Ladang Anggur Tasik Beris Antara Produk Agro-Lancong Daerah Sik

Ladang anggur Tasik Beris antara aset tarikan pelancong yang mampu meletakkan Daerah Sik di peta pelancongan Malaysia.

Ladang ini diusahakan di atas kawasan seluas 34 ekar. Ia merupakan satu-satunya ladang anggur yang pertama dan terbesar bukan saja di peringkat Negeri Kedah malah di Asia Tenggara. Terletak lebih kurang 75 km atau sejam perjalanan dari Alor Setar.

Anggur terkenal dengan seribu satu keistimewaan yang hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim dingin. Tetapi dengan penyelidikan rapi serta mengaplikasikan teknologi tinggi percubaan menanam anggur secara komersial di Tasik Beris telah berhasil.

Pokok anggur hidup subur dalam “green house” dan berjaya mengeluarkan buah yang lebat. Jenis anggur yang ditanam di sini terdiri daripada Black Opal, Black Grape, White Malaga dan Lose Plite. Jumlah keseluruhan yang ditanam adalah sejumlah 7000 pokok. Dan buah anggur dari 1000 pokok pertama telah berjaya dituai pada 2008.

Pengunjung dibenarkan untuk melawat ladang dan melihat pokok anggur secara lebih dekat. Walau bagaimanapun pengunjung tidak dibenarkan memetik buah anggur di ladang ini.

Sekiranya pengunjung berhajat, boleh membelinya di SALES GALLERY yang disediakan pihak pengurusan ladang. Selain daripada buah segar pengunjung juga boleh membeli produk hilirannya seperti kordial, jem, anggur kering juga minyak dari biji anggur (grapes seeds oil). Dan kepada yang berminat untuk menanam anggur juga berpeluang membeli anak benih yang disediakan di sini.

Jadi, untuk melihat dan merasai buah anggur segar dari ladang di kawasan cuaca panas seperti negara kita sudah tidak menjadi perkara yang mustahil lagi. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu “tawaran istimewa” kepada pengunjung tempatan yang belum berkesempatan untuk ke negara beriklim dingin.

Berlatarkan gunung dan tasik membuatkan Ladang Anggur ini bertambah istimewa. Selain daripada ladang anggur itu sendiri, disediakan juga walkways sebagai kemudahan pengunjung menikmati keindahan tasik serta pemandangan hutan semulajadi di sekelilingnya.

Pengunjung juga dapat merehatkan minda dan mengembalikan kesegaran badan sambil menikmati kudapan di bawah payung yang disediakan di al-fresco berhadapan pintu masuk utama ke ladang ini.

Kemudahan penginapan juga disediakan untuk pengunjung yang berminat untuk bermalam di ladang ini. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini telah melengkapkan ladang anggur sebagai pakej agro-lancong yang berdaya saing sebagai destinasi pelancongan negara.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.