KE MANA PERGINYA MASA ?…

Setiap manusia memiliki masa yang sama banyak, iaitu 24 jam sehari. Anda tidak boleh mencuri, meminjam, menukar atau membeli masa walaupun anda kaya, berpangkat dan mempunyai kuasa. Walaupun masa yang dimiliki oleh setiap individu sama banyak, namun ada juga segelintir yang merungut masa mereka tidak mencukupi dan ada juga yang merasakan masa mereka terlalu banyak. Mengapa perkara ini terjadi ?

Anda merungut tidak mempunyai masa yang cukup mungkin disebabkan anda berada dalam situasi-situasi tertentu yang menarik. Misalnya, mungkin anda terlalu sibuk atau sedang bergembira. Jadi, anda merasakan masa berlalu begitu pantas sehinggakan 24 jam itu tidak mencukupi. Manakala masa anda terasa terlalu panjang mungkin kerana anda bosan, tiada tugas-tugas yang perlu dilakukan dan juga tidak sabar untuk menghadapi sesuatu perkara. Walau apa pun, yang penting adalah anda perlu menggunakan masa yang diberikan sebaik mungkin.

Apabila anda gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, anda mungkin:

  • Membazir banyak masa yang berfaedah
  • Menjadi tidak produktif
  • Mendapat tekanan (stress)
  • Menjadi cemas dan bimbang
  • Bertambah gusar dan mudah marah Dan yang paling utama, anda:
  • Gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan

Sepuluh (10) Saranan Bagi Pengurusan Masa Yang Berkesan.

Budayakan Tabiat Suka Mencatat – Umumnya ramai dalam kalangan kita yang merasa penat kerana terlalu memikirkan banyak perkara, terutama apabila kita cuba untuk memastikan semua tugasan dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan. Kenapa tidak cuba untuk membudayakan diri kita membuat catatan, ia sangat membantu meringankan beban fikiran. Budaya suka mencatat juga dapat memastikan idea tidak dibazirkan hanya kerana kita lupa, sebaliknya dapat dikembangkan. Idea tidak datang selalu, jadi amalkan membawa buku catatan kecil dan pen dimana jua anda berada.

Tugas Mengikut Keutamaan – Menyusun tugas mengikut keutamaan menjadikan diri kita lebih fokus disamping dapat menjimatkan masa.

Bezakan Tugasan Utama & Tugasan Sampingan – Elakkan dari mencampur-adukkan tugasan utama dan tugasan sampingan. Rujuk senarai tugas anda.

Rancangkan Jadual Kerja Anda – Rancang jadual kerja mengikut minggu dan bulan. Peruntukkan waktu untuk merancang kerja dan menyemak kembali pencapaian setiap minggu.

Berfikir Sebelum Bertindak & Belajarlah Berkata Tidak – Amalkan berfikir sebelum bertindak dan memberikan sebarang persetujuan. Manusia dipegang pada janji dan kerana mudah menerima dan berjanji, maka ramai dalam kalangan kita yang merasa terbeban untuk memenuhinya. Belajarlah untuk berkata tidak kepada perkara-perkara yang dirasakan tidak perlu dan membazirkan masa.

Peningkatan Diri Secara Berterusan – Luangkan masa konsisten untuk mempelajari perkara baru, atau sekurang-kurangnya dengan membaca. Membaca dapat meningkatkan pengetahuan dan keupayaan diri. Kedua-duanya dapat membantu membina keyakinan diri terutama dalam menjalankan tugasan seharian.

Jadualkan Tugasan Harian Anda – Terdapat tugasan atau perkara-perkara yang dibuat secara rutin setiap hari. Agihkan waktu yang bersesuaian untuk memastikan tugasan tersebut berjalan lancar.

Hapuskan Tabiat Membazir Masa – Setiap orang mempunyai kelemahan tersendiri, apatah lagi dalam pengurusan masa.  Cuba kenalpasti dan hapuskan tabiat buruk berkenaan. Aktiviti seperti berbual kosong, menonton tv secara keterlaluan, melepak, melayari internet tanpa tujuan, chatting dan sebagainya haruslah dihapuskan dari kamus hidup anda.

Mengapa Buat Kerja Orang Lain ? – Adakah dengan membuat kerja orang lain, anda menjadi popular dan disenangi, menjadi hero ataupun anda sebenarnya membuat kerja yang tidak bermanfaat – membazirkan masa sendiri ?

Jangan Jadi Perfectionist – Anda pentingkan kesempurnaan ? Ia adalah ciri yang bagus, tetapi tidak semua tugas memerlukan anda mengerahkan kemampuan anda semaksimum mungkin. Ada tugasan yang perlukan ketelitian dan ada tugasan yang mudah serta ringkas untuk dilaksanakan.

Disediakan Oleh :

Hamidah Binti Shahir

Bahagian Perancangan Wilayah

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.