Pendekatan Kawalan Banjir Di Belanda

PENDEKATAN KAWALAN BANJIR DI BELANDA

Banjir di Kelantan, Disember 2014

Banjir di Kelantan, Disember 2014

Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan peristiwa banjir besar yang paling buruk dalam sejarah. Banjir besar yang melibatkan beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah memberi impak besar kepada ekonomi, alam sekitar dan juga sosial. Pelbagai persoalan timbul adakah banjir ini disebabkan oleh ‘tangan-tangan manusia’ ataupun kesan dari pemanasan global. Bencana ini menimbulkan kebimbangan, adakah kita mampu untuk menghadapi banjir lebih besar dari ini atau tidak pada masa akan datang sekiranya tiada langkah pencegahan banjir diambil secara serius. Mungkin terdapat kaedah penyelesaian yang boleh diterapkan dari negara lain seperti Belanda yang boleh dipelajari dan dilaksanakan di negara kita.

Pengalaman Belanda Dalam Mengatasi Isu Banjir

Kincir air di Belanda

Kincir air di Belanda

Belanda sebuah negara yang terletak di bawah paras laut di mana kira-kira 60% daripada penduduknya tinggal di kawasan berisiko ditelenggami air. Meskipun air merupakan ‘sahabat’ rapat manusia tetapi orang Belanda ‘berjuang’ untuk menghalau air seperti menghalau musuh. Rene Descartes, ahli falsafah Perancis menyebut, “God created the world, but the Dutch created Holland”. Kenyataan ini menggambarkan bagaimana orang Belanda berusaha keras mengeringkan daratan yang digenangi air agar menjadi kawasan yang boleh untuk mereka diami. Belanda telah memperkenalkan sistem polder bagi melindungi negara mereka dari ancaman banjir dan air pasang.

Polder merupakan sistem kompleks kawalan air tertutup yang merangkumi elemen tambakan, pam, saluran air, kolam takungan, struktur tanah dan pemasangan sistem pengasingan air buangan. Sistem ini dibangunkan pada abad ke-11 oleh agensi Belanda yang bertanggungjawab dalam mengawal banjir iaitu waterschappen. Sistem ini pada peringkat awal menggunakan kincir angin yang berfungsi mengepam air keluar dari kawasan yang berada di bawah permukaan air laut. Dengan kemajuan teknologi hidraulik pada tahun 1953, Kerajaan Belanda telah melancarkan Projek Delta (Delta Works / Deltawerken), yang bertujuan menguatkan sistem pertahanan menghadapi bencana banjir yang turut diiktiraf oleh American Society of Civil Engineers sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia moden. Secara konsep, projek ini dijangka mengurangkan risiko banjir di South Holland dan Zeeland untuk sekali setiap 10,000 tahun.

Apa itu Sistem Polder ?
3Polder merupakan satu dataran rendah yang terbentuk dan dikelilingi oleh struktur tambakan. Di kawasan ini, air takungan dan air hujan dikumpulkan di suatu badan air (sungai, saluran) lalu dipam ke badan air yang lebih tinggi kedudukannya, dan seterusnya dipam ke sungai dan seterusnya ke laut. Penerapan sistem polder telah menyelesaikan masalah banjir di Belanda terutamanya di kawasan yang rendah dari paras laut

4Polder merupakan satu sistem pengurusan saliran pembuangan air kepungan yang ini dilengkapi dengan pintu kawalan automatik dan juga pam. Sistem polder merangkumi saluran air dan takungan berbentuk memanjang beserta pam yang digunakan sebagai satu cara untuk menyalurkan air ketika ketinggian air ke titik pembuangan lebih tinggi dan tambak yang dibina di sekeliling kawasan kepungan air berfungsi mencegah air masuk ke kawasan kepungan.

Mengapa perlu dibangunkan Sistem Polder ?
Bandar yang terletak di kawasan lembangan seperti Kota Bharu, Pekan, Kuala Terengganu dan Kuantan seringkali terdedah kepada hakisan pantai dan banjir setiap kali hujan lebat terutamanya pada musim monsoon kerana kedudukkannya yang rendah. Menurut unjuran Kajian Dasar Perbandaran Negara Ke-2 (2015) pula, bandar-bandar berhampiran pantai ini dijangka ditelenggami sekiranya paras air laut meningkat akibat pemanasan global yang berterusan. Selain itu, pembangunan yang pesat turut menyebabkan ketidakmampuan sistem sungai dan perparitan sedia ada menampung jumlah air hujan sekaligus menyebabkan banjir kilat. Bertitik tolak dari itu mungkin satu usaha penerapan sistem polder seperti yang diaplikasikan oleh Belanda boleh dimulakan di negara kita.

