Negeri itu yang mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah undang-undang persekutuan, ianya hendaklah merupakan makluman yang mencukupi jika perkara itu disiarkan dalam Warta rasmi Negeri yang bersangkutan.

(4) Jika Warta disiarkan dalam lebih dari satu bentuk, tarikh penyiaran Warta itu hendaklah disifatkan sebagai tarikh Warta itu mula-mula disiarkan dalam mana-mana bentuk.

Penulis : Pn. Lim Eng Bee (BPKSP)

***************************************************************************

Rujukan tambahan

Perhatian: Warta Kerajaan yang disiarkan di e-Warta adalah Warta Kerajaan versi elektronik yang diguna pakai di bawah seksyen 3 & subseksyen 18(4) Akta Tafsiran 1948 & 1967.

Warta Kerajaan Mingguan versi bercetak boleh didapati pada hari Isnin minggu berikutnya. Bagi Warta Mingguan, sila layari www.lawnet.com.my

Soalan Lazim dalam e-Warta :  www.e-warta.com.my

Q. Apa itu e-Warta?
Warta Kerajaan yang disiarkan di e-Warta adalah Warta Kerajaan versi elektronik yang digunapakai di bawah Seksyen 3 & Seksyen 18(4) Akta Tafsiran 1948 & 1967.
e-Warta akan disiarkan pada setiap hari dan/atau bila-bila masa yang dikehendaki atas Perintah Kerajaan Malaysia selepas jam 5.00 petang pada setiap hari.
Q. Apakah kandungan e-Warta?
e-Warta mengadungi Warta Kerajaan Persekutuan seperti berikut:
(i) Akta
(ii) Akta Pindaan
(iii) Rang Undang-Undang
(iv) Pemberitahu Undangan “A” – P.U (A)
(v) Pemberitahu Undangan “B” – P.U (B)
(vi) Pemberitahu Warta Persekutuan
Q. Apakah kebaikan e-Warta?
(i) Capaian kepada Undang-Undang dan Tambahan Perundangan yang dicetak oleh
Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).
(ii) Boleh diperolehi secara atas talian sebaik sahaja diwartakan.
(iii) Sentiasa mendapat maklumat mutakhir.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.