JIRANKU, APA KHABAR?

jiran

Bila kali terakhir anda bercakap dan bertegur sapa dengan jiran anda? Semalam? Minggu lepas? Bulan lepas atau tahun lepas? Jangan terkejut jika ada orang yang tidak ambil tahu siapa jiran mereka dan apa pekerjaan mereka. Nampaknya persepsi seperti ini perlu diubah sebelum terlambat. Menurut ajaran Islam, jiran atau tetangga kita mempunyai hak bergantung kepada siapa jiran kita itu. Terdapat tiga golongan jiran; jiran dengan satu hak iaitu jiran yang bukan islam (dia hanya ada hak kejiranan), jiran dengan dua hak iaitu jiran yang beragama islam (dia ada hak kejiranan dan ada hak islam) dan ketiga adalah jiran dengan tiga hak iaitu jiran beragama islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita (dia mempunyai hak kejiranan, hak islam dan hak hubungan kekeluargaan). Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah menolong jika dia dalam kesulitan, menziarahi ketika dia sakit, tidak bersangka buruk dengan jiran, tidak menyakiti jiran dan tidak melampaui batasan agama dalam berjiran (tidak mendatangkan mudarat).

Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, elok rasanya kita mengeratkan hubungan dengan jiran kita sebelum terlambat. Belikan juadah berbuka puasa seperti kuih-muih atau memasak lebih lauk di rumah untuk dikongsi bersama jiran kita. Bersedekah itu akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda jika dilakukan dengan ikhlas. Sekiranya tidak mampu cukuplah dengan memberi senyuman ikhlas dari hati. Saling bertanya khabar dan bertegur sapa jika terjumpa di bazaar Ramadan atau ketika membuang sampah di luar rumah. Sekurang-kurangnya kita tahu siapa jiran kita dan apa kerjanya.

Mungkin kita memerlukan khidmat nasihat, bantuan atau sokongan daripada mereka di kemudian hari. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak sempurna iman, jika kamu tidur dalam kekenyangan sedang jiran tetanggamu menangis kerana kelaparan”. Dari aspek perancangan pula, sememangnya dititikberatkan hubungan sesama jiran melalui susunatur kediaman dan kemudahan yang disediakan. Garis panduan Perancangan yang disediakan oleh jabatan seperti Gated Community And Guarded Neighbourhood dan Crime Prevention Through Enviromental Design (CPTED) diharap dapat membantu di dalam pencegahan dan mengurangkan risiko berlakunya kes-kes jenayah kepada komuniti / kejiranan kita. Diharapkan selepas ini, hubungan kita dengan jiran kita bertambah baik. Sekurang-kurangnya dapat mereka mengawasi rumah kita semasa kita tiada di rumah atau pulang berhari raya di kampung.

Selamat berhari raya dan maaf zahir dan batin jiranku.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.