RANCANGAN TEMPATAN DAERAH KAMPAR 2030

kampar1

Apa itu Rancangan Tempatan?

Rancangan Tempatan (RT) merupakan satu dokumen rasmi yang mentafsirkan dasar-dasar dan cadangan-cadangan umum yang terkandung di dalam Rancangan Struktur (RS) kepada bentuk fizikal yang lebih terperinci dan praktikal. RT disediakan bagi kawasan-kawasan yang dikenalpasti di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ia merupakan pelan terperinci yang menterjemahkan polisi-polisi dan cadangan-cadangan am yang terkandung dalam RS.

 RT menunjukkan secara bersekil besar tatatur pembangunan bagi sesuatu kawasan yang dilengkapi dengan pernyataan bertulis untuk menerangkan dasar-dasar dan butir-butir lanjut mengenai pembangunan tersebut.

 Fungsi Rancangan Tempatan

  • Menterjemahkan dasar-dasar RS;
  • Sebagai panduan pembangunan fizikal bagi daerah dan PBPT berkaitan melalui peta cadangan gunatanah;
  • Menyediakan garispanduan bagi kawalan pembangunan ;
  • Mengenalpasti projek utama daerah; dan
  • Menyediakan garispanduan pelaksanaan

Daerah Kampar merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai Rancangan Tempatan di Semenanjung Malaysia kerana Daerah Kampar telah diistiharkan sebagai daerah ke 10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009.  Sebelum ini perancangan bagi Daerah Kampar adalah melalui RT Daerah Kinta 2002-2015.

Kawasan RT Daerah Kampar meliputi keseluruhan Daerah Kampar dengan keluasan 64,750 hektar. Daerah Kampar terletak di Negeri Perak, kira-kira 40 km dari Bandaraya Ipoh dan 16 km dari Pekan Tapah. Daerah Kampar terletak bersempadan dengan Negeri Pahang (timur), Daerah Kinta (Utara), Batang Padang (Selatan) serta Perak Tengah (Barat).

Terdapat 2 mukim dalam daerah ini iaitu Mukim Teja dan Mukim Kampar. Bandar Kampar merupakan bandar utama bagi daerah ini dan ianya terletak kira-kira 38 kilometer daripada Bandaraya Ipoh. Terdapat dua petempatan utama dalam Daerah Kampar iaitu Bandar Kampar dan Bandar Gopeng.  Selain itu, terdapat juga pekan/pekan kecil yang berada dalam Daerah Kampar iaitu Mambang Diawan, Malim Nawar, Jeram, Kota Bharu dan Sungai Siput Selatan. Selain daripada keseluruhan Daerah Kampar, kawasan kajian bagi RT Kampar juga turut meliputi sebahagian Mukim Chenderiang, Daerah Batang Padang di tenggara kawasan kajian dan juga Mukim Sungai Raia, Daerah Kinta di sebelah utara kawasan kajian yang merupakan kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kampar.

Kawasan kajian RT Kampar yang meliputi keseluruhan Daerah Kampar ditadbir oleh 2 pihak berkuasa perancangan tempatan iaitu Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan (JPBD Perak Darul Ridzuan).

MDKpr mempunyai kawasan pentadbiran seluas 11,065 hektar (17%) manakala kawasan selebihnya (53,686 hektar) adalah terletak di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Perancang Tempatan; JPBD Perak Darul Ridzuan. Sebahagian besar daerah ini adalah terdiri daripada kawasan hutan, pertanian dan tanah bekas lombong. Sungai Kampar dan Sungai Kinjang mengairi kawasan ini yang mana suatu ketika dahulu adalah merupakan kawasan perlombongan bijih timah.

Mengapa Perlu RT Kampar?

  1. Daerah Kampar telah diistiharkan sebagai daerah ke 10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009. Dengan itu, perlu adanya perancangan khusus untuk daerah ini kerana ianya merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai Rancangan Tempatan di Semenanjung Malaysia.
  2. Mempunyai kawasan tepu bina  yang pesat membangun (6.16%) dan kawasan semulajadi yang luas (45.64%) memerlukan perancangan gunatanah yang mampan.
  3. Menyelaras tekanan pembangunan semasa dan fungsinya sebagai sebuah daerah baru bagi menempatkan institusi dan kemudahan masyarakat untuk kesejahteraan penduduk.
  4. Membangun semula kawasan perniagaan lama yang usang  serta tanah kosong, kawasan pertanian dan tanah lombong  (28.79%) yang berpotensi untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk.

Kawasan Rancangan Tempatan Kampar  adalah berkeluasan   64,750 hektar yang merangkumi;

  1.     Keseluruhan Daerah Kampar (Terdapat 2 mukim – Mukim Teja dan Mukim Kampar); dan
  2.     Kawasan Pentadbiran Majlis Daerah Kampar yang sebahagiannya terletak dalam Daerah Batang Padang         (Mukim Chenderiang)  dan Daerah Kinta (Mukim Sungai Raia).
  • Dua petempatan utama di Daerah Kampar iaitu Bandar Kampar dan Bandar Gopeng.
  • Pekan/bandar kecil yang berada dalam Daerah Kampar ialah Mambang Diawan, Malim Nawar, Jeram, Kota Bharu dan Sungai Siput Selatan.

kampar2

Potensi Kawasan RTD Kampar 2030

      Pembangunan Berasaskan Pertanian;

  1. Daerah Kampar merupakan pengeluar sayur terbesar di Negeri Perak;
  2. Hasil terbesar pertanian adalah dari Malim Nawar kerana terdapat  kawasan pertanian yang luas di kawasan Malim Nawar yang merupakan kawasan tanaman berkelompok;
  3. Berpotensi sebagai hub untuk pemasaran produk pertanian yang dapat meningkatkan ekonomi penduduk khususnya di kawasan kampung;
  4. Kawasan Gua Tempurung berpotensi sebagai pusat pengeluaran, pengumpulan dan pemprosesan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan;
  5. Potensi ternakan lembu dan kerbau serta pengeluaran ikan hiasan di Lawan Kuda; dan
  6. RTC Gopeng memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran produk-produk pertanian tempatan khususnya dan juga daripada luar.

