PENCEMARAN BAHASA KEBANGSAAN

Sekarang ni, kalau kita perhatikan pencemaran bahasa Melayu semakin berleluasa amnya di kalangan anak-anak muda terutamanya kalangan pelajar. Ini secara langsung memberikan kesan negatif kepada bahasa itu sendiri dan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu Bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan merosot. Antara ciri-ciri yang diklasifikasikan sebagai pencemaran bahasa melayu adalah:

1.         Pengutamaan bahasa asing

2.         Penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu

3.         Kesalahan ejaan

ARTICLE 3

Antara faktor yang dikenalpasti menjadi punca kepada permasalahan ini adalah kecanggihan dan kepantasan perkembangan teknologi maklumat khususnya penggunaan telefon bimbit secara berleluasa. Penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, sebenarnya mencemarkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan sering berlaku dalam SMS. Tujuan penggunaan singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu adalah untuk menggantikan maksud sebenar. Hal ini berlaku disebabkan ruang yang disediakan cukup terhad. Kadang-kadang ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu, Contohnya “Nxt week blk umah tak?” Bahasa SMS ini terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo hingga menyebabkan pencemaran bahasa.

Media pernah mendedahkan kemerosoan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan sms dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau sms. Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas, lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut. Pastinya pelajar yang sering disogok oleh perkataan dan istilah-istilah yang muncul setiap hari akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kualiti penulisan di sekolah semakin menurun malah pengetahuan terhadap bahasa kita sendiri, iaitu Bahasa Melayu akan semakin jauh daripada pelajar. Dengan demikian, mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair. Begitu juga pencemaran bahasa dalam bidang pentadbiran akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu sama ada lisan atau tulisan merosot. Sekiranya pihak pentadbir menggunakan bahasa rojak ketika menyampaikan ucapan atau menggunakan bahasa rojak dalam urusan surat menyurat, sudah pasti akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu itu merosot.

Pernah tak kita tengok iklan sebegini…..bercampur aduk

ARTICLE 2

 

Selain itu, iklan sms yang memaparkan penggunaan kata singkatan, kod, atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak juga memberi kesan kepada pencemaran bahasa. Seseorang itu tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo. Antara contoh penyampaian dalam sms ialah, ‘ x ‘ bagi maksud tidak, ‘4’ bagi maksud untuk, ‘cmne’ bagi maksud macam mana, ‘u’ bagi maksud awak, ‘tq’ bagi maksud terima kasih, ‘lg’ bagi maksud lagi dan sebagainya.

Apabila bahasa tercemar, akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan datang menjadi keliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut. Impaknya disini, mahasiswa dan mahasiswi adalah agen yang perlu memperbaiki pencemaran bahasa di alam siber ini. Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh generasi Melayu. Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan bagi masyarakat Melayu untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa Melayu mempunyai peranan yang sangat penting, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pentadbiran, bahasa pengantar, bahasa rasmi dan sebagainya. Melalui peranan yang dinyatakan, kita seharusnya memahami dan mengaplikasikan peranan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita. Dalam perbualan atau pertuturan kita seharian, kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi.

 

ARTICLE 1

 

Walau bagaimanapun, pada masa ini, Bahasa Melayu kian dilupakan dan semakin kurang penggunaannya dalam pertuturan seharian. Bahasa Melayu telah tercemar disebabkan oleh wujudnya bahasa lain dan pencampuran bahasa. Bahasa Melayu yang indah kian dilupakan oleh generasi-generasi pada zaman ini, khususnya generasi muda. Mereka telah terpengaruh dengan bahasa asing. Dengan menggunakan bahasa asing, mereka berfikir mereka adalah orang yang paling terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka juga beranggapan bahawa mereka akan sentiasa dipandang tinggi kerana mempunyai pengetahuan bertutur dalam bahasa asing. Tanpa mereka sedari, tindakan mereka ini akan menyebabkan mereka kian lupa dengan satu bahasa yang sangat penting, iaitu Bahasa Melayu.

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.