Bemerken vanaf Enschede – Siri 8 : Budi Bahasa..

19-1

Setibanya kita di tempat orang, agak biasa kalau kita disapa atau ditegur.  Mungkin kerana kita orang asing di kalangan mereka. Ini tidaklah menjadi satu perkara yang pelik bagi saya pada mulanya. Setelah beberapa hari berlalu, barulah saya sedar, perkara ini memang pelik! Pelik disebabkan ianya tidak menjadi satu kebiasaan di negara kita.

Kita semua sedia maklum bahawa rakyat Malaysia terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Entahlah siapa yang mengiktiraf perkara ini. Tetapi itulah yang diketahui umum. Tetapi, biasakah kita menegur atau memberi salam apabila kita berselisih dengan orang lain? Orang yang kita tidak kenali? Tentu jarang-jarang sekali kita lakukan kalau orang itu bukan kenalan kita.

Semasa di Enschede, seringkali kami ditegur dengan ucapan ‘halloo..!” tidak kiralah kami berselisih dengan kakitangan ataupun pelajar-pelajar ITC. Pada mulanya saya menganggap perkara ini biasa kerana kami adalah pelajar baru di situ. Tetapi setelah situasinya juga sama bila kami di bandar atau di jalanan, barulah saya sedar ianya memang menjadi satu amalan.

Ada ketikanya, kami pula yang tidak sabar-sabar untuk memberi ucapan ‘halloo..’ kepada orang lain. Perkara ini amat menyeronokkan. Malah, sewaktu kami menunggang basikalpun pasti ada yang menegur apabila berselisih.

Pernah anda diberi salam oleh juruwang sewaktu anda berurusan di kaunter pembayaran pusat membeli-belah? Di sana, anda pasti dilayan sebegitu rupa. Walaupun anda orang asing, layanan yang diberikan oleh masyarakat di sana sama sahaja seperti anda adalah masyarakat tempatan. Sikap tidak prejudis ini membuatkan saya dan rakan-rakan yang lain tidak merasa terasing walaupun kami hanya berada dalam tempoh yang singkat.

Tetapi jangan pula anda menganggap semua tempat adalah sama. Mungkin ianya tidak dapat anda rasai di Amsterdam! Keadaan orang yang begitu ramai mungkin faktor penyebab. Tetapi jika anda ke kedai-kedai jalanan, layanan yang serupa juga pasti anda perolehi. Amalan yang murni ini jika kita sentiasa amalkan di sini mungkin akan menjadi satu tradisi. Tetapi ianya memerlukan penyertaan semua orang. Jika tidak, anda tentu dianggap pelik! tot ziens

Catatan : Kimi Hussain

Nota : Artikel pendek ini merupakan catatan pengalaman penulis bersama lapan pegawai JPBDSM semasa menjalani kursus jangka pendek di International Institute for Geo-Information Science and Earth Observation (ITC), Enschede, Netherland pada April hingga Mei 2005.

[Artikel ini pernah disiarkan di dalam majalah The Superb Post issue 20 Vol. 3 di dalam ruangan ‘Bemerken vanaf Enschede’ terbitan Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Projek Alor Setar, Januari 2006]

  del.icio.us this!

1 Response so far »

  1. 1

    Mislah Badli said,

    March 5, 2014 @ 10:50 am

    Salam warga JPBD
    Saltu artikel yang menarik. Sememangnya budi bahasa dan sopan santun itu sepatutnya menjadi amalan kita sebagai orang timur. Kekayaan dan harta benda boleh dicari, tetapi budi bahasa tidak boleh dibeli walau di mana pun. Kita di Mallaysia memang kaya dengan nilai-nilai murni ketimuran, namun sejauhmana ia diparktikan? Segalanya bermula pada diri sendiri. `What you give, what you get. OK by.

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.