       Pembangunan Sebagai Hub Pendidikan dan Penyelidikan;

  1. Kampus utama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Malim Nawar merupakan penggerak Daerah Kampar sebagai Bandar Ilmu memandangkan pembangunan UTAR ini menjadi pemangkin kepada pembangunan persekitarannya terutamanya di Bandar Baru Kampar; dan
  2. Pembangunan Kolej Matrikulasi dan kolej Komuniti di Kampar dan Gopeng menggalakkan pembangunan di persekitarannya.

        Pembangunan Berasaskan Pelancongan;

  1. Daerah Kampar mempunyai banyak aset pelancongan yang mana ianya menjadi  tarikan kepada penduduk tempatan mahupun luar;
  2. Aset-aset pelancongan serta kawasan-kawasan berpotensi pelancongan perlu diperkembang dan diperkukuhkan seperti;
  • Gua Tempurung;
  • Gua Kandu;
  • River Rafting (melibatkan Sungai Kampar di Ulu Geruntum hingga Kg. Jahang);
  • Muzium Perlombongan bijih timah;
  • Peninggalan Tentera Jepun di Tanjung Bangkung;
  • Air Terjun di Batu Berangkai;
  • Kawasan Rehat Batu Karang – Kawasan Air Panas Semulajadi; dan
  • Hutan Lipur Sg. Salu di Chenderiang.

       Pembangunan Ekonomi Tempatan

  1. Potensi  Daerah Kampar menjadi pusat pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian dan produk-produk tempatan secara tidak langsung akan meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan;
  2. Pembangunan industri kecil dan sederhana berasaskan sumberjaya tempatan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil ternakan;
  3. Pembangunan ekonomi penduduk setempat melalui sektor perniagaan hasil daripada pembangunan sektor pendidikan terutamanya di Bandar Baru Kampar;
  4. Terdapat sumberjaya alam semulajadi untuk pembangunan kawasan rekreasi dan seterusnya menarik pelancong seperti air terjun, rekreasi sungai, gua dan lain-lain yang secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi kawasan berhampiran dan penduduk tempatan khususnya.

Matlamat  RTD Kampar 2030

Menjadikan Daerah Kampar Sebagai Hub Pendidikan dan Penyelidikan, Pusat Utama Pemasaran Produk Pertanian Peringkat Negeri Perak, Tarikan Pelancongan dan Persekitaran Yang Sejahtera dan Mampan Berasaskan Sumber Sedia Ada.

Objektif RTD Kampar 2030

Berdasarkan kepada matlamat pembangunan yang telah digariskan, berikut merupakan objektif-objektif penyediaan RT Kampar 2030;

  1. Merancang gunatanah fizikal dan pembangunan ekonomi yang berdaya saing melalui perkembangan dan penjanaan aktiviti sektor ekonomi yang berasaskan sumberjaya sedia ada seperti pertanian, pelancongan, perindustrian dan perdagangan;
  2. Merancang, menaiktaraf dan memajukan pusat pendidikan dan penyelidikan  sedia ada dan komited yang lebih terancang sebagai pemangkin Daerah Kampar sebagai hub pendidikan dan penyelidikan;
  3. Merancang dan memajukan sumber pelancongan sedia ada dan juga kawasan yang berpotensi pelancongan serta menyediakan kemudahan sokongan pelancongan di kawasan berkenaan;
  4. Merancang pembangunan yang lebih terancang di Bandar-bandar utama seperti Bandar Kampar dan Bandar Gopeng khususnya, juga menaiktaraf pusat-pusat pertumbuhan kecil bagi mewujudkan kesejahteraan bandar;
  5. Merancang dan menaiktaraf sistem jaringan jalanraya, lalulintas  dan pengangkutan awam yang menyeluruh dan bersepadu bagi mencapai kemudahsampaian yang tinggi di semua kawasan;
  6. Merancang, menaiktaraf dan meningkatkan penyediaan infrastruktur dan utiliti bagi memenuhi keperluan penduduk dan menyokong pembangunan perbandaran dan persekitaran yang sejahtera dan mampan;
  7. Menyediakan kemudahan dan institusi yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan penduduk tempatan khususnya;
  8. Mengenalpasti dan memelihara kawasan sensitif alam sekitar bagi mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dan alam semulajadi bagi mencapai persekitaran alam yang mampan; dan
  9. Mewujudkan satu sistem pengurusan dan pelaksanaan yang efisien kearah urus tadbir yang baik.

Kajian ini akan dijalankan selama setahun (2014) dan akan menghasilkan 4 laporan iaitu;

  1. Laporan Awal;
  2. Laporan Analisis dan Strategi Pembangunan;
  3. Laporan Rekabentuk dan
  4. Draf Rancangan Tempatan.

 

Unit Rancangan Pembangunan 3,
Pejabat Projek Zon Tengah.
  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.