ALAT PEMADAM API DAN PENGESAN ASAP DI BANGUNAN KEDIAMAN – ADAKAH SATU KEPERLUAN?

Adakah rumah anda dilengkapi dengan alat pemadam api dan pengesan asap? Sekiranya belum, teruskan membaca artikel ini sebagai info semasa anda.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, premis kediaman menyumbang sebanyak 55 peratus atau 2,918 kes daripada 5,240 kes kebakaran yang berlaku pada tahun 2012. Sekiranya rumah kita mempunyai alat pemadam api dan pengesan asap, sekurang-kurangnya tindakan awal dapat diambil bagi menyekat api daripada terus marak dan merebak ke bahagian lain kediaman.

Tempoh masa 5 minit awal ketika kebakaran adalah waktu paling kritikal dan mampu menyelamatkan nyawa sekiranya kediaman kita dilengkapi dengan sistem pengesan asap. Kajian menunjukkan peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50 peratus lebih tinggi sekiranya alat pengesan asap dipasang dan berfungsi berbanding dengan rumah yang tidak memilikinya.

Selain itu, penggunaan alat pemadam api mudah alih boleh juga digunakan di dalam kenderaan kita dan amatlah disarankan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kemalangan dan kebakaran kecil. Alat ini juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk memecahkan cermin sekiranya anda terkunci di dalam kenderaan dan tidak dapat keluar.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan disaran mensyaratkan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih sebagai langkah awal di dalam mengurangkan risiko kematian dan kerugian harta benda akibat berlakunya kebakaran. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh memainkan peranan melalui ‘One Stop Centre’ (OSC) dalam menetapkan syarat wajib kepada pemaju perumahan untuk menyediakan alat pemadam api dan pengesan asap sebelum sesuatu kelulusan Sijil Layak Menduduki dikeluarkan. Saranan ini boleh dijadikan langkah awal dalam mencegah sesuatu kebakaran.

Pada pandangan saya, penyediaan alat pemadam api dan pengesan asap di bangunan kediaman sama ada disediakan oleh pemaju atau pemilik kediaman sendiri adalah langkah awal mencegah daripada berlakunya kebakaran yang lebih besar, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa orang yang kita sayangi. Adakah penguatkuasaannya satu keperluan? Sama-sama kita fikirkan.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.