Benteng dibina lebih tinggi sepanjang sungai utama

Benteng dibina lebih tinggi sepanjang sungai utama

Pintu kawalan air dan rumah pam

Pintu kawalan air dan rumah pam

Penerapan sistem polder mungkin boleh dimulakan dengan pembinaan benteng yang tinggi sepanjang saliran dan sungai utama seperti Sungai Pahang, Sungai Terengganu dan Sungai Kelantan bagi mengelakkan larian air dari melimpahi kawasan-kawasan yang rendah. Selain itu, setiap inlet anak sungai sungai dilengkapi dengan dengan pembinaan pintu kawalan air dan juga pam air di setiap muka kuala sungai. Selain dapat mengepam air sungai secara cepat ke sungai utama, ianya juga dapat mengawal sediment daripada terus masuk ke sungai yang menyebabkan sungai utama menjadi keruh dan cetek. Pam ini juga boleh berfungsi secara automatik mengepam air keluar sekiranya paras air di anak sungai naik melepasi paras yang ditetapkan atau sekiranya berlaku air laut pasang besar di muara sungai. Pembinaan jalanraya di atas tambak seperti coastal highway sepanjang persisir sungai juga boleh meningkatkan kualiti persekitaran kawasan ini selain boleh dijadikan sebagai kawasan rekreasi dan tarikan pelancong (scenic view).

sistem saliran untuk pertanian di Belanda

sistem saliran untuk pertanian di Belanda

Orang-orang dahulu sebenarnya telah lama menerapkan satu daripada ciri-ciri sistem polder iaitu seperti pembinaan sistem perparitan di kawasan rendah seperti di Batu Pahat dan Muar bagi tujuan pengairan pertanian dan pencegahan banjir dan hanya tidak diselenggara dengan baik dan tidak dilengkapi dengan sistem pam dan benteng tinggi bagi mengepam air keluar ke saliran utama seperti sungai dan laut.

Sistem parit di Batu Pahat, Johor

Sistem parit di Batu Pahat, Johor

Kelebihan dan Kelemahan Sistem Polder
Kelebihan sistem polder ialah ianya mampu mengawal banjir yang berpunca dari hujan dan air pasang laut besar. Selain itu, kawasan takungan air yang terbentuk juga boleh digunakan sebagai tempat simpanan air sekiranya berlaku kemarau, manakala tambakan pula boleh dijadikan lokasi pelancongan atau rekreasi, kawasan pertanian, perternakan, perikanan atau pembangunan. Kelemahan sistem ini pula ialah ianya sangat bergantung pada rumah pam. Sekiranya pam tidak berfungsi, maka kawasan tersebut akan ditenggelami air dalam waktu yang singkat. Keadaan ini meyebabkan kos operasi dan penyelenggaraan menjadi mahal.
Isu pengendalian banjir di Malaysia agak kompleks memandangkan kawasan badan air yang luas serta kadar taburan hujan yang tinggi berbanding di negara Eropah, ditambah pula dengan aktiviti pembangunan guna tanah yang pesat terutama di bahagian muara sungai dan pantai. Selain itu Membangunkan sistem polder memerlukan pertimbangan yang teliti dan juga perlu dilakukan secara bersepadu di antara perancangan gunatanah dan juga pemuliharaan badan air bagi memastikan kesan pada alam sekitar dan manusia pada masa hadapan dapat diminimakan.

‘Live With The Water, Don’t Fight It’

 

Oleh Bahagian Rancangan Fizikal Negara

Rujukan:
i.http://www.theguardian.com/environment/2014/feb/16/flooding-netherlands
ii.http://www.theguardian.com/environment/2014/may/19/floods-dutch-britain-netherlands-climatechange
iii.http://anggunsugiarti.blogspot.com/2012/02/belajar-dari-sistem-polder-negera.html

  del.icio.us this!

No Response so far »

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.