Bemerken vanaf Enschede – Siri 5 : Keretapi…

Percaya atau tidak, saya tak pernah menaiki keretapi. Ini kalau tidak dikira dengan keretapi moden zaman sekarang – komuter, ERL dan LRT. Buat pertama kalinya saya menaiki keretapi adalah di bumi Belanda. Sungguh teruja pada mulanya. Saya tidak pasti pengalamannya sama atau tidak di Malaysia. Mungkin sesekali saya perlu cuba menaikinya dari Gurun ke KL!

Saya berpeluang menaiki keretapi di sana bukanlah atas pilihan saya. Mana tidaknya, tiada perkhidmatan bas ekspres disediakan! Untuk perjalanan dari bandar ke bandar, semua orang perlu menaiki keretapi atau kenderaan sendiri. Bagaimana kalau ianya di Malaysia? Pasti sukar untuk ke Baling atau Kota Bharu dari Alor Setar jika seseorang itu tidak berkereta.

Perkara ini sudah pasti tidak berlaku di sana. Jaringan laluan rel berkembarnya sungguh effisien di mana hampir keseluruhan bumi Belanda yang mempunyai keluasan lebih kurang Negeri Pahang dihubungkan dengan laluan berrel. Kekerapan sesebuah keretapi pula adalah setiap 5 minit bagi stesen-stesen utama atau 10 ke 20 minit bagi stesen kecil. Pilih saja destinasi anda dan keretapi anda. Setiap gerabak yang datang mempunyai laluannya yang tersendiri. Jika anda bijak, keuntungan dari segi masa yang anda perolehi. Memandangkan peluang untuk kami berjalan-jalan hanya pada hari cuti, peluang mendapatkan tiket hari cuti tidak dilepaskan. Dengan harga tiket serendah €17.50 seorang, anda boleh ke mana saja di bumi Belanda sepanjang hari tersebut. Malah untuk tiket hari minggu bagi keretapi di dalam Jerman, anda hanya memerlukan €6.00 seorang untuk ke mana saja di bumi Jerman dalam sehari. Tetapi sejauh mana yang anda boleh pergi jika diukur dengan keluasan bumi Jerman? Awas! dengan tidak mengendahkan jadual perjalan keretapi, anda mungkin menerima padah. Jadual perjalanan perlu diatur dengan baik agar anda tidak terlepas destinasi akhir anda.

Sebenarnya, melancong di Eropah boleh dikatakan sungguh mudah dengan menaiki keretapi. Selamat dan efisien itulah tunjang utama kenderaan ini. Tapi awas! Mungkin harga tiketnya berbeza antara tanah besar Eropah dan United Kingdom. Masa inilah anda berpeluang melihat dengan sepuasnya kawasan luar bandar yang penuh dengan aktiviti pertanian. Kelajuannya tidaklah mengecewakan, jika anda berpengalaman menaiki ERL ke KLIA, pengalamannya pasti sama. tot ziens

Oleh : Kimi Hussain

Nota : Artikel pendek ini merupakan catatan pengalaman penulis bersama lapan pegawai JPBDSM semasa menjalani kursus jangka pendek di International Institute for Geo-Information Science and Earth Observation (ITC), Enschede, Netherland pada April hingga Mei 2005.

[Artikel ini pernah disiarkan di dalam majalah The Superb Post issue 19 Vol. 2 di dalam ruangan ‘Bemerken vanaf Enschede’ terbitan Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Projek Alor Setar, Disember 2005]

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.