PERHIMPUNAN BULANAN JPBD SM BULAN MEI 2013 “MENGHARGAI PEKERJA ORGANISASI CEMERLANG” ANJURAN BRFN


Warga Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN)

Pada 8 Mei 2013 yang lalu, telah berlangsungnya satu Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia bagi bulan Mei 2013 yang dianjurkan oleh Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN) dengan tema “Menghargai Pekerja Organisasi Cemerlang”. Tema kali ini bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei 2013 setiap tahun.

Majlis dimulakan dengan persembahan koir jabatan dan disusuli dengan bacaan doa. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian amanat oleh YBhg. Dato’ Mohd. Fadzil bin Hj. Mohd Khir, Ketua Pengarah JPBD SM. Bersesuaian dengan tema iaitu menghargai pekerja, pada majlis perhimpunan kali ini telah diadakan acara penyampaian Sijil Penghargaan dan Anugerah Khas Pekerja kepada pegawai dan bahagian yang telah memberi sumbangan serta mengharumkan nama jabatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Persembahan Koir oleh Pasukan Koir JPBD

Penyampaian Amanat oleh YBhg. Dato’ Ketua Pengarah JPBD SM

Penyampaian Sijil Penghargaan Pencapaian kepada Bahagian Perancangan Wilayah

Penyampaian Anugerah Khas Pekerja Tidak Pernah Datang Lewat 2012

Perhimpunan juga turut mengambil kesempatan menganjurkan Majlis Persaraan Tuan Haji Mohd. Azam bin Mohd Abid, Pengarah JPBD Negeri Johor yang telah memilih untuk bersara pilihan pada usia 58 tahun. Tidak lengkap rasanya sesebuah majlis tanpa sebarang ucapan, majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian amanat dan pesanan daripada Tuan Haji Mohd Azam kepada semua barisan pegawai dan warga JPBD yang hadir. Sesi diteruskan dengan acara memotong kek dan penyampaian hadiah sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang bertugas di JPBD Semenanjung Malaysia.

Penyampaian Amanat dan Ucapan Perpisahan daripada Tuan Haji Mohd Azam bin Mohd Abid

Upacara Memotong Kek

Penyampaian Cenderahati daripada Pengarah Negeri Perak

Sesi Fotografi Bersama Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Pengarah Negeri

Seluruh warga JPBD merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Haji Mohd Azam. Semoga beliau senantiasa di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya di samping keluarga tercinta.

Sepanjang majlis berlangsung, satu aktiviti ‘booth’ jualan telah diadakan oleh Jawatankuasa Kepimpinan Melalui Teladan (KMT), Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN).

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin kami kongsikan sedikit info berkaitan “Cara Menangani Beban Kerja”. Terkadang kerja yang menimbun menjadikan seseorang itu mengalami tekanan emosi, jiwa dan fizikal jika tidak dikawal. Oleh demikian, di sini terdapat beberapa tips atau langkah yang boleh diambil sebagai inisiatif dalam mengatasi masalah seharian adalah seperti berikut:

1. Rehat seketika antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

2. Merangka jadual kerja seharian anda. Berikan keutamaan kepada yang paling penting.Selesaikan satu persatu.

3. Bersikap realistik. Jangan bebankan diri anda jika tidak mampu melakukan sesuatu pekerjaan. Atau, lakukan secara beransur-ansur tetapi tetap.

4. Banyakkan pergaulan, jangan abaikan teman-teman atau keluarga sendiri semata-mata kerana terikat dengan jadual kerja yang ketat. Mereka adalah pembantu kita di dalam kesusahan.

5. Kerap bersenam dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang boleh mengurangkan ketegangan. Ia juga mampu menyenyakkan tidur dan mengelakkan kerisauan yang tidak menentu.

6. Luahkan masalah anda kepada orang lain seperti pasangan anda, keluarga dan teman-teman yang mungkin boleh membantu. Hasilnya anda akan berasa lega.

7. Bercuti sambil berehat untuk merehatkan fikiran anda. Tidak semestinya melancong ke luar negara, dalam negara sendiri sudah memadai.

8. Jangan memendam rasa. Kesilapan lepas dijadikan pengajaran bukannya dikesali untuk sepanjang hayat. Ingat, semua orang melakukan kesilapan dan kita tidak terkecuali.

9. Jumpa doktor atau pakar jika masalah tidak juga dapat diatasi; jangan segan berjumpa doktor atau pakar untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Syukur ke hadrat Illahi kerana Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa bagi bulan Mei 2013 pada kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Di harapkan segala apa yang telah di amanatkan oleh Ketua Pengarah kepada kita semua dapatlah ia dijadikan sebagai panduan dan ikutan dalam melaksanakan setiap tugasan yang diamanahkan. Sesungguhnya pembentukan sebuah organisasi yang gemilang adalah lahir daripada pekerja yang cemerlang.

Oleh : Siti Nur Fatin bt. Raduan

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.