Tren Migrasi Penduduk dan Implikasi Kepada Perancangan dan Pembangunan Bandar di Malaysia

Malaysia berkeluasan kira-kira 330,290 kilometer persegi dan mempunyai kepadatan penduduk seramai 71 orang setiap kilometer persegi. Pada tahun 2000, Selangor menduduki tangga teratas sebagai negeri yang mempunyai jumlah penduduk teramai di Malaysia iaitu seramai 4.2 juta orang diikuti Johor 2.7 juta dan Sabah 2.6 juta orang. Selain itu, Selangor mencatat peratus tertinggi antara negeri menerima migran masuk bagi tahun 2003-2004 (28.2%) dan 2006-2007 (16.4%). Pada tahun 2008 hingga 2009, Selangor menerima 9.9 peratus daripada sejumlah 168 ribu migran masuk di seluruh Malaysia. Migran tersebut adalah dari Kedah (8.9 ribu), Perak (6.5 ribu), W.P Kuala Lumpur (5.3 ribu) dan Kelantan (4.4 ribu). Kumpulan umur 15-34 tahun merupakan migran yang tertinggi dan peratusan migran wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Keadaan ini disebabkan kecenderungan wanita berhijrah sama ada untuk melanjutkan pelajaran, peluang pekerjaan ataupun perkahwinan. Bumiputera (Melayu dan Bumiputera lain) mewakili 82.7 peratus daripada jumlah migran ini.

UPM SerdangPertumbuhan pesat ekonomi serta kewujudan Institusi Pengajian Tinggi (IPTA & IPTS) turut dikenalpasti antara faktor utama penduduk berhijrah masuk. Selain itu, faktor kedudukan geografi, peningkatan tahap perbandaran dari segi kemudahan infrastruktur dan utiliti serta kemudahan awam, kewujudan institusi kewangan utama, teknikal dan kesediaan sumber manusia turut menarik kepada pembukaan kawasan perindustrian dan perkhidmatan utama sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya negeri Selangor.

Proton

Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (2010), kebanyakan bandar-bandar di negeri Selangor terletak di dalam Konurbasi Kuala Lumpur manakala  menurut DPN, 2006 pula terletak dalam Konurbasi Pertumbuhan Negara iaitu hierarki bandar tertinggi negara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pula, 5 daripada 10 buah bandar yang mempunyai populasi tertinggi di Malaysia pada tahun 2010 yang  terletak dalam negeri Selangor sepertimana  berikut:

1. Subang Jaya
2. Kuala Lumpur
3. Klang
4. Johor Bahru
5. Ampang Jaya
6. Ipoh
7. Shah Alam
8. Kuching
9. Petaling Jaya
10. Kota Bharu

Pelabuhan KlangDari perspektif pertumbuhan bandar, migrasi boleh memberi kesan positif atau negatif kepada aspek ekonomi, sosial dan juga persekitaran fizikal bandar. Kesan-kesan ini sekiranya tidak dirancang dan diurus dengan baik akan memberi impak yang besar kepada penduduk pada masa akan datang. Antara kesan positif migrasi penduduk ialah:

1. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dari segi penawaran modal sumber manusia kepada sektor industri dan perkhidmatan.
2. Mewujudkan ‘purchasing power’ yang menyokong kepada perkembangan aktiviti ekonomi dan perniagaan selain peningkatan pendapatan isi rumah.
3. Menarik minat pelaburan sekaligus meningkatkan daya saing bandar terutamanya dari segi perpindahan teknologi dan modal insan berkemahiran tinggi.
4. Kemudahan perbandaran dan infrastruktur bandar dapat digunakan secara optimum faedah dari kepadatan penduduk yang bertambah.

Antara kesan negatif migrasi penduduk  pula adalah:traffic jammed

1. Mewujudkan fenomena rebakan bandar yang menyebabkan pencerobohan kawasan pertanian utama dan KSAS kesan dari pembukaan kawasan pembangunan baru.
2. Peningkatan harga rumah dan hartanah yang memberi kesan negatif kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
3. Kesesakan lalulintas dan pencemaran alam sekitar serta keterbatasan ruang rekreasi dan sosial antara penduduk bandar.
4. Kewujudan masalah jenayah harta benda, keruntuhan institusi kekeluargaan, tekanan perasaan dan sebagainya kesan peningkatan kos sara hidup dan gaya hidup yang materialistik dan individualistik
5. Kewujudan golongan miskin bandar kesan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
6. Pertambahan bilangan pendatang asing tanpa izin yang mewujudkan konflik budaya, sosio-ekonomi dan keselamatan.

Migrasi tidak dapat dihalang kerana proses perbandaran akan terus menjadi magnet yang menarik migrasi penduduk masuk ke bandar. Walau bagaimanapun, mungkin sudah tiba masanya aspek keseimbangan antara proses urbanisasi (had pembangunan bandar) dan juga had tampungan penduduk sesebuah bandar dilihat semula bagi memastikan kemampuan sesebuah bandar untuk menampung populasi yang kian bertambah serta pengagihan kemudahan perbandaran dan infrastruktur secara optimum termasuk dalam penentuan hierarki bandar, sempadan bandar dan sebagainya. Ini kerana Malaysia bukannya sebuah negara yang mempunyai tanah yang luas lagi untuk pembangunan pada masa akan datang. Selain itu, keseimbangan wilayah dari segi tumpuan pembangunan perlu juga diambilkira bagi memastikan migrasi antara bandar-bandar dan luar bandar-bandar dapat diurus tidak memberi kesan negatif.

Sumber:

1. Jabatan Perangkaan Malaysia, 2000
2. Mohd Fadzil Abdul Rashid, Ishak Ab. Ghani, Migrasi dan Kemiskinan Bandar: Suatu Kajian Literatur
3. http://citylimits.org
4. http://www.hindawi.com

Bahagian Rancangan Fizikal Negara, JPBDSM

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.