Persaraan Pegawai Kanan di Bahagian Rancangan Fizikal Negara (BRFN)

Pada penghujung bulan September dan Oktober ini, BRFN dan JPBDSM bakal kehilangan dua orang pegawai kanan yang telah lama berkhidmat di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBDSM) serta merupakan tonggak utama BRFN dan antara aset terpenting JPBDSM kerana telah memilih untuk bersara secara pilihan. Mereka ialah Puan Hajjah Nazirah binti Mahmud, Timbalan Pengarah BRFN yang memilih untuk bersara pada usia 54 tahun pada 31 Oktober 2013 dan YBhg. Datin Marhamah binti Abd. Ghaffar, Ketua Unit Dasar Perancangan Desa Negara yang memilih untuk bersara pada usia 58 tahun berkuatkuasa 27 September 2013 ini. BRFN khususnya dan Jabatan amnya merasakan satu kehilangan yang amat besar kerana kedua pegawai ini merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman luas dalam jabatan.

Persaraan Bulan September 2013

Datin_Marhamah_bt_AbdGhaffar_J52

YBhg. Datin Hajjah Marhamah Binti Abd. Ghaffar, 

Pegawai Perancang Bandar dan Desa (Gred J52), 

Ketua Penolong Pengarah Kanan,

Bahagian Rancangan Fizikal Negara,

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.

YBhg. Datin Hjh. Marhamah binti Abd. Ghaffar telah dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 23 Februari 1955. Berkelulusan Diploma Perancang Bandar dan Wilayah (ITM), Advance Diploma Town and Country Planning (Glasgow, UK) dan Post Grad. Diploma in Human Resource Development (Rotterdam),  beliau telah memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Pembantu Teknik pada 1 Oktober 1977 sebelum menjawat jawatan sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada 16 September 1982 di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.

Berlatar belakangkan pengalaman yang luas dalam bidang perancangan bandar dan desa, berikut merupakan pengalaman beliau sepanjang 36 tahun dalam perkhidmatan awam:

i.Unit Perancang Khas, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Kuantan (1977 hingga 1979);

 ii.JPBD Cawangan Timur, Kuantan (1982 hingga 1984);

iii.UPEN Pahang, Kuantan (1984 hingga 1989);

iv.JPBD Cawangan Tengah, Kuala Lumpur (1989 hingga 1990);

v.Unit Spatial, Ibu Pejabat, Kuala Lumpur (1990 hingga 2000);

vi.JPBD Negeri Sembilan (2000 hingga 2006);

vii.Pejabat Projek Cawangan Tengah, Kuala Lumpur (2006 hingga 2009);

viii.Unit Dasar Perancangan Desa Negara, Bahagian Rancangan Fizikal Negara (2009 sehingga 2013);

Beliau merupakan seorang seorang yang berpengalaman luas dalam bidang Perancangan Bandar dan Desa dan telah berkhidmat di pelbagai bahagian JPBDSM, JPBD Negeri dan Lembaga Kemajuan Wilayah semenjak dari tahun 1977. Berdasarkan sumbangan dan jasa beliau kepada perkhidmatan, beliau telah dikurniakan dengan anugerah seperti berikut:

i.Sijil Kepujian Khas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (1989).

ii.Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPBSM (1999).

iii.Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPBD SM (2006).

iv.Ahli Negeri Sembilan, ANS (2006).

v.Ahli Mangku Negara, AMN (2013).

Sebagai seorang pegawai kanan yang telah lama berkhidmat, beliau sangat berpengalaman dalam penyediaan Rancangan Pembangunan, Kawalan Perancangan dan juga Perancangan Desa. Selain itu, kepakaran beliau dalam penyediaan laporan, kertas kerja dan artikel berkaitan perancangan juga banyak membantu bahagian dan juga jabatan.

Beliau juga turut dikenali sebagai seorang pegawai yang tegas dan komited dalam tugas seharian dan juga seorang yang sangat mengambil berat tentang kebajikan serta sentiasa menasihati dan berkongsi pengalaman berguna bersama kakitangan di bawah seliaan beliau.

