Pembangunan Tanah Bersepakat – Kaedah Baru Pembangunan Tanah Di Malaysia

Pembangunan yang pesat menunjukkan bahawa negara kini sedang mengalami pertumbuhan yang semakin meningkat sama ada dari segi ekonomi, sosial dan fizikal. Menjelang tahun 2020, Semenanjung Malaysia dijangka mencatat kadar perbandaran sebanyak 75%. Walaubagaimanapun, masih terdapat lagi kawasan yang usang dan tertinggal dari arus pembangunan yang memerlukan tindakan pemulihan.

Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN-2) di bawah dasar RFN 19 – Perumahan mampu milik yang mencukupi dan dilengkapi dengan kemudahan komuniti termasuk kemudahan dan perkhidmatan keselamatan perlu disediakan di pusat bandar utama untuk memenuhi keperluan penduduk telah menyenaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah ‘strategi-strategi pelaksanaan yang baru seperti Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) dan land pooling perlu diguna pakai sebagai satu strategi untuk menyatukan pecahan-pecahan tanah bagi memenuhi keperluan perumahan’. Seterusnya, dalam Dasar Perbandaran Negara (DPN 7) menyatakan pembangunan kampung di dalam bandar perlu dintegrasi dengan pembangunan bandar melalui langkah menggalakkan pendekatan PTB sebagai kaedah alternatif dalam membangunkan kampung di dalam bandar. Pada 23 Jun 1999, Kabinet telah bersetuju menerima pakai Sistem PTB ini sebagai salah satu kaedah pembangunan tanah di Malaysia.

Sistem PTB adalah merupakan satu kaedah pembangunan tanah di mana sekumpulan lot tanah disusun semula melalui persetujuan pemilik-pemilik tanah mengikut pelan susunatur terancang dengan penyediaan kemudahan infrastruktur dan masyarakat yang mencukupi. Sebagai balasan kepada sebahagian tanah yang disumbangkan, pemilik tanah akan menerima pulangan dalam bentuk hartanah. Sebahagian lagi tanah akan dijadikan sebagai tanah kewangan dan dijual di pasaran untuk menampung sebahagian kos pembangunan projek.

Kejayaan projek PTB ini bergantung kepada proses mendapatkan persetujuan melalui di kalangan pemilik tanah dan pihak lain yang terlibat. Tujuan Program Pembinaan Persetujuan adalah untuk membantu pemilik tanah dan pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan yang mungkin memberi kesan kepada komuniti mereka terutamanya semasa peringkat pelaksanaan projek.

JPBD Semenanjung Malaysia telah mengenalpasti dua tapak projek perintis untuk pelaksanaan Projek PTB iaitu di Kg. Pulau Meranti, Daerah Sepang, Selangor dan di Kg. Skudai Kiri, Johor Bahru, Johor. Di antara cabaran yang dihadapi bagi pelaksanaan projek PTB adalah seperti berikut :

  • Projek PTB tidak dapat dilaksanakan secara komprehensif disebabkan sebahagian kecil pemilik tanah tidak bersetuju (piecemeal development).
  • Fizikal tapak yang kurang sesuai dari segi topografi memerlukan kos kerja tanah yang tinggi.
  • Dana kerajaan tidak tersedia untuk pelaksanaan projek

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, projek PTB masih lagi relevan untuk dilaksanakan disebabkan faktor berikut :

  • Bandar perlu berkembang. Kawasan berpotensi terletak di pinggir bandar. Tanah-tanah di pinggir bandar telah diberi milik.
  • PBT perlu menyusun semula pembangunan di atas tanah yang telah diberi milik untuk meningkatkan kualiti fizikal dan hidup penduduk.
  • PBT perlu menyediakan kemudahan awam dan asas tambahan kepada penduduk bandar / pinggir bandar yang bertambah.
  • PBT menyedia Rancangan Kawasan Khas tetapi pemilik tanah tidak berkemampuan untuk membangunkan tanah.
  • Rancangan Kawasan Khas perlu dibangunkan secara komprehensif.

Sehubungan itu, pendekatan baru telah dicadangkan bagi memastikan projek PTB dapat dilaksanakan. Melalui pendekatan baru ini, tapak projek PTB akan dikenalpasti dari penyediaan Rancangan Kawasan Khas dan diterajui oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Sebelum pemilihan tapak, kiraan fisibiliti projek akan dibuat bagi menentukan kebolehdayalaksanaan projek. Sekiranya tapak tersebut didapati boleh dilaksanakan, Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Negeri akan mengenalpasti pemaju yang berpotensi untuk melaksanakan projek PTB di peringkat awal. Pihak pemaju akan melantik perunding kajian bagi memudahkan pelaksanaan projek. Sekiranya minoriti pemilik tanah tidak bersetuju, PBT boleh mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Pemajuan mengikut Seksyen 38, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Sebagai kesimpulan, Sistem PTB yang menekankan kepada elemen perkongsian kos pembangunan di antara pemilik-pemilik tanah, pemaju dan agensi kerajaan adalah selaras dengan konsep Smart partnership. Sistem ini juga menekankan kepada penyertaan pemilik tanah di setiap peringkat perancangan dan pembangunan bandar, sekali gus mewujudkan masyarakat yang mapan dalam memenuhi keperluan mereka untuk tinggal dalam persekitaran hidup yang lebih berkualiti.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.