Persaraan Bulan Oktober 2013

Nazirah_bt_Mahmud_J54

Puan Hajjah Nazirah Bt. Mahmud,

Pegawai Perancang Bandar dan Desa (Gred J54),

Timbalan Pengarah,

Bahagian Rancangan Fizikal Negara,

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia

Puan Hajjah Nazirah bt. Mahmud telah dilahirkan pada 9 September 1959 di Kuala Kangsar, Perak dan telah berkhidmat lebih dari 30 tahun di JPBDSM. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah (ITM) dan MSc. Transportation Planning and Engineering (Southampton), beliau  telah memulakan perkhidmatan di JPBDSM pada 16 Jun 1982.  Beliau telah menjawat jawatan di pelbagai bahagian di JPBDSM dan juga Kementerian sehingga menjawat jawatan tertinggi sebagai Timbalan Pengarah Gred J54 di Bahagian Rancangan Fizikal Negara.

Sehingga kini, beliau telahpun bertugas di 12 Bahagian JPBSM dan Kementerian seperti berikut:

i.Bahagian Wilayah (1982 hingga 1983);

ii.Bahagian Spatial (1983 hingga 1984);

iii.Unit Rancangan Struktur Kemamam (1984 hingga 1986);

iv.Unit Bank Data (1986 hingga 1988);

v.JPBD Cawangan Tengah, Kuala Lumpur (1988 hingga 1994);

vi.Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (1995 hingga 1996);

vii.Pejabat Projek Alor Setar (1997 hingga 2005);

viii.Bahagian Perancangan Wilayah (2005 hingga 2007);

ix.Bahagian Rancangan Fizikal Negara (2007 hingga 2009);

x.Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (2009 hingga 2010);

xi.Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (2010 hingga 2011); dan

xii.Bahagian Rancangan Fizikal Negara (2011 sehingga 2013).

Beliau seorang yang sangat berpengalaman di dalam bidang perancangan wilayah, penyediaan dasar dan garis panduan perancangan serta penyediaaan Rancangan Pembangunan seperti Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur dan juga Rancangan Tempatan. Selain itu juga beliau turut berkebolehan tinggi dalam dalam penyediaan dan penulisan laporan dan artikel terutamanya penulisan berbahasa Inggeris.

Seorang ketua dan pegawai yang mesra dan mudah didekati serta sentiasa mengukir senyuman, beliau juga seorang sangat komited dalam tugas dan tugasan yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kesegeraan dalam menyempurnaan sesuatu tugasan. Selain itu, pengalaman dan ilmu yang ada sentiasa dikongsi bersama semua lapisan pegawai.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan cemerlang, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2002.

“Pulau Pandan Jauh ke Tengah,

Gunung Daik Bercabang Tiga,

Hancur Badan dikandung Tanah,

Budi Yang Baik dikenang Juga”

Bahagian Rancangan Fizikal Negara khususnya dan seluruh warga Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia umumnya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih, selamat maju jaya dan selamat bersara kepada YBhg. Datin Hajjah Marhamah binti Abd. Ghaffar dan Puan Hajjah Nazirah binti Mahmud. Semoga segala budi baik dan jasa khidmat puan berdua sepanjang berkhidmat bersama jabatan akan sentiasa dikenang dan dihargai.

“Kalau Ada Sumur di Ladang,

Boleh Saya Menumpang Mandi,

Kalau Ada Umur yang Panjang,

Boleh Kita Berjumpa Lagi”

“Terima Kasih, Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya”

  del.icio.us this!

1 Response so far »

  1. 1

    Mislah Badli said,

    September 27, 2013 @ 10:17 am

    Salam kepada warga JPBD semua

    Kepada dua orang pegawai kita yang akan bersara iaitu YBhg. Datin Hajjah Marhamah Binti Abd. Ghaffar dan Puan Hajjah Nazirah Bt. Mahmud, diucapkan selamat bersara, selamat menempuh alam yang lebih tenang dan moga terus berjaya. Sebagai seorang pegawai yang saya kenali di pejabat dan juga seorang sahabat ketika di luar pejabat, saya sangat sanjungi dan kagumi dengan ilmu, pengalaman dan persenoliti yang dimiliki oleh kedua-dua pegawai ini. segala budi baik dan jasa khidmat sepanjang di JPBD akan dtetap dihargai dan diingati. Akhir kata SELAMAT BERSARA. Sampai masa dan ketika kita akan turut sama, masa dan ketika akan menentukannya. SEKIAN

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.